YH
Dato' Ahmad Azhar bin Othman,
DIMP atau lebih dikenali sebagai
Awie (lahir 24 November 1968) ialah salah seorang
penyanyi rock dan pelakon terkenal
Malaysia dan penyanyi utama kumpulan
Wings. Dilahirkan di
Datuk Keramat,
Kuala Lumpur (Selangor), kerjaya muzik Awie sebagai artis lahir pada tahun 1987 bersama kumpulan Wings dengan muncul album pertama berjudul Belenggu Irama. Ketika popular bersama Wings, beliau memperkembangkan bakatnya yang semula jadi dalam bidang lakonan menerusi filem pertamanya
Pemburu Bayang pada tahun 1993. Awie kemudiannya mengambil langkah untuk meninggalkan Wings dan memulakan kerjayanya sebagai penyanyi solo bermula pada 1993 apabila beliau melancarkan album solo eponim pertamanya pada 1994 dan telah terjual sebanyak 220,000 unit menjadikan album tersebut sebagai pemegang rekod penjualan album tertinggi bagi artis solo lelaki di Malaysia sehingga kini, yang sebelum itu diungguli oleh
Saleem (
Iklim) menerusi album solo pertamanya yang berjudul Gabungan Dua Insan Seni - Saleem & Wan Zul yang mempertaruhkan single popular "Aduhai! Seribu Kali Sayang" pada tahun 1993 yang terjual sebanyak 80,000 unit. Sepanjang kerjaya solonya, beliau telah menghasilkan lima album solo tidak termasuk album kompilasi, langsung dan lain-lain. Selain itu juga, Awie pernah menyertai kumpulan
Search pada tahun 1998 dan muncul satu album bertajuk
Bikin Wilayah setelah
Amy meninggalkan kumpulannya itu dan seterusnya menubuhkan kumpulannya tersendiri yang diberi nama Dragon Malaya pada tahun 2000. Sehingga kini Dragon Malaya masih aktif di beberapa untuk konsert sahaja. Pada 2001, beliau kembali bersama kumpulan Wings yang kekal sehingga kini. Awie masih mengekalkan kerjaya sebagai pelakon filem. Antara filem terkenal beliau termasuk
Baik Punya Cilok (2005),
Sumolah (2007),
Hantu Kak Limah Balik Rumah (2010) dan
Lebuhraya Ke Neraka (2017). Selain itu, Awie juga ialah seorang pengacara program realiti TV seperti Tunggu Sekejap, juri Maharaja Lawak 2012 dan banyak lagi.