Asid_ribonukleik
Asid_ribonukleik

Asid_ribonukleik

Asid ribonukleik (ribonucleic acid atau RNA) adalah sejenis molekul polimer  penting dalam pelbagai peranan biologi seperti pengekodan, penyahkodan, pengawalaturan, dan pengungkapan gen. Kedua-dua RNA dan DNA ialah asid nukleik. Asid-asid nukleik ini merupakan antara makromolekul penting untuk semua bentuk kehidupan yang diketahui selain juga dengan lipid, protein dan karbohidrat. RNA dipasang daripada rantaian nukleotida sepertimana juga DNA, namun RNA sering ditemukan secara semula jadi sebagai satu pilin yang dilipat ke dalam badannya sendiri dan bukannya dua pilin berpasangan. Organisme sel menggunakan RNA pengutus (mRNA) untuk menyampaikan maklumat genetik (menggunakan huruf-huruf G, U, A dan C mewakili bes-bes nitrogen guanina, urasil, adenina dan sitosina) yang akan mengarahkan penghasilan protein tertentu. Banyak virus mengekodkan maklumat genetik mereka menggunakan genom RNA.Beberapa molekul RNA memainkan peranan penting dalam sel-sel sebagai pemangkin tindak balas biologi, mengawal pernyataan genetik, atau mencerap dan menghubungkan tindakbalas kepada isyarat sel. Salah satu daripada proses aktif ini adalah sintesis protein, sebuah fungsi universal di mana molekul RNA mengarahkan penyusunan protein pada sel tumbuhan. Ini proses yang menggunakan molekul RNA penghantar (tRNA) untuk menyampaikan asid amino kepada ribosom, di mana RNA ribosom (rRNA) kemudiannya menghubungkan asid-asid amino ini untuk membentuk protein.