Biografi Amy_Mastura

Kehidupan awal (1971–1988)

Amy Mastura membesar di Batu Gajah.

Beliau dilahirkan pada 10 Mei 1971 di Batu Gajah, Perak dan merupakan anak bongsu daripada dua beradik kepada pesara askar, beliau mempunyai seorang abang. Ibu beliau, Che Pora Din pernah membintang filem Puteri Impian 2 memegang watak sebagai ibu saudara watak Puteri Nora. Amy dan abangnya dibesarkan di Ipoh. Sepupunya, Mazuin Hamzah dan abangnya Mazlan Hamzah terlebih dahulu menyertai bidang seni apabila menganggotai kumpulan Quinary M yang popular pada era 80an. Kerjaya Amy dalam bidang seni pula diuruskan oleh sepupunya, Nana sejak bersama Sony Music Malaysia.

Dari pramugari ke Asia Bagus (1989–1993)

Kerjaya pertamanya ialah sebagai pramugari di Penerbangan Malaysia (MAS) dari 1989 hingga 1994. Beliau mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Mazuin Hamzah sebagai sepupu,[4] maka tidak hairanlah dunia seni tidak asing bagi beliau. Amy mula menceburi bidang nyanyian menerusi pertandingan Asia Bagus yang diadakan di Jepun dan hasilnya Amy berjaya memenangi gelaran juara pada tahun 1993 menewaskan bakat-bakat baru dari Asia yang lain.

Album pertama, Pujaanku dan meniti puncak populariti (1994–1996)

Kejayaan di Asia Bagus memberi peluang kepada Amy untuk mengikat kontrak bersama syarikat rakaman Pony Canyon pada tahun 1994. Amy diperkenalkan terlebih dahulu menerusi lagu Harapan Semalam, sebuah duet bersama komposer Azmeer. Setelah segala perancangan ditelusi,maka terbitlah album sulungnya yang berjudul Amy Mastura. Sejak itu Amy mengecap populariti sebagai penyanyi remaja yang membawa kelainan dalam industri muzik dengan muzik rancak dan bersahaja. Lagu-lagu seperti Meniti Hari, Flora & Fauna, Jawapan Kasih dan Kasih menjadi siulan anak muda pada tahun itu. Amy berjaya meraih anugerah Penyanyi Wanita Popular (ABPBH) pada tahun 1994 menewaskan nama-nama besar lain seperti Fauziah Latiff dan Shima. Lagu Meniti Hari pula berjaya layak ke Anugerah Juara Lagu ke-10 serta lebih manis, Amy menerima pencalonan kategori Persembahan Vokal Wanita Terbaik di dalam Album di Anugerah Industri Muzik pada tahun 1995. Pada penghujung tahun 1994, Amy meninggalkan karier sebagai pramugari kerana ingin terus serius dalam bidang seni tatkala popularitinya sedang berada di puncak. Di samping itu, Amy melebarkan sayap ke peringkat antarabangsa apabila berpeluang berduet bersama penyanyi pop Amerika Syarikat iaitu Tommy Page menerusi lagu The Best Part. Amy juga diintai oleh MTV untuk menjadi VJ dalam program MTV Syok pada tahun 1995.

Kejayaan dalam bidang nyanyian membuka peluang kepada Amy untuk menceburi bidang lakonan di layar lebar. Hakikatnya, Amy telah terlebih dahulu menjadi pelakon ketika menunggu album sulungnya dipasarkan. Pada awal tahun 1994, Amy menjalani penggambaran filem Kuala Lumpur Universiti (KLU) bersama Azhar Sulaiman. Pun begitu, filem tersebut tidak ditayangkan sehinggalah 1999. Filem kedua Amy iaitu Impian ditayangkan pada tahun 1996 dan sejak itu Amy popular sebagai seorang pelakon menerusi filem-filem seperti Tragedi Oktober, Puteri Impian dan Puteri Impian 2. Ketika itu juga Amy menubuhkan syarikatnya, Amy Mastura Entertainment Sdn Bhd yang pada awalnya diusahasamakan bersama Ajin daripada kumpulan Blackrose.

Amy muncul dengan album kedua pada 1 Mei 1996, berjudul Pujaanku mendapat sambutan memberangsangkan dari beberapa buah negara di Asia.[5][6] Seterusnya, Amy muncul dengan album ketiga berjudul Puteri. Album ketiga bagaimanapun tidak menyerlahkan diri Amy sebagai penyanyi apabila bakat lakonan beliau mula diperkatakan akibat keberkesanan karekter sebagai Nora Mat Jidin gadis kilang yang menyertai program realiti TV dalam filem Puteri Impian pada tahun 1997, dan sekualnya pada tahun 1998.

Puteri, Puteri Impian dan bergelar Aktres Terbaik (1997–1999)

Kejayaan dalam bidang lakonan membuka mata pengkritik filem apabila Amy berjaya melakonkan watak komedi dan dramatik secara seimbang di bawah bimbingan pengarah terkenal Aziz M. Osman. Kedua-dua filem Puteri Impian itu mencatat kutipan box office sekaligus menobatkan Amy sebagai Pelakon Filem Wanita Popular (ABPBH) pada tahun 1999. Lebih manis lagi, ketika Festival Filem Malaysia ke 14, Amy berjaya mengalah aktres-aktres hebat seperti Vanidah Imran, Nasha Aziz dan Normah Damanhuri untuk bergelar Pelakon Wanita Terbaik (FFM). Amy dicalonkan menerusi siri pertama filem tersebut. Kejayaan tersebut menjadikan Amy satu-satunya finalis Persembahan Vokal Wanita Terbaik di AIM yang berjaya menggondol anugerah Aktres Terbaik di FFM.

Bintang Hati dan alam rumahtangga (2000–2002)

Ekoran namanya lebih dikenali di gelanggang filem berbanding bakat nyanyian, Amy mengikat kontrak bersama Sony Music dalam usaha untuk mengembalikan imej Amy sebagai penyanyi. Album yang diterbitkan oleh Boon Tan ini juga mendapat sentuhan Amy sebagai komposer. Ini bukan percubaan pertama Amy sebagai penulis lagu kerana sebelum ini menerusi album Puteri, Amy telah menulis beberapa lagu. Akhirnya, muncullah album Bintang Hati pada 8 Januari 2000. Album ini mendapat sambutan hangat, beberapa lagu-lagunya popular di corong radio. Album ini juga mengembalikan semula populariti Amy di Indonesia apabila lagu duetnya bersama Glenn Fredley mendapat tempat di stesen-stesen radio. Menerusi album ini, Amy berjaya meraih trofi kategori Pop Rock di Anugerah Juara Lagu ke-15 menerusi lagu ciptaan Goh Boon Hoe berjudul Bintang Hati. Lagu ciptaan Amy juga mara ke peringkat akhir iaitu lagu Sha Na Na serta dua buah lagu ballad ciptaan Helen Yap berjudul Dengarkanlah dan Siapalah Aku (Zul Mahat) pula mara ke peringkat separuh akhir Balada masing-masing pada tahun 2000 dan 2001.

Ketika populariti album ini sedang memuncak, Amy mengambil keputusan untuk menamatkan zaman bujang pada 1 Julai 2000 bersama teman lamanya, Alvin Thamm Suffian. Perkahwinan yang berlangsung di Ipoh, Perak ini disifatkan sebagai Wedding of The Year 2000. Sebelum menamatkan zaman gadis, Amy berpeluang mengadakan konsert solo di Life Centre, Kuala Lumpur. Pada penghujung tahun 2000, Amy muncul di pentas Istana Budaya menerusi teater Siti Di Alam Fantasi. Lakonan hebat Amy di pentas teater menyaksikan teater itu menjadi teater yang mencatat kutipan tiket paling tinggi selama 8 tahun di Istana Budaya. Amy dikatakan mengalami komplikasi kerana ketika beraksi untuk teater tersebut, beliau tidak menyedari yang beliau sedang mengandung anak pertama. Kandungan Amy selamat, namun Amy terpaksa melupakan hasrat untuk membintangi filem Seri Dewi Malam yang dicipta khas untuknya memegang watak gadis buta psikik. Amy tidak berehat panjang daripada kerjaya nyanyian selepas melahirkan anak pertama pada tahun 2001. Kemunculan semula Amy pada tahun 2002 menerusi album Akan Datang ternyata ditunggu-tunggu oleh peminat. Menerusi album ini, Amy terus melakar populariti sebagai penyanyi pop biarpun selepas bergelar isteri dan ibu. Lagu Akan Datang juga membawa Amy ke pentas Anugerah Juara Lagu ke-17 selain kulit album ini berjaya memenangi kategori Kulit Album Terbaik di AIM. Dalam AIM pada tahun itu juga, muzik video Kasih Suci tercalon untuk Kategori Muzik Video Terbaik. Muzik video tersebut telah ditaja oleh Lux, manakala lagu dan lirik telah digarap sendiri oleh Amy Mastura.

Kembali ke pentas lakonan (2003–2004)

Usai album Akan Datang, Amy kembali semula ke pentas lakonan. Kemunculan pertama Amy di kaca televisyen pada tahun 2001 menerusi telefilem arahan Osman Ali berjudul Toll Gate Girl bersama aktres Rita Rudaini mendapat sambutan hangat dan menunjukkan begitu ramai yang menanti kemunculan Amy di layar lebar. Bagi mengubati rindu peminat, Amy Mastura Entertainment bersama ACE Motion Picture milik Aziz M.Osman menerbitkan siri VCD drama Cinta 3 Musim yang dipasarkan secara tiga peringkat pada tahun 2003. Lakonan Amy bersama pelakon-pelakon hebat seperti Aqasha, Eja, Aida Aris dan Ako Mustapha itu mencatat jualan yang membanggakan. Menariknya, suami Amy sendiri turut berlakon dalam drama ini sebagai watak pembantu.[7]

Selepas itu, Amy muncul dengan dua buah filem bersama Aziz M. Osman iaitu Trauma dan Bintang Hati.[8] Filem Trauma menyaksikan Amy pertama kali mencuba watak drama sekaligus mengetepikan klise watak komedi yang sering dilakonkannya.[9] Manakala menerusi filem Bintang Hati, Amy bertindak sebagai penulis skrip dan hasilnya begitu membanggakan apabila Amy dicalonkan di Festival Filem Malaysia ke 18 untuk kategori Cerita Terbaik dan lakonan beliau dalam dua watak, Tasha dan Syakila menerima nominasi Pelakon Wanita Terbaik (FFM)[10]. Kedua-dua filem tersebut mencapai kutipan box-office.[11] Setelah sibuk di lokasi tanpa henti, Amy berehat seketika apabila mengandungkan anak kedua, Adalia pada awal tahun 2005. Sepanjang tempoh mengandung dan berpantang, Amy sibuk di belakang tabir untuk mencipta lagu-lagu terbaru yang akan dimuatkan dalam album seterusnya.[12]

Lebih Baik dan projek seterusnya (2005–2008)

Penghujung tahun 2005, Amy muncul dengan album solo keenam berjudul Lebih Baik. Album itu bagaimanapun pada awalnya kurang mendapat perhatian apabila single pertamanya Bukakanlah Pintu gagal meraih perhatian pendengar, begitu juga dengan single ketiga berjudul Bingung.[13] Pun begitu, nama Amy melonjak pada tahun 2006 apabila lagu ciptaan Amy sendiri berjudul Cinta dan Kasihku Sinar (ciptaan Amy bersama Hazami dan Anuar Zain) mula diputarkan di corong-corong radio serta dijadikan lagu tema siri TV. Amy muncul dalam siri drama komedi Puteri musim kelima sepanjang tahun 2006 yang menyaksikan gandingan Amy bersama pelawak Salih Yaacob sebagai suami isteri yang memiliki syarikat Sha Na Na Catering. Mereka merupakan watak sokongan kepada pelakon utama siri itu Nora Danish. Menerusi siri ini, Amy melakonkan watak kakak kepada Roslan, kekasih Puteri yang garang dan jahat. Lagu Cinta dijadikan lagu tema siri TV ini. Amy juga kembali sibuk di lokasi penggambaran filem dan drama serta sibuk sebagai jurucakap produk seperti Quacker Oat, Omega dan lain-lain.[14] Biarpun terpaksa bersaing dengan ramai bakat muda, aura Amy masih utuh di persada seni. Amy muncul dalam banyak drama TV antaranya, siri Kasut Tumit Tinggi serta telefilem Ice Cappucino Machiato. Seiring usia, Amy membawakan watak-watak dewasa dan keibuan serta tetap dengan elemen komedi.[15]

Sepanjang bulan Ramadan, Amy turut mengurangkan aktiviti seninya kecuali menghadiri majlis berbuka puasa kerana mahu meluangkan masa bersama anak-anak.[16] Menyepikan diri bukan menghilangkan diri! Tidak banyak muncul di program TV, hanya baru-baru ini, dia muncul semula mengacara rancangan mengenai dekorasi dan hiasan dalaman Casa Impian yang sebelum ini disiarkan di Astro Ria dan ditayangkan pula di TV3, Amy menjadi pengacara baru Casa Impian menggantikan Camelia yang telah mengacarakannya sebanyak 8 musim.

Happy dan kesinambungan kejayaan (2009–2016)

Tahun 2009 menyaksikan Amy muncul dengan album terbaru berjudul Happy. Namun album kali ini gagal menyerlahkan kembali sisi Amy sebagai penyanyi kerana imej lakonan beliau lebih dekat di hati penonton.[17] Sepanjang tahun 2010, Amy muncul dalam filem Hooperz dan Aku Tak Bodoh serta beraksi dalam filem seram Damping Malam arahan Ahmad Idham. Pada Mac 2010, beliau dilantik sebagai jurucakap produk Lifebuoy.[18]

Pada 2011, Amy Mastura dilantik sebagai duta baru jenama kosmetik Jepun, Kose.[19] Kini, Kose telah melancarkan produk terbaru yang lebih berkesan untuk merawat kulit wajah supaya menjadi lebih anjal dan muda seperti Amy Mastura. Di majlis ini, beliau turut menjemput peminatnya menyanyi bersama, penyanyi manis ini menyanyikan dua buah lagu berjudul Happy dan single terbarunya, Tapi Itu Dulu. Amy berkata dia bersyukur kerana sentiasa mendapat kepercayaan daripada pelbagai jenama antarabangsa yang sudi mengambilnya menjadi juru cakap produk masing-masing. Walaupun mengakui tahap popularitinya di tahap sederhana, namun beliau sangat bertuah kerana masih diberi kepercayaan untuk menjadi duta dan jurucakap produk.

Amy juga kembali beraksi di pentas teater apabila muncul dalam Muzikal Gamat yang turut dibintangi anak gadisnya, Adalia. Pada tahun 2014, Amy tampil menghiburkan penonton sebagai pengacara Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2013 setelah sekian lama tidak mengacarakan acara anugerah. Beliau juga kembali mencuba watak dramatik apabila diberi peranan ibu yang mempunyai anak gadis yang menderita penyakit kritikal dalam drama bersiri Nur Melinda'. Kini Amy dikenali sebagai salah seorang aktres hebat yang masih aktif di arena seni lakon, sementara auranya sebagai selebriti juga tidak pudar apabila masih menjadi duta kepada produk-produk popular tempatan dan antarabangsa. Lagu-lagu Amy masih menjadi siulan, dan beliau sudahpun memahat nama sebagai salah seorang selebriti Malaysia yang serba boleh dan disayangi jutaan peminat.[20][21][22][23]

Beliau dipilih sebagai pengacara anugerah berprestij, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH 2013), bergandingan dengan pengacara popular, Fara Fauzana yang akan berlangsung di Arena All Stars, Genting Highlands pada 6 April. Mengakui agak dengan pengumuman tersebut, Amy tidak menyangka ABPBH 2013 memilihnya sebagai pengacara apatah lagi popularitinya sebagai artis tidak segah nama-nama besar lain. Baginya, pelawaan itu adalah satu penghormatan buatnya sebagai anak seni.[24] Pada 2016, Amy Mastura melancarkan single terbaharunya, "Kalimah" ciptaan Ardiv Jauhari.[25][26]

Rujukan

WikiPedia: Amy_Mastura http://www.amymastura.com http://www.budiey.com/amy-mastura-dilantik-menjadi... http://www.budiey.com/gambar-amy-mastura-di-pelanc... http://www.dailychilli.com/happenings/10044-amy-ma... http://www.imdb.com/name/nm0557899/ http://malaysiandigest.com/hiburan/573014-amy-mast... http://www.rotikaya.com/amy-mastura-akui-bimbang-a... http://www.star2.com/entertainment/tv/2016/05/15/w... http://www.themalaymailonline.com/projekmmo/berita... http://www.bharian.com.my/node/148679