Kontroversi Abdullah_bin_Ahmad_Badawi

Setelah gerakan untuk menuduh orang-orang kenamaan seperti Eric Chia dan Isa Abdul Samad dengan rasuah, usaha pentadbiran Abdullah untuk membanteras rasuah dikatakan menjadi kurang jelas. Masih dibahaskan sama ada Abdullah masih terus melawan rasuah secara diam-diam ataupun dia telah sengaja melambatkan usaha dalam menghapuskan rasuah.

Walaupun Abdullah mengatakan bahawa beliau mengalu-alukan pandangan atau kritikan yang membantu memperbaiki pentadbirannya, beliau telah memberi amaran kepada Mukhriz Mahathir yang mengkritik dasar ekonominya pada Mesyuarat Agong UMNO 2006.[12] Kerajaannya juga cuba mengawal sumber-sumber "bawah tanah" seperti laman web, forum dan blog, menganggap mereka yang menyebarkan maklumat secara maya sebagai "tidak punya kredibiliti".[13] Di bawah Bill of Guarantee MSC, kebebasan Internet dijamin oleh kerajaan Malaysia. Oleh itu sebarang usaha untuk menyekat kebebasan bersuara di Internet dilihat sebagai usaha sia-sia.

Kebebasan media

Abdullah juga sering dikritik oleh penulis blog Malaysia dan media luar negara kerana sentiasa mendiamkan diri dengan kritikan terhadapnya. Dia telah bersumpah untuk bertindak keras ke atas penunjuk-penunjuk perasaan yang pro-demokrasi dan memberi sokongannya kepada polis untuk menghapuskan pertunjukan perasaan dan menangkap peserta dalam pertunjukan perasaan.[14] Ini telah diikuti oleh suatu siri larangan media berkenaan beberapa perhimpunan pro-demokrasi bersifat aman seperti Perhimpunan Bersih 2007 yang diadakan pada 10 November 2007. Media tempatan yang dikawal oleh kerajaan Malaysia tidak menyiarkan hal itu (dengan penuh) sedangkan ia telah diperihalkan oleh media luar negara seperti Al-Jazeera, Reuters, BBC dan CNN. Abdullah kemudian menyatakan bahawa dia pantang dicabar.[15]

Pembubaran Parlimen Malaysia pada 13 Februari 2008

Abdullah Badawi sekali lagi dikritik mengamalkan tabiat menipu oleh ahli-ahli politik pembangkang, setelah beliau mengumumkan pembubaran Parlimen Malaysia pada 13 Februari 2008.[16] Ini kerana beliau telah berjanji pada 12 Februari 2008 bahawa pembubaran Parlimen tidak akan berlaku pada hari keesokan.[17]

Walau bagaimanapun, ketika ditanya wartawan mengapa Parlimen dibubarkan pada 13 Februari sedangkan beliau pada hari sebelumnya menafikan akan membubarkan Parlimen, Abdullah Badawi mengatakan beliau tidak boleh memberi sebarang bayangan mengenai pembubaran parlimen.[18]

Fakta bercelaru tentang daya saing Malaysia

Pada 28 Januari 2008, Abdullah Badawi mendakwa bahawa Malaysia di tangga kelapan dunia dalam konteks daya saing negara berdasarkan Laporan Daya Saing Dunia 2007 (World Competitiveness Yearbook 2007). Dakwaan itu hanya betul di kalangan kategori negara-negara yang mempunyai populasi 20 juta penduduk ke-atas, manakala keseluruhannya Malaysia hanya menduduki tempat ke-23 di dalam dunia.[19]

Bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim mengatakan bahawa Abdullah Badawi sengaja memutarbelitkan hakikat dan keputusan Abdullah untuk mengeluarkan fakta yang bercelaru ini adalah usaha yang sangat lemah untuk menyembunyikan fakta bahawa asas-asas ekonomi Malaysia telah gagal bergerak di bawah pemerintahannya. Menurut Anwar, daya saing Malaysia semakin merosot dan dalam keadaan di mana ekonomi Malaysia dulunya setaraf dengan Singapura dan Hong Kong, Malaysia sekarang di kedudukan ke-23 di seluruh dunia, manakala Singapura di kedudukan kedua dan Hong Kong ketiga.

Anwar berpendapat bahawa Malaysia memerlukan kepimpinan yang lebih berwibawa sekiranya Malaysia ingin memperkasakan ekonominya sebagai gagasan ekonomi bertaraf global.[20]

Usul undi tidak percaya

Pada 14 Julai 2008, ketua pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengetuai 14 Anggota Parlimen dari PKR, PAS dan DAP mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap kepimpinan Abdullah Ahmad Badawi di bawah Peraturan Mesyuarat 18 (1) dan (2). Usul itu "Bahawa Dewan yang mulia ini mengambil ketetapan tidak percaya terhadap kepimpinan YAB Perdana Menteri Malaysia dan jemaah menteri beliau dalam menjalankan urus tadbir negara disebabkan terhakisnya keyakinan rakyat terhadap integriti kerajaan." Bagaimanapun usul itu ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dengan alasan peraturan 18(7).[21] SAPP pimpinan Datuk Yong Teck Lee bertindak keluar dari Barisan Nasional kerana tidak lagi mempercayai Datuk Seri Abdullah. UPKO juga hendak mengikut jejak SAPP tetapi membatalkan hasrat itu.[22]

Serah 'blok minyak RM320b' kepada Brunei

Pada 30 April 2010, Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa penggantinya, Tun Abdullah Ahmad Badawi telah menyerahkan kepada Brunei dua blok pengeluaran minyak luar pantai, Blok L dan Blok M yang kaya dengan minyak sebelum bersara awal pada 2008 seperti yang dilaporkan oleh The Edge Financial Daily (22 April) dan Brunei Times sebagai pertukaran dengan daerah Limbang, Sarawak.[23] Ia 'dinafikan' oleh beliau yang berkata bahawa sumber di 'blok L dan M' di Laut China Selatan yang dirujuk oleh Dr Mahathir, kini dikongsi bersama oleh Malaysia dan Brunei di bawah perjanjian wilayah dan komersil yang ditandatangani pada 16 Mac 2009 untuk tempoh 40 tahun, bertujuan untuk menyelesaikan isu sempadan antara kedua negara.[24]

Rujukan

WikiPedia: Abdullah_bin_Ahmad_Badawi http://radaris.asia/p/Su/Chiang/ http://anwaribrahimblog.com/2008/01/29/daya-saing-... http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=3... http://www.bernama.com/bernama/v3/news_lite.php?id... http://www-cgi.cnn.com/ASIANOW/asiaweek/99/0122/cs... http://www.malaysiakini.com/news/130661 http://www.malaysiakini.com/news/130664 http://www.malaysiakini.com/news/74591 http://pgoh13.com/pm_chinese.html http://comment.straitstimes.com/showthread.php?t=1...