Ruhi Hayat Ahmad_Boestamam

Ruhi Hayat ialah nama pena kepada Ahmad Boestamam seorang aktivis politik dan penulis di zaman menentang penjajah Inggeris 1940 hingga 1957. Beliau menggunakan nama Ruhi Hayat untuk cerpen dan sajaknya yang disiarkan di akhbar Utusan Zaman semasa beliau dalam tahanan di Khemah Tahanan Ipoh pada awal 1950-an. Dengan menggunakan nama samaran ini, beliau menulis cerpen dan mendapat imbuhan $5 bagi setiap cerpen sedangkan pihak berkuasa British tidak mengetahuinya. Karya beliau diseludupkan keluar dengan bantuan seorang wadar (penjaga penjara) yang bersimpati dengannya. Pembayaran dibuat dengan wang kiriman yang dihantar oleh salah seorang sidang pengarang Utusan Zaman ketika itu, Usman Awang. Usman Awang hanya menuliskan nota "Bersama-sama ini disertakan wang untuk keperluan saudara membeli rokok" dan mengirimkannya ke Penjara Ipoh. Pihak penguasa penjara tidak mengesyaki apa-apa dan mengkreditkan ke dalam simpanan Ahmad Boestaman. Satu lagi nama samaran yang digunakan oleh Ahmad Boestamam ialah Jiwalara.