Sejarah Anugerah_Industri_Muzik

Sejak era Radio Malaya (kini Radio Televisyen Malaysia) dan piring hitam hingga berubah ke era kaset dan CD, begitu banyak album artis-artis tempatan telah diterbitkan, ada diantaranya diiktiraf di luar negara. Namun, di Malaysia ketika itu tiada badan yang menganjurkan majlis penanugerahan bagi menobatkan yang terbaik di dalam industri rakaman, biarpun industri ini telah bernafas sejak tahun 1945. Akhirnya hasrat itu tercapai apabila ia diperkenalkan pada awal 1990an. Artis dan karyawan terbabit mula bersemangat untuk berjuang di medan seni kerana mereka berpeluang untuk dinilai oleh golongan yang prihatin terhadap mutu karya yang dihasilkan sepanjang tahun tertentu - lebih kurang sama motifnya dengan Anugerah Grammy di Amerika Syarikat atau British Music Awards di Britain.

Sebenarnya, idea melahirkan AIM ini tercetus pada tahun 1990 apabila penerbit program Muzik TV, Freddie Fernandez, dan bekas pengacaranya, Seha di bawah produksi Betarecs Sdn Bhd, berangan-angan menganjurkan satu penganugerahan kecil terhadap artis tempatan melalui rancangan itu. Bagaimanapun, selepas berbincang, kedua-dua mereka menyuarakan cadangan itu kepada bekas pengerusi Persatuan Pengeluar Dan Pengedar Fonogram dan Videogram Malaysia (MAPV), Frankie Cheah, serta Pengarah Urusan Warner Music Malaysia, Tony Fernandes, untuk membantu perjalanan majlis bermakna itu.

MAPV mengumumkan senarai calon yang bertanding dalam satu sidang akhbar di Kuala Lumpur pada 8 Disember 1993 dan keputusannya diumumkan pada Malam Anugerah Muzik 93 di Hotel Kuala Lumpur Hilton, 15 Disember 1993. Nama mereka yang layak dicalonkan ke peringkat akhir itu disahkan oleh firma akauntan bertauliah iaitu Ernst & Young dan diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras AIM, Fredie Fernandez. Mereka yang berjaya dibahagi kepada 10 kategori iaitu Lagu Terbaik, Album Terbaik, Artis Baru Terbaik Solo, Artis Baru Terbaik Kumpulan, Persembahan Vokal Terbaik Lelaki, Persembahan Vokal Terbaik Wanita, Persembahan Vokal Terbaik Berkumpulan, Kulit Album Terbaik, Rakaman Album Terbaik dan Muzik Video Terbaik. Satu anugerah khas akan diberikan kepada penyanyi yang dinamakan Anugerah Istimewa.

AIM hanya menghadkan 100 meja, iaitu untuk 1,000 tetamu saja. Persembahan hiburan Malam AIM itu berpindah tangan kepada Aziz Bakar di saat akhir apabila penerbit asalnya, Nasser Abu Kassim terpaksa menarik diri kerana kesihatan terganggu akibat tragedi pangsapuri runtuh di Highland Tower. Aziz mengambil alih tugas Nasser sehari sebelum Malam AIM. Rakaman acara gemilang itu ditayang di saluran TV1 pada jam 9.00 hingga 10.00 malam pada 25 Disember. Pemenang pertama untuk Album Terbaik adalah album Dekat Padamu terbitan Johan Abdullah dan dipersembahkan oleh pendatang baharu ketika itu, penyanyi Ning Baizura.

Akhirnya majlis yang sederhana itu bertukar kepada acara gilang-gemilang di ballroom terkemuka ketika AIM yang pertama. Ketika itu pemilihan pemenang dibuat oleh golongan profesional termasuk pemuzik, pencipta lagu dan penulis lirik tapi menjadi lebih kompleks lagi pada AIM kedua (Mac 1995) dengan tertubuhnya Akademi AIM. Melalui Akademi AIM, pemilihan pemenang AIM juga membabitkan pihak lain termasuk penulis hiburan sebagai ahli kehormat serta orang ramai (ahli biasa).