Demografi Australia

Rencana utama: Demografi Australia
Kebanyakan penduduk Australia tinggal di kawasan bandar; Sydney ialah bandar yang mempunyai paling ramai penduduk di Australia. Arah aliran kepada pembandaran juga lebih kuat di Australia daripada banyak tempat lain di dunia.

Kebanyakan penduduk Australia yang dianggarkan sebanyak 20.6 juta orang adalah keturunan peneroka-peneroka abad ke-19 dan ke-20. Kebanyakannya adalah dari Great Britain dan Ireland. Jumlah penduduk Australia telah berganda empat kali sejak akhir Perang Dunia I, [14] didorong oleh rancangan imigrasi yang hebat. Pada tahun 2001, lima kumpulan yang terbesar daripada 23,1% penduduk Australia yang dilahirkan di luar negeri berasal dari United Kingdom, New Zealand, Itali, Vietnam and China.[15] Menyusul pemansuhan Dasar Australia Putih pada tahun 1973, banyak inisiatif kerajaan telah dimulakan untuk menggalakkan dan mempromosikan keharmonian kaum, berasaskan dasar pelbagai budaya. [16]

Jumlah penduduk orang asli Australia — orang asli tanah besar dan kaum Kepulauan Selat Torres — ialah 410,003 (2,2% daripada jumlah penduduk Australia) pada tahun 2001. Ini merupakan suatu kenaikan yang ketara daripada banci 1976 yang menunjukkan bahawa jumlah penduduk orang asli adalah 115,953 orang ketika itu. Orang-orang asli Australia mengalami kadar pemenjaraan dan pengangguran yang lebih tinggi, serta taraf pendidikan dan jangka hayat yang lebih rendah untuk kedua-dua lelaki and wanita, iaitu 17 tahun lagi kurang daripada penduduk-penduduk Australia lain. [15] Ketaksamaan kaum tertanggap merupakan suatu isu politik dan hak asasi manusia yang masih wujud antara penduduk-penduduk Australia.

Kurang daripada 15% penduduk Australia tinggal di kawasan luar bandar. Gambar ini menunjukkan Lembah Barossa, sebuah kawasan pengeluaran wain di Australia Selatan.

Seperti dengan banyak negara maju yang lain, Australia sedang mengalami perubahan demografi kepada penduduk-penduduk yang lebih tua, dengan pertambahan bilangan pesara serta pengurangan orang umur bekerja. Sebilangan besar penduduk Australia (759,849 untuk tempoh 2002–03 [17]) tinggal di luar negara asal mereka. Australia mengekalkan salah satu rancangan imigrasi yang paling aktif di dunia bagi menggalakkan pertumbuhan jumlah penduduk. Kebanyakan pendatang mempunyai kemahiran, tetapi kuota imigresen termasuk kategori-kategori untuk ahli keluarga serta pelarian.

Bahasa Inggeris ialah bahasa rasmi [18] yang dituturkan serta ditulis dalam kelainan yang tersendiri, dan yang dikenali sebagai bahasa Inggeris Australia. Menurut banci 2001, bahasa Inggeris ialah bahasa tunggal yang dituturkan di rumah bagi sekitar 80% daripada jumlah penduduk. Bahasa-bahasa lain yang paling biasa dituturkan di rumah ialah bahasa Cina (2.1%), bahasa Itali (1.9%), dan bahasa Greek (1.4%). Sebahagian besar pendatang-pendatang generasi pertama dan kedua adalah dwibahasa. Adalah dipercayai bahawa terdapat antara 200 dan 300 bahasa orang asli Australia pada masa hubungan pertama Eropah. Hanya kira-kira 70 daripada bahasa-bahasa itu masih wujud, dengan kesemuanya kecuali 20 bahasa ini terancam. Sebuah bahasa orang asli masih merupakan bahasa utama bagi kira-kira 50,000 (0,02%) orang. Australia mempunyai sebuah bahasa isyarat yang dikenali sebagai Auslan yang merupakan bahasa utama untuk kira-kira 6,500 orang pekak.

Australia tidak mempunyai agama rasmi. Banci 2001 mengenal pasti bahawa 68% daripada penduduk Australia menganggap diri sebagai penganut Kristian: 27% menganggap diri sebagai Roman Katolik, manakala 21% menganggap diri sebagai ahli mazhab Gereja England. Penduduk Australia yang menganggap diri sebagai bukan pengikut Kristian berjumlah 5%. Sejumlah 16% dikelaskan sebagai "Tiada Ugama" (termasuk kepercayaan bukan-teisme seperti humanisme, ateisme, agnostisisme dan rasionalisme) dan sejumlah 12% yang lain enggan menjawab atau tidak memberi balasan yang mencukupi untuk penafsiran. Sebagaimana dengan kebanyakan negara Barat, tahap penyertaan aktif dalam upacara sembahyang gereja adalah lebih rendah daripada jumlah ini; kehadiran mingguan untuk upacara sembahyang gereja adalah di sekitar 1.5 juta, iaitu kira-kira 7.5% daripada jumlah penduduk. [19]

Kehadiran sekolah adalah wajib di seluruh Australia antara usia 6–15 tahun (tempoh pendidikan selama 16 tahun di Australia Selatan serta Tasmania, dan 17 tahun di Australia Barat) merupakan antara sebab kadar kenal huruf dewasa yang dianggap sebagai 99%. Bantuan kerajaan telah membantu penubuhan 38 buah universiti Australia, dan sungguhpun terdapat banyak universiti swasta yang ditubuhkan, sebahagian besarnya menerima pembiayaan kerajaan. Terdapat sistem kolej latihan vokasional berasaskan negeri yang dikenali sebagai Institut-institut TAFE, dan banyak industri juga memberi latihan perantisan untuk pekerja-pekerjanya yang baru. Kira-kira 58% daripada penduduk Australia yang berusia antara 25 dan 64 tahun mempunyai kelayakan vokasional atau pendidikan tinggi [15] dan kadar penyampaian ijazah sebanyak 49% adalah kadar yang tertinggi di kalangan negara-negara OECD. Nisbah pelajar antarabangsa dengan pelajar tempatan dalam pendidikan tinggi di Australia adalah yang tertinggi antara negara-negara OECD.[20]

Rujukan

WikiPedia: Australia http://www.austlii.edu.au/au/legis/cth/consol_act/... http://www.abs.gov.au/ http://www.abs.gov.au/Ausstats/abs@.nsf/0/68180154... http://www.abs.gov.au/ausstats/abs@.nsf/94713ad445... http://www.abs.gov.au/ausstats/abs@.nsf/94713ad445... http://aec.gov.au/_content/What/voting/faq_general... http://www.aec.gov.au/_content/when/referendums/19... http://www.aiatsis.gov.au/rsrch/rsrch_dp/genocide.... http://www.aph.gov.au/Senate/committee/legcon_ctte... http://www.aph.gov.au/library/parl/42/ministry/min...