Akademi_Fantasia_Musim_4

Akademi Fantasia Musim 4 telah diadakan pada tahun 2006. Ujibakat diadakan di seluruh bandar-bandar utama di seluruh Malaysia dan juri-juri memilih 20 daripada mereka yang paling terserlah dan sesuai untuk diambil sebagai calon pelajar Akademi Fantasia. Pada 20 Mei 2006, Tirai Akademi Fantasia memaparkan 'kejutan' kepada peserta yang mereka telah terpilih untuk menjadi calon pelajar. Mereka disaringkan sekali lagi buat kali terakhir sebelum pemilihan muktamad ketika Konsert Prelud Akademi Fantasia pada 28 Mei 2006. Berbeza dengan tahun 2005, konsert prelude kali ini memperlihatkan juri hanya memilih sepuluh orang pelajar manakala 2 orang lagi dipilih oleh penonton melalui undian. Setelah terpilih, mereka dibawa masuk ke dalam Akademi dan memulakan pelajaran secara rasmi pada 29 Mei 2006. Konsert mingguan diadakan di Dewan Sivik MBPJ dan konsert akhir iaitu pada minggu ke-10 diadakan di Stadium Putra Bukit Jalil. Setelah 3 musim menyaksikan tiada penyingkiran pada minggu pertama, musim kali ini memperlihatkan pelajar pertama yang tersingkir dalam konsert minggu pertama. Pelajar yang berusia 23 tahun iaitu Mohammad Faizal bin Ramly dari Marang, Terengganu muncul sebagai juara sekaligus meneruskan tradisi bahawa juara AF masih didominasi oleh kaum lelaki.