Biografi Amelina

1974-1993: Kehidupan awal

Penyanyi yang peramah dan ceria ini dilahirkan pada 4 Ogos 1974 dan berasal dari Nilai, Negeri Sembilan, Malaysia. Beliau membesar dan bersekolah di situ sebelum berhijrah ke Kuala Lumpur untuk bergelar penyanyi pada tahun 1994 ketika berusia 20 tahun. Sebelum menceburkan diri dalam bidang seni muzik, beliau pernah bekerja di kilang elektronik TDK di Nilai, Negeri Sembilan, Malaysia selama hampir dua tahun. Sewaktu bergelar artis, Amelina diuruskan oleh adiknya, Amir Hanafi atau mesra disapa Angah dan dibantu oleh ibunya, Hasmah Ramli. Ibunya adalah orang yang bertanggungjawab mencetus idea kepada beliau untuk mencuba irama Dangdut[3]. Ketika zaman popularitinya, Amelina yang rapat dengan bapanya Amir Sharifuddin Abdul Raof (Allahyarham) pernah menghadiahkan sebidang tanah di Nilai, Negeri Sembilan, Malaysia bagi membina sebuah banglo yang menempatkan mereka sekeluarga di sana sehingga kini[4].

1994-1995: Album pertama dan bergelar Ratu Dangdut

Bermula era 60'an hingga 80'an lagi irama Dangdut telah pun bertapak di Malaysia dengan kerjasama antara artis tanah air dengan para karyawan dari Indonesia. Muzik dangdut menjadi cukup sinonim dengan masyarakat Melayu hingga melahirkan beberapa penyanyi veteran yang cukup terkenal dengan irama ini antaranya Zaleha Hamid, Ahmadi Hassan, Shidee, Ramlah Ram, M. Daud Kilau, Herman Tino dan Salih Yaacob. Kesemua mereka berjaya menjual album dangdut hingga berpuluh ribu unit, namun irama dangdut ketika itu masih belum mampu mendominasi genre popular di Malaysia hingga terjadinya revolusi dangdut pada era 1990'an. Dengan kejayaan Ramlah Ram kembali meletup dengan lagu "Selamat Jalan Romeo", beberapa syarikat rakaman mula merancang untuk mencari bakat yang boleh diketengahkan sebagai penyanyi dangdut. Warner Music ketika itu juga telah mengikat kontrak bersama penyanyi Mas Idayu dan dalam masa yang sama mencari bakat baru untuk album berkonsepkan dangdut[5].

Pada tahun 1994, penerbit dangdut Ruslan Mamat telah dicadangkan oleh rakannya Syed Mustaffa untuk menguji bakat Amelina di MUI Plaza, Jalan P.Ramlee. Amelina yang ditemani oleh ibunya telah diuji bakat oleh Ruslan bersama Zaidi Nordin dan Nasser Abu Kassim. Namun kedua-dua mereka beranggapan nyanyian lagu pop Amelina sekadar biasa sahaja. Setelah itu Ruslah telah mendapat idea untuk merakam album berkonsepkan dangdut kontemporari bersama Iwan dan penerbit dari Indonesia yang bernama Yannuar. Akhirnya Ruslan menawarkan projek itu kepada Amelina yang pada awalnya enggan merakam album dangdut, tetapi setelah dipujuk oleh ibunya dia akur. Rakaman album sulung itu dibuat di Booty Studio, Jalan Pahang dan mengambil masa lebih dari dua bulan. Pada bulan pertama Amelina diberi masa untuk membuat persediaan rakaman. Setelah selesai rakaman, album itu diadunkan oleh oleh pengadun berpengalaman Loh Swee Fan yang ketika itu begitu gemarkan album tersebut malah menjangka ia bakal hits. Dengan keyakinan itu Ruslan membawa album itu kepada Nasser, namun Nasser yang ketika itu bergelar Pengurus A&R di Warner Music, dan beliau menolak. Ruslan yang bimbang kerugian terus membawa album itu ke beberapa syarikat rakaman antaranya PolyGram (Billy), BMG (Aziz Bakar), Sony Music (Johari Teh), Life Record (Ramli M.S.). Kebanyakan menolak kerana bagi mereka album dangdut tersebut tidak mampu terjual sebaik mana Ramlah Ram ketika itu, lebih-lebih lagi dari penyanyi baru yang tidak dikenali. Akhirnya Ruslan sekali lagi ke Warner Music untuk berjumpa Tony Fernandes yang merupakan Pengarah Urusan. Dengan sekali dengar, Tony bersetuju untuk membeli album tersebut dan mengikat kontrak bersama Amelina dan dari situlah bermulanya karier Amelina yang asalnya seorang gadis kilang kepada seorang penyanyi popular tanahair.

Album pertama beliau diberi judul Amelina dan dipasarkan pada tahun 1994. Lagu "Rindu" menjadi lagu megahits pada tahun tersebut hingga menjuarai carta Radio Muzik selama lebih dari 6 minggu. Ketika itu demam dangdut mula berlaku di mana selain Ramlah, kehadiran Amelina bersama rakan artis sebumbung Mas Idayu begitu mendapat sambutan. Imej dan gaya Amelina yang cukup berlainan daripada penyanyi dangdut lain cukup disenangi. Ketika itu muzik dangdut tidak lagi dikaitkan dengan irama gelek yang menggiurkan sebaliknya senikata dan senilagu serta persembahan yang ditampilkan Amelina cukup sederhana dan sopan. Selain "Rindu", single kedua berjudul "Yang Indah Yang Hangat" berjaya menguasai carta. Album sulung Amelina ini berjaya terjual melebihi 200,000 unit dalam tempoh setahun malahan berjaya terjual di Indonesia.

Setelah itu Ruslan Mamat dipanggil sekali lagi oleh Nasser dan Tony untuk menerbitkan album susulan buat Amelina. Kali ini konsep dan promosi diperkemaskan dengan bantuan pelbagai pihak termasuk perunding imej. Imej Amelina ketika ini cukup elegan dan berjaya menaikkan taraf penyanyi dangdut ke kelas yang tinggi. Pada penghujung tahun 1995 lahirlah album Asyik yang dirakamkan di Bandung, Indonesia dengan sentuhan komposer Malaysia dan Indonesia [6]. Seperti yang dijangka, album Asyik terus meledak sebaik dipasarkan hingga mencipta fenomena tersendiri hingga berjaya menyaingi penyanyi-penyanyi pop sedia ada. Album ini berjaya memenangi trofi Anugerah Industri Muzik ke-3 untuk kategori Album Pop Etnik Terbaik. Lagu-lagu seperti "Asyik", "Anak Dara", "Di Dadaku Ada Kamu" dan "Ah! Rindu Lagi" menjadi deretan hits yang cukup malar segar hingga kini. Tidak keterlaluan dikatakan album tersebut merupakan 'killer album' kerana berjaya menguasai carta radio dan jualan mencecah 250,000 unit. Lagu "Ah! Rindu Lagi" berjaya mara ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu ke-11 dalam kategori Irama Malaysia. Selain itu Amelina berjaya menjadi satu-satunya penyanyi dangdut yang berjaya dicalonkan sebagai Penyanyi Wanita Popular oleh Anugerah Bintang Popular Berita Harian.

1996-1999: Kejayaan awal

Selepas irama dangdut mendapat tempat dan pasaran meluas, pelbagai inisiatif dilakukan untuk memastikan irama tersebut diperkembangkan lagi termasuklah beberapa siri konsert jelajah yang membabitkan Amelina serta projek khas album Puteri Dangdut dan Dang Dang Dut yang dikelolakan oleh penerbit dan penyanyi dangdut terkenal Iwan. Menerusi pembabitan dalam album-album ini, Amelina dikenali sebagai pasangan duet yang cukup serasi dengan Iwan. Antara lagu yang cukup popular gandingan mereka adalah "Yang Tersayang", "Memori Daun Pisang" dan "Sepayung Berdua". Ketika ini jugalah Iwan dan Amelina menjalinkan hubungan cinta. Album Dang Dang Dut yang meyaksikan kolaborasi Iwan, Amelina dan Sheeda berjaya terjual hingga 350,000 unit pada tahun 1996 menjadikan ia sebagai album paling laris pada tahun tersebut, sekaligus album dangdut paling laris sepanjang zaman. Pada tahun 1996 sahaja, keseluruhan album Amelina termasuk Asyik telah terjual lebih dari 500,000 unit menjadikan beliau sebagai artis berpendapatan tinggi pada pertengahan 1990an bahkan berjaya memasuki pasaran Jepun [7]. Ketika itu selain Amelina, Mas Idayu dan Ramlah Ram juga antara penyanyi dangdut wanita yang cukup laris dan mereka berjaya meletakkan nama sebaris dengan penyanyi-penyanyi wanita berpengaruh di era 90an dari pelbagai genre lain seperti Ella, Sheila Majid, Aishah, Ziana Zain, Shima, Noraniza Idris, Ning Baizura, Amy Mastura dan Fauziah Latiff.

Album ketiga Amelina yang diberi judul Cinta Oh Cinta diterbitkan pada penghujung 1997. Album ini sekali lagi berjaya terjual dengan laris tetapi ia sedikit berkurangan daripada dua album terdahulu. Ketika album ini keluar, Amelina diserang pelbagai kontroversi termasuk isu percintaannya dengan Iwan serta isu-isu remeh yang menyebabkan namanya sedikit tercemar. Pun begitu, album ini berjaya terjual melebihi 100,000 unit biarpun ketika itu negara mengalami kegawatan ekonomi. Ia juga mempopularkan lagu-lagu seperti "Cinta Oh Cinta", "Semakin Rindu Semakin Asyik" dan "Zapin 7 Purnama". Ketika berlangsungnya Sukan Komanwel 1998 di Kuala Lumpur, Amelina diberi penghormatan untuk membuat persembahan. Sepanjang meniti kemuncak populariti beliau pernah membuat persembahan luar negara seperti di Indonesia dan Jepun.

Iwan dan Amelina sempat bergandingan dalam duet terakhir berjudul "Sepayung Berdua" dalam album Dunia Dangdut: Superduet Hits 1998. Lagu tersebut gagal dipromosikan ekoran kerjasama yang gagal dibentuk antara kedua-duanya. Tambahan, pada tahun 1999, Iwan telah memfailkan saman malu terhadap Amelina berkenaan "kontroversi seluar dalam". [8]. Kerjaya seninya mula menjadi kucar-kacir. Single terakhirnya sebelum menghilang adalah lagu duet bersama Jamal Abdillah yang berjudul "Seri Langkat" (yang pernah dinyanyikan Sudirman Arshad bersama lagenda dangdut Zaleha Hamid) pada awal tahun 1999. Setelah itu Amelina terus menyepikan diri dari industri muzik setelah didakwa bernikah secara senyap-senyap. Kehilangan Amelina menjadi tanda tanya kepada semua peminat dan media, malahan syarikat rakaman Warner Music bersama Ruslan Mamat sudah sedia dengan material bagi album keempatnya yang dijangka keluar pada tahun 2000. Amelina didakwa sempat mengambil salinan demo lagu-lagu barunya tetapi tidak sempat merakam sebarang lagu. Ekoran kontrak yang ditinggalkan sebegitu sahaja, Warner Music aktif menerbitkan album kompilasi hits Amelina selama lebih 10 tahun demi menanggung kerugian atas kehilangan beliau [9]. Untungnya, kesemua album kompilasi Amelina laris terjual dan lagu-lagunya malar segar. Kebetulan juga pasaran muzik dangdut jatuh pada tahun 2000 menyebabkan ramai penyanyi dangdut mula beralih arah. Ramai yang beranggapan muzik dangdut tidak akan sama seperti kemunculan Amelina sehinggakan permintaan peminat agar beliau kembali tidak pernah putus.

2000-2013: Menghilangkan diri

Sepanjang kehilangannya, hanya beberapa kali beliau kelihatan muncul di khalayak ramai. Kali pertama muncul semasa beliau dan suami mendaftar pernikahan dan membayar denda di mahkamah syariah pada tahun 2000. Pada masa itu dia bertudung kerana keperluan prosedur hadir ke mahkamah tersebut. Selain itu, beliau juga pernah muncul seketika di media dengan berita yang heboh mengenai masalah rumah yang disewa bersama suami beliau. Ketika itu, beliau juga kelihatan bertudung. Mungkin kerana itu orang ramai beranggapan Amelina telah berhijab. Hakikatnya dia masih seperti dulu dan hanya mengenakan tutup kepala untuk elak daripada dirinya dikenali [10]. Amelina juga pernah mencuri perhatian sewaktu menghadiri pengkebumian arwah bapanya di Kampung Lambar, Labu, Negeri Sembilan pada 2009[11]. Beliau bagaimanapun tidak mahu ditemubual dan menyatakan beliau sudah tidak terlibat dalam dunia seni . Pada tahun 2012, kumpulan rock Kyoto Protokol telah merakamkan semula lagu "Rindu" dengan irama alternatif [12].

Sejak lebih sedekad lalu, kehadiran semula beliau sentiasa dinantikan peminat dan media ekoran kehilangannya setelah mengambil keputusan untuk bersara secara mengejut dan berkahwin secara rahsia. Amelina menikahi suaminya, seorang usahawan bernama Reduan Mahamood pada 20 Mei 1999 [13]. Menerusi perkahwinan itu, Amelina dikurniakan enam orang cahaya mata, Puteri Nur’ Athirah (2001), Putera Al’ Affiq (2002), Putera Al’ Asyraff (2003), Puteri Nur’ Asyurah (2005), Putera Al’ Arffa (2007), dan Putera Al’ Amzar (2009).

2014-kini: Kembali aktif

Amelina pada tahun 2015.

Pada 2014, Amelina mengumumkan beliau telah bercerai dan bergelar ibu tunggal serta mahu kembali aktif dalam dunia seni suara.[14] Amelina juga turut membuat kejutan apabila muncul di lokasi awam bersama penyanyi Maya Matahari.[15] Akhirnya beliau mengumumkan kembali aktif dalam dunia seni suara selepas 15 tahun dan bakal bekerjasama dengan komposer Ajai yang pernah bekerjasama dengannya ketika album ketiga.[16]

Kemunculan semula Amelina menjadi perbualan hangat dan cukup dialu-alukan.[17] Beliau pernah muncul dalam rancangan temubual H-Live siaran Astro Awani yang memaparkan kerinduan rakan artis terhadap beliau terutamanya Erra Fazira yang merupakan sahabat karib beliau ketika zaman popularitinya dahulu. Kemunculan perdananya di khalayak umum dengan membuat persembahan rasmi adalah di "Konsert HM Padat" pada 7 Disember 2014. Seminggu selepas itu beliau muncul membuat persembahan di kaca televisyen buat pertama kali ketika peringkat akhir Gegar Vaganza Musim Pertama dengan membuat persembahan selingan khas bersama Jamal Abdillah yang pernah bergandingan dengannya dalam lagu "Seri Langkat".

Single pertama sejak kemunculan beliau hasil buah tangan Ajai adalah "Rindu 2015" yang digubah semula konsep muziknya dan dirakam bersama Stellar Band.[18]. Amelina kemudian melancarkan single kedua berjudul "Cinta Harus Seksi" ciptaan Ajai yang berkonsepkan elektro-dangdut pada pertengahan 2015 Amelina juga digandingkan bersama Mas Idayu dalam program konsert khas siaran Aidilftri iaitu "Konsert Rendang Dendang Dangdut" untuk siaran Astro Ria. Pada 11 Disember 2015, Amelina kembali bergabung bersama Sheeda untuk "Konsert Dangdut Live" di Tapak Pesta Sungai Nibong, Pulau Pinang. Setahun selepas kembali aktif, Amelina kemudian muncul semula di Indonesia, kali ini beliau diundang menyertai barisan pengkritik tetap di pertandingan Dangdut Academy Asia siaran stesen televisyen Indosiar di Indonesia bersama penyanyi dangdut dan irama melayu terkenal lain iaitu Inul Daratista, Iis Dahlia, Saipul Jamil, Soimah, Elvy Sukaesih, Ivan Gunawan, Mas Idayu, Nassar, Siti Nurhaliza, Rosalina Musa, Fakhrul Razi, Beniqno Aguino, Cici Faramida dan Rita Sugiarto.[19] Amelina juga sempat merakam konsert khas terbitan Radio Televisyen Malaysia iaitu "Konsert Ratu" bersama Ella dan Fauziah Latiff yang menghiasi kaca TV pada 2016.

Pada sekitar Julai 2018, Amelina bernaung pula di bawah syarikat pengurusan MindOrder Management yang turut menguruskan bintang-bintang popular dalam industri hiburan tanah air antaranya Erra Fazira, Fasha Sandha, Eyka Farhana, Jaa Suzuran dan Luqman Hafidz. Maka bermulalah lembaran baharu buat kerjaya seni ratu dangdut ini apabila beliau menerima lamaran untuk bersaing dalam Gegar Vaganza (musim 5) selepas tiga kali menolak kerana faktor kurang bersedia dan komitmen keluarga pada awal kemunculannya semula dalam industri. Selain perancangan yang strategik daripada pengurusannya, fasa baharu kerjaya Amelina juga didukung oleh kewujudan kelab peminatnya yang dinamakan AmelinaSoul berkuat kuasa pada 16 September 2018.

Mengulas mengenai Gegar Vaganza (musim 5), Amelina dan pengurusannya yakin penyertaan dalam program realiti popular itu adalah platform terbaik bukan sahaja untuk menguji kemampuan sebenar bintang itu menyampaikan pelbagai genre lagu selain dangdut, malah ia akan melonjakkan semula publisiti dan populariti namanya untuk fasa baharu kerjaya nyanyiannya. Tiga bulan pertandingan berlalu, Amelina mara ke peringkat akhir dan mendapat tempat keempat pada Gegar Vaganza (musim 5).

Tidak bernoktah di situ, pencapaian itu menjadi pemangkin semangat untuk Amelina terus melangkah maju. Pengurusan Amelina terus mencatur pelbagai pelan baharu buat bintang dangdut itu susulan populariti dan momentum daripada Gegar Vaganza. November dan Disember 2018 adalah tempoh yang sibuk dan padat buat Amelina apabila jadual hariannya terisi dengan pelbagai sesi temuramah dan fotografi bersama media, undangan persembahan di pelbagai acara, kempen-kempen produk dan kemunculan semulanya dalam bidang lakonan menerusi drama bersiri komedi berjudul Kariah Cak Pong sebagai Mak Andak Bella arahan Shuhaimi Lua terbitan Tanah Beris Production untuk tayangan TV3 dijangka pada Mac 2019.

Mewarnai lagi fasa baharu jurnal kerjaya seninya, Amelina juga turut melancarkan lagu terbaharu berjudul Janda Anak Enam ciptaan sepenuhnya Kucing Manja. Di sebalik kerancakan melodi lagunya dan judul yang dianggap tidak serius dan santai itu, lagu dangdut itu sebenarnya mengisahkan pahit maung dan kedukaan yang dilalui beliau dalam perkahwinannya sebelum ini. Sejak dilancarkan pada pertengahan Disember 2018, lagu itu mendapat sambutan menggalakkan daripada para peminat ratu dangdut itu.

Selain lagu terbaharu, Amelina membuka tirai 2019 dengan pelbagai undangan nyanyian di pelbagai majlis dan acara. Malah, beliau sekali lagi menerima tawaran lakonan drama bersiri 16 episod berjudul Patah Sayap Bertongkat Paruh arahan Along Kamaluddin terbitan Zeel Production Sdn Bhd bermula pertengahan Januari. Selain Amelina, drama bersiri yang akan disiarkan di Astro Ria itu turut membariskan Dato' Aaron Aziz, Fasha Sandha, Zarul Husin, Cat Farish, Elly Mazlein dan ramai lagi.

Perhimpunan rasmi pertama penyanyi itu dan kelab peminatnya AmelinaSoul pada majlis khas yang dinamakan Malam Glam Bollydut Amelina pada 26 Januari 2019 adalah rakaman memori yang indah dan penghargaan tertinggi oleh penyanyi kesayangan ramai itu terhadap para peminatnya sejak kelab peminat itu ditubuhkan pada September 2018.

Amelina dan pengurusannya turut merancang untuk mengeluarkan beberapa lagi lagu baharu pada suku pertama dan kedua 2019 ini, sebuah album studio dan beberapa konsert dan pertunjukan khas antaranya KL Jamm 2019 pada 28 April 2019 nanti.

Rujukan

WikiPedia: Amelina http://www.astroawani.com/videos/show/h-live/hlive... http://lanmamat.blogspot.com/ http://lanmamat.blogspot.com/2008/08/amelinasambun... http://lanmamat.blogspot.com/2008/08/pengalaman-ja... http://showbiz.liputan6.com/read/2367792/memetakan... http://www.bharian.com.my/sisipan/bintangpopular/S... http://www.manggaonline.com.my/amelina-dari-kilang... http://www.manggaonline.com.my/amelina-dijangka-ke... http://www.manggaonline.com.my/amelina-kembali-men... http://www.manggaonline.com.my/amelina-komen-isu-r...