Biologi Anjing

Pandangan sisi bagi rangka

Anatomi

Rencana utama: Anatomi anjing
Tengkorak anjing

Anjing bela jinak telah dibiakbakakan selama beralaf-alaf untuk pelbagai tingkah laku, kemampuan deria, dan sifat fizikal.[17] Baka anjing moden menunjukkan lebih variasi dari segi saiz, penampilan, dan tingkah laku daripada mana-mana binatang bela jinak lain.[17] Anjing merupakan pemangsa dan pebangkai, dan seperti banyak mamalia pemangsa yang lain, anjing mempunyai otot sangat kuat, tulang pergelangan yang lakur, sistem kardiovaskular yang menyokong kedua-dua pemecutan dan daya ketahanan, dan gigi untuk penangkapan dan pengoyakan.

Saiz dan berat

Tinggi dan berat anjing sangat berlainan daripada yang lain. Anjing dewasa yang terkecil merupakan terier Yorkshire, yang berdiri hanya setinggi 6.3 cm (2.5 in) pada paras bahu, dengan panjang badan dan kepala sebanyak 9.5 cm (3.7 in), dan berukuran hanya seberat 113 g (4.0 oz). Anjing yang terbesar yang diketahui merupakan mastif Inggeris yang berukuran seberat 155.6 kg (343 lb) dan sepanjang 250 cm (98 in) dari hidung ke hujung ekor.[31] Anjing yang tertinggi ialah anjing besar Denmark yang berdiri setinggi 106.7 cm (42.0 in) pada paras bahu.[32]

Deria

    Maklumat selanjutnya: Anatomi anjing#Deria

Deria anjing merangkumi penglihatan, pendengaran, penghiduan, pengecapan, sentuhan, dan kepekaan terhadap medan magnet Bumi. Sebuah lagi kajian mencadangkan bahawa anjing dapat melihat medan magnet Bumi.[33][34][35]

Bulu

Rencana utama: Bulu anjing
Anjing menunjukan variasi luas bagi jenis, kepadatan, panjang, warna, dan komposisi bulu.

Bulu anjing bela jinak terdiri daripada dua keragaman: "dua lapis" yang umum dengan anjing (serta serigala) yang berasal daripada iklim lebih sejuk, yang diperbuat daripada rerambut pengawal kasar dan bulu halus lembut, atau "satu lapis", dengan bulu atas sahaja. Banyak baka mempunyai "takik", belang, atau "bintang" bulu putih sekali-sekala di dadanya atau di bahagian bawah.[36]

Berkenaan dengan penjagaan atau kesihatan bulu, bulu dapat dikekalkan atau terkesan oleh berbilang nutrien yang hadir dalam pemakanan anjing. Lihat Bulu anjing untuk maklumat lanjut.

Ekor

Terdapat banyak rupa bentuk berlainan untuk ekor anjing: lurus, lurus ke atas, sabit, melingkar, atau bergulung-gulung. Seperti banyak canid, salah satu fungsi utama ekor anjing adalah untuk mengkomunikasikan keadaan emosinya, yang mungkin penting untuk berbaik-baik sesama yang lain. Walau bagaimanapun, pada sesetengah anjing pemburu, mengikut tradisi, ekor dipotong untuk mengelakkan kecederaan.[37] Pada sesetengah baka, seperti anjing penuding Bourbonnais, anaknya dapat lahir dengan ekor pendek atau tanpa ekor langsung.[38]

Perbezaan daripada serigala

Anjing serigala Saarloos membawa lebih DNA serigala kelabu berbanding dengan mana-mana baka anjing lain.[39]

Sungguhpun ada hubungan genetik rapat antara kedua-duanya dan kemampuan untuk saling membiak, ada sebilangan ciri diagnosis untuk membezakan serigala kelabu daripada anjing bela jinak. Anjing bela jinak dapat dibezakan sejelasnya daripada serigala melalui elektroforesis gel kanji bagi fosfatase asid sel darah merah.[40] Bula-bula timpanum adalah besar, cembung, dan hampir seperti sfera pada serigala kelabu sementara bula-bula berkenaan pada anjing adalah lebih kecil, mampat, dan sedikit renyuk.[41] Berbanding dengan serigala yang sama saiz, anjing cenderung untuk mempunyai tengkorak 20% lebih kecil dan otak 30% lebih kecil.[42]:35 Gigi serigala kelabu juga lebih besar mengikut kadar daripada gigi anjing.[43] Anjing mempunyai dahi yang lebih berbentuk kubah dan lekukan kepala tersendiri di antara dahi dengan hidung.[44] Otot temporalis yang menutup rahang adalah lebih teguh pada serigala.[5]:{{{1}}} Serigala tidak mempunyai kuku embun pada tungkai belakangnya, melainkan ada percampuran dengan anjing yang mempunyainya.[45] Kebanyakan anjing tidak mempunyai kelenjar prakaudal yang berfungsi dan juga mendatangi estrus sebanyak dua kali setahun, tidak seperti serigala kelabu yang hanya melakukannya sekali setahun.[46] Yang dianggap sebagai anjing primitif seperti dingo dan basenji mengekalkan kitaran estrus tahunan.[47]

Anjing umumnya mempunyai mata perang dan serigala pula hampir sentiasa mempunyai mata ambar atau berwarna muda.[48] Kulit anjing bela jinak juga cenderung lebih tebal daripada kulit serigala, sehingga sesetengah suku kaum Inuit lebih memilih kulit anjing untuk kegunaan sebagai pakaian kerana ketahanan lebih tinggi terhadap kehausan dan kelusuhan pada musim sejuk teruk.[49] Saiz kaki anjing adalah setengah daripada saiz kaki serigala, dan ekornya pula cenderung menggulung ke atas, lagi satu trait yang tidak ditemukan pada serigala.[50] Anjing telah berkembang menjadi beratus-ratus baka berlainan dan menunjukkan variasi tingkah laku dan morfologi lebih banyak daripada mana-mana mamalia darat yang lain.[51] Sebagai contoh, ketinggian yang diukur ke paras kelasa berjulat daripada 15.2 cm (6.0 in) pada anjing Chihuahua hingga kira-kira 76 cm (2.49 ka) pada anjing pemburu serigala Ireland; warna berbeza-beza daripada putih melalui kelabu (biasanya dipanggil "biru") hingga hitam, dan warna perang pula daripada terang (sawo matang) hingga gelap ("merah" atau "coklat") dalam variasi berbagai-bagai pola; bulu anjing mungkin pendek atau panjang, kasar atau licin, lurus atau keriting.[52] Salin bulu adalah biasa pada kebanyakan baka.

Kesihatan

Rencana utama: Kesihatan anjing

Ada banyak tumbuhan rumah yang beracun terhadap anjing (dan mamalia lain), termasuk begonia, poinsetia, dan lidah buaya.[53]

Sesetengah baka anjing mudah dijangkiti penyakit baka tertentu seperti displasia siku atau pinggul, kebutaan, kepekakan, stenosis paru-paru, lelangit bercelah, dan tempurung lutut terkehel. Dua keadaan perubatan yang serius yang melibatkan anjing merupakan piometra, yang menjejaskan semua anjing betina tidak terkembiri tanpa mengira jenis dan umur, dan kembung, yang melibatkan baka-baka lebih besar atau anjing berdada dalam. Kedua-dua ini merupakan keadaan parah yang boleh membunuh dengan serta-merta. Anjing juga terdedah kepada parasit seperti pinjal, sengkenit, dan tungau, serta cacing kerawit, cacing pita, cacing gelang, dan cacing jantung (spesies cacing gelang yang hidup di dalam jantung anjing).

Sebilangan makanan manusia biasa dan makanan rumah yang dapat diinges adalah toksik terhadap anjing, termasuk coklat pejal (keracunan teobromina), bawang dan bawang putih (keracunan tiosulfat, sulfoksida, atau disulfida),[54] anggur dan kismis, kacang makadamia, xilitol,[55] serta pelbagai tumbuhan dan bahan lain yang boleh diinges.[56][57] Nikotina di dalam tembakau juga boleh menjadi berbahaya. Anjing boleh mendapatnya dengan mencari makanan di dalam tong sampah atau tempat abu rokok, lalu memakan cerut dan rokok. Antara tandanya ialah pemuntahan dalam amaun banyak (contohnya, daripada memakan puntung cerutu) atau cirit-birit. Tanda lain merupakan nyeri abdomen, kehilangan koordinasi, pitam, atau kematian.[58] Anjing terdedah kepada keracunan teobromina, biasanya daripada penelanan coklat. Sungguhpun metabolisme anjing berupaya mengurai struktur kimianya, teobromina adalah toksik terhadap anjing kerana prosesnya sangat perlahan sehingga sejumlah coklat yang kecil boleh membawa kepada kematian, terutamanya coklat gelap.

Anjing juga terdedah kepada sesetengah keadaan kesihatan sama seperti manusia, termasuk kencing manis, penyakit gigi dan jantung, gila babi, barah, hipotiroidisme, dan radang sendi.[59]

Jangka hayat

    Maklumat selanjutnya: Penuaan pada anjing
Anjing baka kacuk seperti terier ini diketahui berlari dengan lebih pantas dan hidup dengan lebih lama berbanding dengan induk baka tulennya (lihat Heterosis).

Pada tahun 2013, satu kajian menemukan bahawa anjing baka kacuk hidup pada purata selama 1.2 tahun lebih lama daripada anjing baka tulen, dan bahawa peningkatan berat badan dikorelasi secara negatif dengan kelanjutan usia (iaitu makin berat seseekor anjing, makin pendek jangka hayatnya).[60]

Jangka hayat biasa anjing berbeza-beza antara baka, tetapi untuk kebanyakannya kelanjutan usia median, iaitu umur setengah populasi anjing mati dan setengah lagi masih hidup, berjulat dari 10 hingga 13 tahun.[61][62][63][64] Individu anjing mungkin hidup jauh melebihi paras median bakanya.

Baka dengan jangka hayat terpendek (antara baka yang untuknya ada tinjauan soal selidik dengan saiz sampel munasabah) ialah dogue Bordeaux, dengan kelanjutan usia pada sekitar 5.2 tahun, tetapi sesetengah baka, termasuk bulterier kecil, anjing pemburu darah, dan anjing pemburu serigala Ireland hampir hidup singkat, dengan kelanjutan usia pada 6 hingga 7 tahun.[64]

Baka yang jangka hayatnya terpanjang, termasuk pudel mainan, spits Jepun, terier sempadan, dan spaniel Tibet, mempunyai kelanjutan usia median pada 14 hingga 15 tahun.[64] Kelanjutan usia median bagi anjing baka kacuk, diambil sebagai purata semua saiz, ialah satu tahun atau lebih setahun lebih lama daripada kelanjutan usia pada anjing baka tulen apabila semua baka dipuratakan.[62][63][64][65] Anjing yang dilaporkan hidup paling lama ialah "Bluey", seekor anjing lembu Australia yang mati pada tahun 1939 pada umur 29.5 tahun.[66][67]

Pembiakan

Rencana utama: Pembiakan anjing
Anjing betina yang menyusui anak baru lahirnya

Pada anjing bela jinak, kematangan seksual bermula pada umur sekitar enam hingga dua belas bulan untuk kedua-dua jantan dan betina,[17][68] tetapi ini boleh menjadi lewat sehingga dua tahun untuk sesetengah baka besar. Ini masanya anjing betina akan mengalami kitaran estrus pertamanya. Ia akan mengalami kitaran estrus berikutnya dua kali setahun, yang semasanya tubuh badan bersedia untuk kebuntingan. Di puncak kitaran ini, anjing betina akan mendatangi estrus, menjadi terbuka secara mental dan fizikal terhadap persanggamaan.[17] Oleh sebab ovum hidup dan boleh disenyawakan selama seminggu selepas pengovuman, ada kemungkinan bahawa lebih daripada seekor anjing jantan dapat membapai perinduk sama.[17]

Penyuburan biasanya berlaku pada 2–5 hari selepas pengovuman. 14–16 hari selepas pengovuman, embrio melekat pada dinding rahim dan selepas 7–8 hari lagi denyutan jantung boleh dikesan.[69][70]

Anjing membuntingkan perinduknya selama lebih kurang 58 hingga 68 hari selepas penyuburan,[17][71] dengan purata 63 hari, tetapi panjang kebuntingan boleh berlainan. Perinduk purata terdiri daripada enam ekor anak anjing,[72] tetapi bilangan ini boleh berlainan bergantung pada baka. Secara umumnya, anjing mainan membiakkan seekor sehingga empat ekor anak anjing dalam setiap perinduk, sementara baka lebih besar mungkin berpurata sebanyak dua belas ekor.

Sesetengah baka anjing mempunyai trait perolehan melalui pembiakbakaan terpilih yang bercampur tangan dengan pembiakan. Buldog Perancis jantan, contohnya, tidak berupaya menyetubuhi betinanya. Untuk banyak anjing daripada baka ini, betinanya mesti dipermanikan secara beradas untuk membiak.[73]

Peneuteran

Anjing jalang dari Sri Lanka yang menyusui anak anjing yang berkembang dengan sangat baik

Peneuteran merujuk pemandulan binatang, biasanya dengan pembuangan buah zakar pada jantan atau ovari dan rahim pada betina, untuk menghapuskan kebolehan untuk membiak dan mengurangkan dorongan seks. Oleh sebab populasi anjing berlebihan di sesetengah negara, banyak agensi kawalan haiwan, seperti Persatuan Pencegahan Kekejaman terhadap Haiwan Amerika Syarikat (ASPCA), menasihatkan bahawa anjing yang tidak diniatkan untuk pembiakan lanjutan patut dineuterkan, supaya mereka tidak akan memiliki anak anjing yang tidak diingini yang mungkin perlu dieutanasia.[74]

Menurut Humane Society of the United States, 3–4 juta ekor anjing dan kucing dieutanasia pada setiap tahun di Amerika Syarikat dan ada banyak lagi yang dikurung di dalam sangkar di tempat perlindungan haiwan berbanding dengan bilangan rumah. Pemandulan atau pengembirian anjing membantu dalam mengurangkan populasi berlebihan.[75] Persatuan perikemanusiaan tempatan, persatuan pencegahan kekejaman terhadap haiwan, dan pertubuhan perlindungan haiwan yang lain menggesa orang untuk meneuterkan binatang peliharaan mereka dan mengutamakan pengambilan binatang dari tempat perlindungan berbanding dengan pembelian binatang.

Peneuteran mengurangkan masalah yang disebabkan oleh kehiperseksualan, terutamanya pada anjing jantan.[76] Anjing betina yang mandul kurang kemungkinannya untuk menghidapi suatu bentuk barah yang menjejaskan kelenjar buah dada, ovari, dan organ pembiakan lain.[77] Walau bagaimanapun, peneuteran meningkatkan risiko kencing tidak terkawal pada anjing betina,[78] dan barah prostat pada anjing jantan,[79] serta osteosarkoma, hemangiosarkoma, pecahan ligamen krusiat, keobesan, dan kencing manis pada kedua-dua jantina.[80]

Kemurungan pembiakbakaan dalam

Salah satu amalan pembiakbakaan yang umum ialah pengawanan antara kerabat (contohnya antara adik beradik tiri dengan adik beradik sedarah).[81] Kemurungan pembiakbakaan dalam dianggap kebanyakannya disebabkan oleh ekspresi bagi mutasi resesif homozigot yang mudarat.[82] Penyilangan luaran antara individual tidak berkaitan, termasuk anjing daripada baka berlainan, menghasilkan penyelubungan bermanfaat bagi mutasi resesif mudarat pada zuriat.[83]

Dalam satu kajian terhadap tujuh baka anjing (anjing gunung Bern, anjing pemburu basset, terier batu tanda, spaniel Bretagne, anjing gembala Jerman, anjing Leonberg, dan terier putih Tanah Tinggi Barat), ada penemuan bahawa pembiakbakaan dalam mengurangkan saiz dan kemandirian perinduk.[84] Satu lagi analisis data terhadap 42,855 perinduk dachshund menemukan bahawa semakin pekali pembiakbakaan dalam meningkat, semakin saiz perinduk berkurang dan semakin peratusan anak anjing lahir mati meningkat, maka menandakan kemurungan pembiakbakaan dalam.[85] Dalam satu kajian terhadap perinduk boxer, 22% daripada jumlah anak anjing mati sebelum mencapai umur 7 minggu.[86] Lahir mati merupakan penyebab paling kerap bagi kematian, diikuti oleh jangkitan. Mortaliti yang disebabkan oleh jangkitan meningkat dengan ketara dengan peningkatan pembiakbakaan dalam.[86]

Rujukan

WikiPedia: Anjing http://php.med.unsw.edu.au/embryology/index.php?ti... http://www.fci.be/ http://www.hlthss.gov.nt.ca/english/services/healt... http://injuryprevention.bmj.com/content/2/1/52.ful... http://www.cpvh.com/2011/07/27/gestation-in-dogs/ http://dogtime.com/diseases-shared-by-humans-pets-... http://veterinarycalendar.dvm360.com/canine-estrou... http://veterinarynews.dvm360.com/dvm/Working+with+... http://www.entirelypets.com/toxicfoods.html http://www.ancient.eu.com/article/184/