Sejarah Asyik_FM

Radio 7 Siaran Orang Asli pertama kali disiarkan pada 3 Februari 1959 di Radio Malaya Kuala Lumpur menerusi gelombang pendek 49 meter - 6100 Khz, disiarkan selama setengah jam mulai pukul 15:00 hingga 15:30 setiap hari.

Pada 22 September 1997, unit ini telah ditambah waktu siarannya selama 6 jam mulai 15:00 hingga 21:00. Menggunakan Gelombang Pendek 49 meter (6025 Khz) dan kali pertajama menggunakan gelombang FM 91.1 Mhz. Loghat yang digunakan ialah dalam dialek Semai dan Temiar di samping menggunakan Bahasa Melayu baku.

Memandangkan betapa pentingnya sumber maklumat kepada masyarakat, maka sekali lagi Radio 7 melangkah ke era baru dengan menambah waktu siaran dari 13:00 hingga 22:00 selama 9 jam setiap hari. Ia bermula pada 1 April 2001. Malah penambahan dalam dua bahasa iaitu bahasa Temuan dan Jakun selain bahasa Semai dan Temiar menjadikannya unik dengan 4 bahasa.

Pada 31 Disember 2006, Info FM bersiaran buat kali terakhir dari jam 10:00 hingga 13:00, atas sebab Asyik FM menambahkan waktu siaran sebanyak 14 jam dari pukul 08:00 hingga 22:00 pada 1 Januari 2007.

Pada peringkat awal penubuhannya, objektif siaran ini adalah untuk memainkan peranan dari segi program gerak saraf. Tujuannya untuk memberi kesedaran kepada masyarakat orang asli tentang kepentingan keselamatan negara dari ancaman Komunis Malaya. Jelasnya, masyarakat Orang Asli didedahkan dengan program-program kerajaan yang boleh membawa mereka ke arah kemajuan supaya mereka terhindar dari fahaman Komunis Malaya.

Kini setelah negara kembali aman dan Komunis Malaya telah meletakan senjata, bermakna pengaruh komunis telah tiada. Isi siaran juga turut berubah mengikut arus perkembangan semasa iaitu lebih menumpukan perhatian kepada program Pembangunan Insan, sejajar dengan kehendak dan dasar kerajaan yang telah digariskan oleh RTM. Berbagai bentuk rancangan telah diadakan melibatkan golongan tua, muda dan kanak-kanak seperti pembangunan masyarakat, berita, drama, peristiwa semasa, permintaan lagu, lagu-lagu hiburan termasuk lagu-lagu tradisional masyarakat Orang Asli.

Malah akhir-akhir ini Asyik FM telah berjaya mencungkil bakat-bakat seni kalangan masyarakat Orang Asli sehingga ada yang berjaya menjadi artis rakaman seperti Kumpulan Jelmol. Selain itu juga berjaya menarik minat kebanyakan suku kaum orang asli menyertai program Pilihanku. Sekurang-kurangnya secara tidak langsung berjaya mewujudkan intergrasi antara suku kaum. Selaras dengan dasar dan matlamat yang mahukan liputan seluas-luasnya, siaran ini telah melakukan tanggungjawabnya dengan membuat liputan seluas-luasnya dalam berbagai aspek pembangunan orang asli terutamanya aspek kesihatan. Di mana telah diwujudkan program Ceramah Kesihatan bersama Jabatan Hal Ehwal Orang Asli. Jelasnya Asyik FM terus melakukan perubahan yang diperlukan oleh masyarakat. Sesuai dengan keperluan maklumat yang diperlukan, Asyik FM terus memperbanyakan maklumat menerusi rancangan-rancangan, supaya ia menjadi sumber rujukan maklumat utama seperti mana diperlukan oleh masyarakat di pedalaman yang kehausan maklumat.

Dengan perkembangan ini, Asyik FM mengharapkan masyarakat orang asli akan mendapat maklumat kerajaan dan seterusnya dapat mengubah sikap, semangat berdidekasi serta mempunyai wawasan selari dengan perubahan semasa. Antara pelopor siaran ini ialah Encik Bah Daniel, Encik Long Rais, Encik Adeng Kerah dan Encik Ajom Alang.