Budaya Amerika_Syarikat

Amerika Syarikat merupakan negara berbilang budaya yang terdiri daripada pelbagai kelompok, tradisi dan nilai hidup etnik.[7][144] Walaupun budaya arus perdana dikuasai oleh unsur-unsur Eropah yang dibawa oleh kaum pendatang dari Eropah, namun ia cukup dipengaruhi oleh unsur-unsur Afrika yang dibawa oleh kaum hamba abdi sebelum negara ini merdeka,[7][145] ditambah pula oleh kedatangan penghijrah dari Asia dan Amerika Latin yang memeriahkan lagi senario wadah tumpuan kebudayaan di AS. Masyarakat AS adalah antara yang paling individualistik di dunia[146]; imej kendiri, pandangan sosial dan jangkaan budaya orang Amerika sangat berhubung kait rapat dengan pekerjaan mereka.[147]

Media, hiburan dan seni persembahan

Papan tanda Hollywood, tempat tumpuan penggiat seni perfileman AS.

Amerika Syarikat nyata menjadi sebuah gergasi dalam arena perfileman sedunia[148], apatah lagi menjadi tempat terciptanya teknologi wayang gambar bergerak yang terawal di dunia, hasil usaha Thomas Edison dengan Kinetoscope. Industri perfileman AS banyak tertumpu di Hollywood, California, sehingga masyarakat dunia menyamakan nama Hollywood dengan erti industri perfileman AS dan hasil filemnya. Antara penggiat filem AS yang dijulang nama sebagai ikon dunia termasuk pelakon Marilyn Monroe dan John Wayne, serta sutradara dan penerbit filem seperti George Lucas dan Steven Spielberg, tambahan pula tokoh inovasi dalam animasi seperti Walt Disney.

Orang Amerikalah yang paling banyak meluangkan masa di depan kaca televisyen di dunia;[149] iaitu selama purata lima jam sehari pada tahun 2006.[150] Bidang penyiaran TV di negara ini dikuasai oleh sektor swasta, terutamanya empat rangkaian penyiaran TV terbesar iaitu ABC, CBS, Fox dan NBC. Orang AS juga gemar mendengar radio pada purata dua jam setengah sehari.[151]

Amerika Syarikat turut memberikan pengaruh yang sangat besar dalam seni muzik moden, kerana di sinilah terciptanya bermacam-macam genre muzik yang menjadi ikutan ramai seperti jazz, rock and roll, funk, rhythm and blues (R&B) dan hip-hop. Muzik pop AS berakar umbi dalam acara-acara pementasan Broadway yang masih mengekalkan keutuhan semenjak teater pertama dibuka di Manhattan pada abad ke-19. Bintang pop kelahiran AS seperti Elvis Presley, Bob Dylan, Michael Jackson, dan Madonna menempah nama sebagai selebriti bertaraf dunia.[152] Sungguhpun dikaitkan dengan genre-genre muzik yang moden, namun AS tetap melahirkan karya-karya muzik klasikal yang boleh dikatakan cukup keamerikaan berbanding muzik klasikal Eropah, terutamanya dari Charles Ives, Henry Cowell dan John Cage; tidak lupa juga Aaron Copland dan George Gershwin yang menzahirkan adunan muzik popular dan klasikal.

Kesusasteraan dan kesenian

Pada abad ke-18 dan ke-19, Amerika Syarikat berusaha membina keunggulan sebagai pusat kesusasteraan bahasa Inggeris, hasil mahakarya sastera yang dibawakan kepada penggemar buku dan puisi oleh Edgar Allan Poe, Mark Twain, Emily Dickinson dan sebagainya. Pada abad ke-20, kemeriahan sastera AS diteruskan oleh William Faulkner dan Ernest Hemingway yang disebut-sebut sebagai sasterawan yang paling berpengaruh pada abad itu.[153] Setakat ini, 11 warganegara AS memenangi Hadiah Nobel dalam Kesusasteraan.

Seni lukis AS pada mulanya kuat dipengaruhi oleh Eropah, tidak kira lukisan realistik yang menguasai daya cipta para pelukis sebelum senja abad ke-19, mahupun seni moden yang diperkenalkan oleh sebuah pameran seni luar biasa di New York pada tahun 1913.[154] Pergerakan kesenian yang besar-besar seperti ekspresionisme abstrak dari Jackson Pollock dan Willem de Kooning, dan seni pop dari Andy Warhol dan Roy Lichtenstein banyak berkembang di AS. AS terkenal juga sebagai tempat kelahiran bahantara komik dalam bentuk jaluran dalam akhbar mahupun buku komik, yang turut melahirkan beraneka jenis wira cereka kegilaan ramai seperti Superman, Batman dan Spider-Man.

Masakan

Kepelbagaian budaya AS turut dicerminkan oleh keanekaan makanan dan minuman yang melambangkan identiti negara ini. Resipi-resipi yang diimport dari Eropah hasil kedatangan penghijrah sebelum atau selepas merdeka, telah disesuaikan sedikit sebanyak sehingga dikira sebagai masakan Amerika, contohnya piza dan pasta dari Itali, taco dan burrito dari Mexico, ataupun hamburger dan hot dog dari Jerman. Kaum Afrika turut menyerikan lagi masakan AS dengan ayam goreng, roti jagung dan sebagainya. Sesetengah hidangan ini turut diperdagangkan sebagai makanan segera yang dipasarkan oleh rantaian restoran seperti McDonald's dan KFC ke seluruh dunia, tetapi pada masa yang sama juga menyumbang kepada masalah obesiti yang menjadi-jadi di kalangan warga AS.[155] Pemasaran juga banyak menyumbang kepada kepentingan jus oren dan susu sebagai minuman sarapan.[156]

Sukan

Pemain "bola sepak Amerika", sebuah sukan berupa ragbi yang jauh berbeza dengan bola sepak yang dikenali di negara lain.

Bola sepak Amerika[157] (football, sukan seakan ragbi), besbol, bola keranjang dan hoki ais merupakan sukan berpasukan profesional yang paling ramai peminatnya di Amerika Syarikat. Bola sepak (soccer) juga ramai penggemar tetapi ketinggalan di belakang keempat-empat sukan tersebut, walaupun AS pernah menjadi tuan rumah Piala Dunia FIFA 1994. Untuk sukan individu, orang AS paling menggemari golf, tenis dan sukan bermotor seperti NASCAR. AS juga digeruni kerana pencapaian atlit-atlitnya dalam Sukan Olimpik sejak bermulanya temasya pertama pada tahun 1896, di mana mereka meraih lebih 2,500 butir pingat setakat ini.[158][159]

Unit ukuran

Negara ini masih menggunakan unit adat Amerika Syarikat yang banyak diwarisi daripada unit imperial British seperti ela, batu, dan darjah Fahrenheit, tetapi juga memakai sukatan isipadu gelen dan pain yang tersendiri. Amerika Syarikat, berserta Burma dan Liberia, belum lagi menerima sistem metrik secara rasmi. Namun begitu, unit metrik semakin laris penggunaannya dalam bidang sains, perubatan, dan banyak lagi bidang industri.[160]

Rujukan

WikiPedia: Amerika_Syarikat http://adage.com/digital/article?article_id=116136 http://www.airforce-magazine.com/MagazineArchive/M... http://www.bp.com/liveassets/bp_internet/globalbp/... http://www.britannica.com/EBchecked/topic/616563/U... http://www.cbsnews.com/stories/2010/07/01/national... http://www.cheskin.com/view_news.php?id=2 http://www.clearlycultural.com/geert-hofstede-cult... http://www.dinsdoc.com/butler-1.htm http://dsc.discovery.com/convergence/supervolcano/... http://www.emarketer.com/Article.aspx?R=1004830