Kerjaya Ady_Putra

Perjalanan kerjaya Adi bermula di Singapura sebagai model, pelakon dan pengacara di MediaCorp Suria. Pada ketika pertama kali berlakon, beliau pernah dikenali sebagai Hadi Putera. Beliau juga pernah menjadi duta syarikat Triways. Pekerjaan sepenuh masa pertamanya setelah menamatkan khidmat negara ialah sebagai juruteknik pencahayaan untuk siri televisyen Cina MediaCorp.[6] Ketika berusia 21 tahun, beliau membuat penampilan sulung di televisyen Singapura pada 2002 menerusi drama Cinta Bollywood 2 yang turut dibintangi oleh Aaron Aziz dan Suhailah Salam, beliau kemudian membintangi drama Anak Metropolitan musim kedua, yang mana beliau memegang watak sebagai instruktor gimnasium.[6] Pada tahun 2003, beliau menyertai pertandingan kecantikan yang dianjurkan oleh majalah gaya hidup dan hiburan Melayu Singapura Manja dan dinobatkan sebagai Encik Fotogenik.[6]

Beliau berhijrah ke Malaysia pada 2004 di mana kerjaya lakonan beliau lebih bersinar dan meniti puncak populariti. Beliau melakonkan watak sebagai Zainuddin dalam drama Haryati musim kedua yang dibintangi oleh Lisdawati dan Rusdi Ramli dan bersiaran di TV1. Ini diikuti oleh watak sebagai Carl Zafran dalam Tak Tercapai Akalmu.[7] Ditanya mengenai watak Carl dalam Tak Tercapai Akalmu, Adi berkata: "Saya lakonkan peranan yang berbeza, dari seorang anak yang tidak berterima kasih kepada adik lelaki yang kurang bernasib baik. Jadi memegang watak Carl yang mengalami kesulitan menyatakan perasaannya agak mencabar buat saya."[7]

Pada tahun 2006, Ady berlakon di samping Eja dalam drama Mya Zara yang bersiaran di Slot Samarinda TV3.[8] Beliau membuat penampilan filem pertama menerusi filem sejarah 1957: Hati Malaya arahan Shuhaimi Baba yang ditayangkan pada 25 Oktober 2007. Dalam filem ini, Ady menjayakan watak Syed Alwi Al-Hadi.[9] Beliau kemudian berlakon bersama Farid Kamil, Fauzi Nawawi, Fizz Fairuz, Maya Karin dan Fasha Sandha dalam filem aksi arahan Osman Ali, Anak Halal yang ditayangkan pada 13 Disember 2007.[10]

Ady melakonkan watak sebagai Ridzuan dalam drama Akukah Tanggang? yang memulakan tayangan perdana di Slot Lagenda TV3 pada 28 Julai 2008. Ia turut dibintangi oleh Fasha Sandha, Aida Radzwill, Jalaluddin Hassan, Wan Hanafi Su, Fizz Fairuz, Almy Nadia dan Fauziah Nawi,[11] Beliau turut menyumbangkan suaranya dengan menyanyikan lagu tema drama ini, "Kelahiran".[12] Beliau melancarkan album solo pertama, Kelahiran yang memuatkan sebanyak 11 lagu, dikeluarkan pada tahun yang sama.[13]

Sepanjang 2009 dan 2010, Adi tidak berlakon filem, sebaliknya lebih menumpukan perhatian kepada drama dan telefilem. Di dalam drama Kala Hati arahan Harris Fadhilah, Adi menjayakan watak utama bersama Dynas. Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Jenama Grand Brilliance, Nurul Aini Abu Bakar berkata: "Kami cuba memberikan yang terbaik kepada penonton kami terutama penggemar-penggemar slot ini. Untuk itu, kami telah memilih siri ‘Kala Hati’ untuk mengisi slot ini kerana ianya menarik untuk ditonton oleh seisi keluarga. Watak utama yang dilakonkan oleh Ady Putra dan Dynas semestinya memberikan impak yang sangat berkesan disamping diperkuatkan lagi oleh pelakon-pelakon yang tidak boleh disangkal lagi kehebatannya menambahkan lagi perisa di dalam kisah ‘Kala Hati’ ini." Drama ini mengisahkan Faizal, seorang pemuda yang kacak dan baru kembali setelah menamatkan pengajiannya di Amerika.[14] Adi menjayakan watak utama bersama Elly Mazlein dalam drama Na O Mei arahan Fairuz Loy dengan skrip ditulis oleh Rozie Rashid yang diilhamkan dari kisah benar mengenai gadis Siam yang berkahwin dengan lelaki Melayu dan mempunyai anak dinamakan Na O Mei.[15]

Selepas sekian lama berehat panjang dari berlakon filem, Adi kembali beraksi menerusi filem HAQ arahan bersama Hor Chee Leong dan Jumaatun Azmi.[16][17] Dalam filem ini, Adi melakonkan watak Badrul Ibrahim. Feride Hikmet Atak dari mSTAR Online mengulas: "Haq sebuah filem yang membuatkan penonton keliru dengan jalan cerita yang hendak ditampilkan".[18]

Adi Putra pada tahun 2015.

Bekerjasama bersama Syamsul Yusof, beliau menjadi pelakon utama bersama Aaron Aziz, Soffi Jikan, Syamsul dan Zizan Razak menerusi filem aksi pecah panggung, KL Gangster yang ditayangkan pada 9 Jun 2011 di mana beliau memegang watak Jai, adik kepada Malek lakonan Aaron Aziz.[19] Ady menjayakan watak bersama Sari Yanti dalam siri drama Suria Di Cordoba yang memulakan siaran pada 7 Jun di Astro Prima.[20] Drama ini menjalani penggambaran di dua bandar utama SepanyolCordoba dan Madrid dan juga di Malaysia—Kuala Lumpur dan Lembah Kelang, Selangor. Adi memegang watak sebagai Indra Putra.[21] Beliau berpasangan bersama Nora Danish dalam filem romantik Aku Terima Nikahnya arahan sulung Eyra Rahman yang ditayangkan pada 11 Oktober 2012.[22]

Dalam filem aksi jenayah 2013, Langgar arahan sulung Syed Hussein, Adi memegang watak sebagai Nizam, seorang pemuda biasa yang ingin menuntut keadilan atas isteri dan bakal bayinya akibat dibunuh oleh sekumpulan samseng. Filem ini turut dibintangi oleh Namron, Zul Huzaimy, Hans Isaac, Nasrizal Ngasri, Khir Rahman dan Natasha Hudson.[23]

Beliau kembali menjayakan watak Jai dalam prekuel filem KL Gangster, KL Gangster 2,[24] bagaimanapun dua bulan sebelum ditayangkan, salinan filem ini mula tersebar di internet. Namun demikian, ia berjaya mencuri perhatian penonton biarpun sekadar meraih kutipan lebih rendah berbanding filem terdahulu.[25]

Pada 9 Januari 2014, beliau berlakon dalam filem aksi jenayah Balistik arahan Silver Chung. Adi menjayakan watak sebagai Nizam, rakan karib Saga lakonan Rosyam Nor dan suami kepada Salina lakonan Rita Rudaini.[26][27] Beliau membuat kemunculan khas dalam filem komedi jenayah Amir dan Loqman Pergi ke Laut arahan Mamat Khalid. Adi berlakon dalam satu-satunya drama lakonannya bagi tahun 2014, Zahira yang mana beliau melakonkan watak Iqbal dan menjadi hero utama Zara Zya yang memegang watak tajuk.[28]

Adi bersama-sama Nasha Aziz serta barisan pelakon lain menjayakan pementasan teater adaptasi dari novel 1938 karya sasterawan Indonesia Hamka, Di Bawah Lindungan Ka'bah yang dipentaskan di Istana Budaya dari 10 hingga 18 Mei 2014.[29][30]

Adi menjayakan watak sebagai Iskandar, seorang pemuda yang cacat pendengaran dalam filem drama arahan Bade Hj. Azmi, Isyarat Cinta yang turut dibintangi oleh Liyana Jasmay dan Fizo Omar. Untuk menjayakan peranannya, beliau menghadiri kelas bahasa isyarat.[31][32]

Adi digandingkan kembali bersama Nora dalam filem romantik Suami Aku Ustaz arahan Ghaz Abu Bakar, ditayangkan pada 14 Mei 2015.[33][34] Filem yang diadaptasikan daripada novel dengan tajuk yang sama hasil nukilan Hannah Dhaniyah mengisahkan tentang seorang pelajar sekolah menengah, Alisa yang dipaksa untuk berkahwin dengan sepupunya dan guru agama di sekolahnya, Ustaz Hafiz.[35][36]

Pada 30 Disember 2015, Adi bergandingan bersama pendatang baharu, Mira Filzah sebagai pelakon utama drama adaptasi novel terbitan Penulisan2U, Cinta Si Wedding Planner yang mengisahkan Izara Batrisya (Mira Filzah) seorang gadis bercita-cita tinggi dalam bidang perancang perkahwinan bertemu dengan seorang lelaki penuh egois, Fariz Adryan (Adi) sehingga membawa mereka ke jinjang pelamin. Dalam drama ini, beliau memegang watak sebagi Faiz Adryan. Siri ini mencatatkan jumlah tontonan sebanyak 4.5 juta.[37]

Adi merupakan salah seorang pelakon utama filem Hanyut arahan U-Wei Hj Saari yang ditayangkan pada 24 November 2016 selepas sekian lama tertangguh.[38] Dalam filem yang diadaptasi dari novel Almayer's Folly karya Joseph Conrad, beliau memegang watak sebagai Dain Maroola.[39][40] Dalam satu temuramah bersama Sinar Harian, Adi berkata Watak Dain sedikit sebanyak memberi cabaran baru buatnya: "Daim hidup sekitar tahun 1800 yang mana, kita tidak mengetahui bagaimana slanga bahasa Melayu yang digunakan pada ketika itu. Saya cuba mencari slanga yang tepat di internet namun tak berjaya menemuinya. Jadi, saya perlu merujuk slanga yang hampir serupa pada tahun itu."[41]

Beliau berlakon bersama Janna Nick, Izara Aishah dan pelakon Indonesia, Irwansyah dalam drama gabungan kerjasama tiga negara–Malaysia, Singapura dan Indonesia, Dia arahan Eoon Shuhaini yang bersiaran di TV3 dari 14 Oktober 2017 - 11 Mac 2018.[42] Bermula 1 Januari 2018, Adi memegang watak sebagai Alif, seorang pemuda yang dihukum penjara selama 10 tahun, namun kemunculan semulanya tidak diterima masyarakat setelah dibebaskan dalam drama Sejadah Untuk Dia arahan Rahila Ali terbitan Skop Productions. Ia turut dibintangi oleh Rashidi Ishak, Ben Amir, Tania Hudson dan Wawa Zainal.[43]

Beliau seterusnya muncul dalam filem drama biografi romantik, Makrifat Cinta arahan Kamal G,[44] beliau memegang watak Rizal. Filem ini ditayangkan pada 1 Februari 2018 dan turut dibintangi oleh Nora Danish, Nabila Huda dan Syamsul Yusof.[45][46] Selepas Sejadah Untuk Dia, Ady menjayakan watak sebagai Fikri dalam siri TV Teratai Kemboja, beliau digandingkan sekali lagi dengan Fasha Sandha. Drama ini menjalani penggambaran di Kemboja dan bersiaran di Slot Zehra pada 13 April 2018.[47][48]

Adi menjayakan watak Mat Kilau, pejuang Melayu yang menentang pentadbiran British di Pahang dalam filem biografi sejarah, Mat Kilau arahan Syamsul Yusof yang memulakan penggambaran pada April 2018.[49][50] Syamsul mengulas mengenai pemilihan Adi untuk watak Mat Kilau: "Pemilihannya adalah kerana dia mampu menjiwai watak tersebut dan saya yakin dia sebagai pelakon berpengalaman akan membawakan watak ini dengan baik,".[51][52]

Rujukan

WikiPedia: Ady_Putra http://www.astroawani.com/berita-hiburan/adi-putra... http://www.astroawani.com/berita-hiburan/hanyut-ak... http://blog.azhad.com/2005/05/teater-rubiah.html http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2... http://www.gempak.com/artikel/9408/sudah-tiba-masa... http://www.imdb.com/name/nm2866919/ http://www.kitepunye.com/movieteater/suami-aku-ust... http://www.malaysiandigest.com/archived/index.php/... http://www.malaysiandigest.com/hiburan/495685-foto... http://www.cinema.com.my/news/gallery.aspx?search=...