Awie

YH Dato' Ahmad Azhar bin Othman, DIMP atau lebih dikenali sebagai Awie (lahir 24 November 1968) ialah salah seorang penyanyi rock dan pelakon terkenal Malaysia dan penyanyi utama kumpulan Wings. Dilahirkan di Datuk Keramat, Kuala Lumpur (Selangor), kerjaya muzik Awie sebagai artis lahir pada tahun 1987 bersama kumpulan Wings dengan muncul album pertama berjudul Belenggu Irama. Ketika popular bersama Wings, beliau memperkembangkan bakatnya yang semula jadi dalam bidang lakonan menerusi filem pertamanya Pemburu Bayang pada tahun 1993. Awie kemudiannya mengambil langkah untuk meninggalkan Wings dan memulakan kerjayanya sebagai penyanyi solo bermula pada 1993 apabila beliau melancarkan album solo eponim pertamanya pada 1994 dan telah terjual sebanyak 220,000 unit menjadikan album tersebut sebagai pemegang rekod penjualan album tertinggi bagi artis solo lelaki di Malaysia sehingga kini, yang sebelum itu diungguli oleh Saleem (Iklim) menerusi album solo pertamanya yang berjudul Gabungan Dua Insan Seni - Saleem & Wan Zul yang mempertaruhkan single popular "Aduhai! Seribu Kali Sayang" pada tahun 1993 yang terjual sebanyak 80,000 unit. Sepanjang kerjaya solonya, beliau telah menghasilkan lima album solo tidak termasuk album kompilasi, langsung dan lain-lain. Selain itu juga, Awie pernah menyertai kumpulan Search pada tahun 1998 dan muncul satu album bertajuk Bikin Wilayah setelah Amy meninggalkan kumpulannya itu dan seterusnya menubuhkan kumpulannya tersendiri yang diberi nama Dragon Malaya pada tahun 2000. Sehingga kini Dragon Malaya masih aktif di beberapa untuk konsert sahaja. Pada 2001, beliau kembali bersama kumpulan Wings yang kekal sehingga kini. Awie masih mengekalkan kerjaya sebagai pelakon filem. Antara filem terkenal beliau termasuk Baik Punya Cilok (2005), Sumolah (2007), Hantu Kak Limah Balik Rumah (2010) dan Lebuhraya Ke Neraka (2017). Selain itu, Awie juga ialah seorang pengacara program realiti TV seperti Tunggu Sekejap, juri Maharaja Lawak 2012 dan banyak lagi.

Awie

Pekerjaan Penyanyi, Pelakon, Pengacara, Pelawak
Ibu bapa Othman Maarof (bapa)
Azizah Abdul Hamid (ibu)
Pasangan Arni Nazira Anuar (k. 1998; c. 2006)
Rozana Misbun (k. 2006; c. 2014)
Datin Sharifah Ladyana Syed Shamsuddin (k. 2016)
Anak 5 (dua dengan Arni Nazira, tiga lagi dengan Rozana)
Tahun aktif 1985–kini
Pengkarya berkait Wings, Dragon Malaya, Ella, Ziana Zain, Erra Fazira, Kumpulan Kristal, M.Nasir
Instrumen Vokal
Syarikat rakaman
Kampung asal Datuk Keramat, Selangor
Kelahiran Ahmad Azhar bin Othman
(1968-11-24) 24 November 1968 (umur 51)
Datuk Keramat, Selangor, Malaysia
Genre Rock
Gelaran Raja Rock Malaysia