Kontroversi 1Malaysia_Development_Berhad

Kemasukan aktif 1MDB dalam projek mega multi bilion ringgit seperti di Tun Razak Exchange, walaupun 1MDB dilihat masih mentah atau baru dalam ertikata penubuhannya telah mendapat kritikan hebat dari Pakatan Rakyat. Ketua Pembangkang Malaysia yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh, Anwar Ibrahim, secara terbuka telah menyoal kewibawaan dan nilai tauliah yang dimiliki oleh syarikat. Beliau memberitahu Parlimen bahawa rekod syarikat 1MDB "tidak memiliki alamat syarikat dan tidak mengambil sebarang pengaudit kewangan." Beliau juga bertanyakan bagaimana Perdana Menteri boleh memberi kebenaran pada syarikat untuk menjalankan projek mega seperti ini.[22]

Janaan perolehan RM 425 juta ringgit antara tanggal 25 September 2009 dan 31 Mac 2010 telah meningkatkan kritikan pedas dan kontroversi tentang tahap ketelusan akaun kewangan 1MDB. Ahli Parlimen Petaling Jaya, Tony Pua menanyakan soalan samada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang juga sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB ada memberi suntikan aset kepada 1MDB dari wang kerajaan yang disalurkan dalam bentuk hak milik tanah kepada syarikat.[23][24]

Pada sesi parlimen Oktober 2010, 1MDB memberi penjelasan bahawa akaun syarikat telah di audit penuh dan dimeterai tandatangan oleh KPMG, dan ditutup pada 31 Mac 2010. Deloitte pula telah menilai dan menganalisis kertas kerja, dan Ernst & Young menyediakan saranan percukaian kepada 1MDB.

1MDB telah meminta 6 bulan tambahan dalam laporan tahunan bermaksud untuk difailkan dalam Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada 30 September 2013. Dalam pada itu, pertukaran 3 auditor akaun sejak tahun 2009 telah menimbulkan keraguan munasabah.[25][26]

Walaubagaimanapun 1MDB kemudiannya telah memberikan maklumat penuh berkenaan informasi asas syarkat termasuk alamat berdaftar kepada SSM seperti yang diwajibkan dalam undang-undang Malaysia. Syarikat juga mempunyai laman sesawangnya tersendiri iaitu www.1mdb.com.my.

Pemindahan hak milik Lapangan Terbang Sungai Besi telah berlangsung pada Jun 2011 dimana Bandar Malaysia akan dibina disitu, suatu kawasan pembangunan integrasi antara komersial, penempatan, dan persekitaran hijau berteknologi tinggi.[27]

Telah dilaporkan 1MDB mempunyai hutang purata berjumlah RM42 bilion, menyebabkan bon-bon yang dikeluarkan oleh pengeluar akan diturun taraf sebagai "status leceh" menurut penarafan agensi seperti Standard and Poor's dan Fitch Ratings.[28][29][30] Ia juga telah dilaporkan bahawa kabinet Malaysia menolak suntikan tunai RM3 bilion untuk menyempitkan pilihan bayaran semula hutang 1MDB tepat pada masa.[31][32][33]

Bagaimanapun, Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata kerajaan telah menyuntik dana sebanyak RM950 juta kepada 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sebagai kredit tersedia. Beliau menyifatkan, dana berkenaan adalah bagi membantu menyelesaikan masalah aliran tunai 1MDB secara sementara sebelum syarikat itu membuat tawaran awam permulaan (IPO) yang dijangka pada September 2015.[34]

Pada 23 April 2013, Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli mendedahkan maklumat bahawa 1Malaysia Development Berhad (1MDB), badan pelaburan milik rakyat yang dikawal penuh oleh Menteri Kewangan Malaysia iaitu Datuk Seri Najib Razak telah memindahkan sejumlah RM7 bilion dana ke akaun sulit di Pulau Cayman, United Kingdom. Rafizi merujuk maklumat yang terkandung dalam Laporan Tahunan 1MDB dan diulas di dalam keluaran terbaru akhbar perniagaan mingguan The Edge, yang turut sama mempersoal kewajaran sebuah badan pelaburan milik negara memindahkan RM7 bilion ke dalam akaun rahsia di pusat kewangan pesisir pantai seperti Cayman Island.[35]

Walaubagaimanapun, menerusi wawancara soal jawab bersama TV3 pada 9 April 2015, Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak menyatakan wang 1MDB tidak disimpan di Pulau Cayman sebaliknya berada diluar negara bagi menjana nilai pertukaran wang asing. Najib menambah wang itu akan dibawa balik ke Malaysia apabila tiba waktu yang sesuai.[36]

Telah dilaporkan oleh portal berita Sarawak Report dan akhbar British The Sunday Times menerusi email yang merujuk ahli kewangan Pulau Pinang Jho Low, yang mempunyai ikatan rapat dengan anak tiri Najib iaitu Riza Aziz telah berjaya menyedut wang US$700 juta dari ikatan usahasama antara 1MDB dan PetroSaudi International.[37][38][39] Email tersebut juga telah memaklumkan bahawa Jho Low telah memiliki pinjaman yang disahkan oleh Perdana Menteri bernilai US$1 bilion tanpa mendapatkan kebenaran dari Bank Negara terlebih dahulu.[40][41]

Isu pembelian tanah TRX oleh Tabung Haji

Pada 7 Mei 2015, Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji, Datuk Johan Abdullah mengesahkan badan berkanun itu telah membeli sebidang tanah bernilai RM 188.5 juta di Tun Razak Exchange (TRX), Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur yang pada masa kini merupakan milik 1MDB bagi pembangunan sebuah menara kediaman. Pembelian tanah itu melibatakan saiz kira-kira 1.56 ekar oleh Lembaga Urusan Tabung Haji dari 1MDB.[42]

Menurut Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli, beliau menyifatkan usaha pembelian ini sebagai suatu bentuk usaha menyelamatkan (bail-out) 1MDB. Menurut beliau, tanah itu dilaporkan dibeli pada harga yang cukup murah oleh 1MDB dari Kerajaan Persekutuan iaitu kira-kira pada harga RM74.20 satu kaki persegi dan dijual pada harga berkali-kali ganda mahalnya iaitu pada harga RM2,779 satu kaki persegi kepada Tabung Haji. Rafizi menambah, nilai jualan RM 188.5 juta itu lebih kurang serupa dengan nilai pembayaran faedah pinjaman yang perlu dilunaskan oleh 1MDB bagi hutang-hutangnya. Beliau menambah, mengikut laporan akhbar perniagaan The Edge, 1MDB perlu membayar faedah pinjaman sebanyak USD52.5 juta (bersamaan RM188.5 juta).[42]

Dalam pada itu, Datuk Johan turut menafikan pembelian Signature Tower melibatkan kos RM 578 juta.[42]

Dalam perkembangan lain, terdapat 3 orang yang berpengaruh dalam pentadbiran Lembaga Tabung Haji yang mempunyai kaitan dengan syarikat 1MDB mereka ialah: Ismee Ismail, Datuk Johan Abdullah dan Abdul Samad Alias.

  • Ismee Ismail ialah Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Lembaga Tabung Haji, beliau juga ialah Ahli Lembaga 1MDB.[43]
  • Datuk Johan Abdullah ialah Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Lembaga Tabung Haji, beliau juga ialah Pengerusi sebuah anak syarikat 1MDB iaitu Edra Global Energy Sdn Bhd. Edra memperoleh aset janaan tenaga dari Powertek (dulu dikenali sebagai Tanjong Energy), Genting Sanyen dan Jimah.[43]
  • Abdul Samad Alias ialah panel pelaburan Tabung Haji, beliau juga adalah salah seorang dari Ahli Lembaga Penasihat 1MDB yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Malaysia iaitu Najib Razak.[43]

Pada 8 Mei 2015, mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Mahathir bin Mohamad sekali lagi menemplak aktiviti pembelian tersebut dan beliau mahukan rancangan pembelian itu dibatalakn serta merta. Beliau berkata "wang Tabung Haji adalah daripada pencarum dan Tabung Haji hanya diamanahkan untuk mengurus dengan baik, dengan cara yang dihalalkan oleh Islam. Wang ini bukan milik Tabung Haji. Tanah TRX seluas 70 ekar dibeli oleh 1MDB dengan harga RM194.1 juta untuk 70 ekar. Kini Tabung Haji membeli 1.5 ekar dengan harga RM188.5 juta, hampir sama dengan harga 1MDB beli 70 ekar".[44]

Namun pada 9 Mei 2015, berikutan cemuhan dan persoalan yang terlalu banyak ditimbulkan oleh rakyat Malaysia, Tabung Haji (TH) memutuskan untuk menjual semula satu plot tanah di Tun Razak Exchange (TRX) yang dibeli daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB) pada pertimbangan RM188.5 juta sebelum ini. Pengerusi TH, Datuk Abdul Azeez Rahim, berkata penjualan tanah itu dibuat atas nasihat Perdana Menteri Malaysia, Dato Seri Najib Razak. Azeez berkata sudah ada tiga pihak sedia membeli tanah dan urusan jual beli tanah ini akan dilaksanakan TH minggu kedepan.[45]

Namun begitu sehingga 30 Julai 2015, Lembaga Tabung Haji (TH) masih belum menjual tanah bernilai RM188.5 juta yang dibeli daripada syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) walaupun sebelum ini berjanji tanah tersebut akan dijual dalam tempoh 2 minggu dari dari 9 Mei 2015. Pengerusi TH Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, mereka masih dalam proses memaktubkan perjanjian jual beli ketika ini.[46]

Isu pelaburan KWSP dalam 1MDB

Pada 11 Jun 2015, Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak, telah memberitahu Pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam syarikat pelaburan strategik, 1MDB adalah sebanyak RM200 juta. Beliau menambah pendedahan isu KWSP terhadap Pembinaan PFI Sdn Bhd berjumlah RM25.29 bilion itu berjaminan pajakan sewa oleh kerajaan Persekutuan.

“Pendedahan pembiayaan KWSP kepada syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) adalah dalam bentuk pinjaman berkadar tetap dan langganan bon di mana sebahagiannya bersandarkan kepada jaminan kerajaan, cagaran aset dan jaminan bank.” katanya.[47]

Isu bilion ringgit dalam akaun Najib

portal berita Sarawak Report dan akhbar British The Sunday Times telah menggunakan email bocor yang mengaitkan hartawan Pulau Pinang Jho Low, mempunyai ikatan rapat dengan anak tiri Najib, menerusi Jho Low telah berjaya menyedut US$700 juta hasil; dari permuafakatan niaga antara 1MDB dan syarikat eksplorasi minyak terkemuka dunia PetroSaudi.[48][49][50] Sebuah email mendedahkan Jho Low mendapat pinjaman mudah dari Perdana Menteri najib Razak bernilai US$1 billion tanpa mendapat kebenaran dari Bank Negara.[51][52]

Terdapat juga dakwaan keras dari Wall Street Journal yang mengatakan 1MDB sengaja meninggikan nilai belian aset tenaga di Malaysia menerusi penglibatannya dalam Kumpulan Genting pada tahun 2012. Genting kemudian didakwa memberi sumbangan kewangan ini kepada suatu yayasan yang dilindungi dibawah Perdana Menteri Najib Razak, beliau mempergunakan wang tersebut untuk tujuan kempen Barisan Nasional untuk memenangi Pilihanraya Umum Malaysia 2013.[53][54][55]

Menerusi dakwaan keras Wall Street Journal, jumlah wang yang tersangat besar berjumlah AS$700 juta (RM2.67 bilion) telah dimasukkan kedalam suatu akaun simpanan di AmBank dan Affin Bank, yang mana kedua-kedua akaun tersebut penamanya adalah Dato Seri Mohd Najib Razak, Perdana Menteri Malaysia.[56][57]

Sebuah jawatankuasa khas telah ditubuhkan oleh SPRM untuk meneliti tentang kes pendepositan wang ke akaun peribadi Najib, hasilnya 6 akaun simpanan dari kedua-dua bank telah dibekukan. Tetapi tidak menyatakan akaun milik siapa dibekukan.[58][59] Menurut sumber tertinggi, tiga daripada enam akaun yang dibekukan adalah milik Najib Razak.[60][61] The Wall Street Journal mendedahkan dengan terperinci butiran pemilikan akaun, transaksi secara online untuk menepis cemuhan dari Najib Razak dan penyokongnya.[62][63][64]

Urus niaga terbesar yang melibatkan pendepositan wang ke akaun Najib telah berlaku dalam dua masa iaitu sebanyak AS$620 juta dan satu lagi AS$61 juta pada Mac 2013, dua bulan sebelum pilihan raya umum 2013 diadakan. Bagaimanapun, Putrajaya menafikan laporan itu, mengatakan Najib tidak pernah menggunakan sebarang dana awam.

"Perdana Menteri tidak pernah mengambil apa-apa dana untuk kegunaan peribadi," kata seorang jurucakap Putrajaya.

Sementara itu, jurucakap 1MDB berkata, merujuk pemindahan ke akaun Najib: "1MDB tidak menyedari transaksi berkenaan atau melihat dokumen yang berkaitan." Jurucakap itu memberi amaran yang dokumen yang diubahsuai pernah digunakan sebelum ini untuk memburukkan 1MDB dan kerajaan.

Dalam perkembangan lain, Sarawak Report melaporkan RM42 juta dimasukkan ke akaun Najib dari SRC International Sdn Bhd, syarikat milik Kementerian Kewangan yang mengambil pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) atau KWAP.

"Wang yang diambil dari SRC International merupakan pendedahan yang mengejutkan kerana wang ini diberi pinjam oleh KWAP dan tidak pernah direkodkan," menurut laporan itu. Kementerian Kewangan berkata sebelum ini, SRC melaburkan dana itu dalam Gobi Coal & Energy Ltd, syarikat berpangkalan di Mongolia, namun butiran lanjut tidak didedahkan.Seorang pengarah SRC, Nik Faisal Ariff Kamil, dakwa laporan itu, dikatakan mempunyai kuasa guaman ke atas akaun Najib, menurut dokumen yang diperoleh dari siasatan itu. Transaksi terbaru, menurut laporan itu adalah pada Februari tahun ini. Dokumen menunjukkan SRC International memindahkan RM10 juta ke sebuah akaun milik “Dato' Sri Mohd Najib Bin Hj Abd Razak” di AmPrivate Bank di Kuala Lumpur.[65]

Isu pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan kaitannya dengan 1MDB

Menurut suatu laporan tanggal 21 Mei 2015, mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui mahu Ahli Lembaga Pengarah 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dipecat susulan beban hutang yang wujud dalam syarikat pelaburan milik kerajaan itu.

Bagaimanapun Timbalan Perdana Menteri itu berkata, kenyataannya itu merupakan pandangan peribadi beliau yang disuarakan pada pertemuan tertutup antara pemimpin dan ahli UMNO di Institut Latihan Memperkasa UMNO (ILMU), Janda Baik, Pahang. “Itu pandangan saya yang dibuat pada kursus politik anjuran Biro Latihan, bagi saya itu pandangan saya dengan rakan-rakan pimpinan politik supaya mereka lebih faham". Menurut Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Timbalan Presiden UMNO, kenyataannya berhubung 1MDB bukan sesuatu yang baharu kerana beliau sebelum ini pernah menggesa supaya kerajaan tidak melakukan ‘bailout’ terhadap syarikat itu.[66]

Pada 28 Julai 2015, melalui suatu pemberitahuan khas Perdana Menteri oleh Najib Razak sendiri, beliau telah menamakan barisan Kabinet Malaysia 2015 baharu. Menerusi pengumuman khas itu, secara rasminya Tan Sri Muhyiddin Yassin telah digugurkan dari barisan Jemaah Menteri dan jawatan beliau itu digantikan oleh Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Tan Sri Muhyiddin Yassin mempersoalkan relevan pemecatan beliau dari jawatan Timbalan Perdana Menteri Malaysia bahawa disebabkan kelantangan beliau menegur Perdana Menteri dalam isu-isu dana 1MDB yang tidak jelas dan menimbulkan pelbagai bentuk logika persoalan. [67]

Tambahan dari itu, terdapat perkembagan pelik hanya dalam tempoh kurang 48 jam dari tanggal 28 Julai 2015. Ini kerana pengumuman rombakan Kabinet berlaku hampir serentak dengan empat berita mengejutkan lain yang diandaikan mempunyai kaitan antara satu sama lain.[68]

Empat berita lain yang diumumkan serentak dengan rombakan Kabinet ialah:

  1. 1. Penamatan khidmat Tan Sri Abdul Gani Patail sebagai Peguam Negara Malaysia;
  2. 2. Persatuan Minda Sosial Prihatin (PMSP) lapor kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuan Malaysia mengenai 1BestariNet di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin;
  3. 3. Pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri; dan
  4. 4. Pelantikan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman yang baru.

Rujukan

WikiPedia: 1Malaysia_Development_Berhad http://english.astroawani.com/malaysia-news/dr-m-f... http://www.bloomberg.com/news/articles/2015-07-07/... http://investing.businessweek.com http://investing.businessweek.com/research/stocks/... http://www.businesswire.com http://www.businesswire.com/news/home/201001180052... http://www.channelnewsasia.com/news/asiapacific/ta... http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2... http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2... http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2...