Argon adalah sejenis
unsur kimia dengan
simbol Ar dan
nombor atom 18. Ia terletak di dalam
kumpulan 18 (kumpulan gas adi) jadual berkala. Argon adalah gas ketiga paling banyak dalam
atmosfera Bumi; ia membentuk 0.93% (9,300
ppm) kandungan atmosfera. Kandungan argon dalam atmosfera adalah kira-kira 23.8 kali ganda lebih banyak daripada gas ke-4 terbanyak dalam atmosfera,
karbon dioksida (390 ppm), dan lebih 500 kali ganda lebih banyak daripada gas
neon (18 ppm). Hampir kesemua gas argon di atmosfera adalah
argon-40 yang
radiogenik, yang terhasil daripada pereputan
kalium-40 di dalam kerak Bumi. Isotop argon terbanyak di seluruh alam semesta adalah
argon-36, kerana isotop ini yang paling kerap dihasilkan oleh
sintesis nuklear bintang-bintang dalam
supernova.Nama "argon" diterbitkan daripada perkataan Yunani,
αργον yang bermaksud "malas" atau "yang tidak aktif". Ini berkaitan dengan sifat argon yang hampir tidak melakukan sebarang tindak balas kimia.
Oktet petala atom paling luarnya yang penuh (8 elektron) menjadikan atom unsur ini stabil dan tidak mengikat secara kimia dengan unsur-unsur lain. Suhu
titik tigaannya pada 83.8058
K menjadi titik tetap pendefinisian di dalam
Skala Suhu Antarabangsa 1990.Argon dihasilkan dalam peringkat industri dengan
penyulingan berperingkat udara cecair. Kegunaan utama argon adalah sebagai gas pelindung lengai dalam proses kimpalan dan proses-proses industri bersuhu tinggi lain yang menjadikan bahan-bahan yang biasanya tidak bertindak balas, mudah bertindak balas. Misalnya, atmosfera argon digunakan di dalam relau elektrik grafit untuk menghalang grafit daripada terbakar. Gas argon juga digunakan di dalam lampu pijar dan pendarfluor, serta tiub-tiub nyahcas gas yang lain. Argon menghasilkan
laser gas biru-hijau tersendiri.