Pembiakbakaan Ayam

Asal-usul

Ayam hutan merah jantan.

Ayam bela jinak adalah keturunan langsung daripada ayam hutan merah (Gallus gallus), malah kedua-dua ayam ini terbilang sebagai satu spesies yang sama menurut sains.[18] Oleh itu ayam bela jinak boleh bebas membiak baka dengan ayam hutan merah.[18] Analisis genetik mendapati bahawa setidak-tidaknya gen kulit kuning diterapkan ke dalam ayam bela jinak melalui pengacukan dengan ayam hutan kelabu (G. sonneratii).[19] Pada mulanya diandaikan bahawa ayam mula-mula dibela jinak untuk tujuan menyabung di Asia, Afrika, dan Eropah, daripada pengeluaran telur dan daging. Akhir-akhir ini terdapat beberapa kajian genetik untuk menerangkan asal-usul ayam. Menurut satu kajian, satu peristiwa pembelajinakan yang berlaku di kawasan yang kini wilayah Thailand telah mencipta ayam moden dengan peralihan kecil-kecilan yang mengasingkan sesama baka-baka moden.[20] Akan tetapi kajian itu didapati berdasarkan data yang tidak lengkap, malah kajian terbaharu menunjukkan pelbagai asal-usul saka ayam dengan kladnya yang terdapat di benua-benua Amerika, Eropah, Timur Tengah dan Afrika, berasal dari subbenua India di mana terdapat sejumlah besar haplotip (kumpulan genetik dari satu induk) yang unik.[21][22] Diandaikan bahawa ayam hutan merah merupakan sejenis burung kuang istimewa yang cukup tersesuai diri untuk memanfaatkan bekalan buah-buahan melimpah-ruah yang terhasil di akhir kitaran pembenihan buluh 50 tahun untuk menggalakkan pembiakan sendiri.[23] Dalam membela jinak ayam, manusia mengambil kesempatan ke atas pembiakan ayam hutan yang peridi apabila terdedah kepada jumlah bekalan makanan yang besar.[24]

Pernah dihujahkan (berdasarkan andaian paleoklimatik) bahawa ayam dibela jinak di China Selatan sejak tahun 6000 SM.[25] Namun menurut kajian 2007,[26] tidak jelas sama ada ayam-ayam tersebut adalah leluhur kepada ayam masa kini. Sebaliknya mungkin bahawa ayam bela jinak berasal dari budaya Harappa di Lembah Indus. Lama-kelamaan ayam berpindah ke lembangan Tarim di Asia Tengah. Ayam mencapai Eropah Timur (kawasan Romania, Turki, Yunani, Ukraine) sekitar 3000 SM.[27]

Ayam diperkenalkan ke Eropah Barat lewat lagi, sekitar alaf pertama SM. Kaum Phoenicia menyebarkan ayam di sepanjang pantai Mediterranean hinggalah Iberia. Pembiakbakaan ayam meningkat pada zaman Empayar Rom, tetapi merosot pada Zaman Pertengahan.[27] Kesan kewujudan ayam di Timur Tengah keluar seawal 2000 SM di Syria; ayam tersebar ke selatan hanya dalam alaf pertama SM. Ayam dibawa ke Mesir untuk tujuan menyabung sekitar 1400 SM, kemudian dibiakbakakan secara meluas hanya pada zaman Ptolemy (sekitar 300 SM).[27] Tidak banyak yang diketahui tentang pengenalan ayam ke dalam Afrika. Terdapat tiga jalan yang berkemungkinan bagi pengenalan ayam pada alaf pertama Masihi iaitu melalui lembah Nil Mesir, daripada perdagangan dengan Yunani-Rom atau India di Afrika Timur, ataupun daripada negara Carthage dan Barbar merentasi Sahara. Tinggalan ayam yang terawal diketahui datang dari kawasan Mali, Nubia, Pantai Timur, dan Afrika Selatan, bertarikh seawal pertengahan alaf pertama Masihi.[27]Ayam bela jinak di benua Amerika sebelum penaklukan Barat masih dibincangkan, tetapi adanya ayam bertelur biru yang hanya terdapar di Amerika dan Asia yang membayangkan asal-usul Asia bagi ayam Amerika terawal.[27]

Kekurangan data dari Rusia, subbenua India, Asia Tenggara dan Afrika Sub-Sahara menyukarkan pemetaan penyebaran ayam di kawasan-kawasan tersebut; pemerian yang lebih baik serta analisis genetik terhadap baka-baka tempatan yang diancam kepupusan boleh juga membantu penyelidikan dalam bidang ini.[27]

Amerika Selatan

Terdapat sejenis ayam luar biasa yang berasal di Amerika Selatan dengan gelaran araucana yang dibela di Chile selatan oleh bangsa Mapuche. Ada yang tidak tumbuh ekor dan ada yang berjambul di telinga, sudah pastinya araucana bertelur biru ke hijau. Sekian lama diusulkan bahawa ayam jenis ini sudah lama ada sebelum kedatangan ayam Eropah yang dibawa oleh Sepanyol dan merupakan bukti adanya hubungan antara Amerika Selatan dengan kaum-kaum Asia atau Lautan Pasifik (Polinesia) pada zaman pra-Columbia. Pada tahun 2007, sepasukan penyelidik pelbagai bangsa melaporkan hasil analisis tulang ayam yang ditemui di Semenanjung Arauco di rantau selatan tengah Chile. Penarikhan radiokarbon mengusulkan bahawa ayam purba berkenaan datang dari zaman Pra-Columbia, bahkan analisis DNA menunjukkan bahawa ia bersaudara dengan populasi ayam prasejarah di Polinesia.[28] Nampaknya hasil ini menunjukkanb bahawa ayam datang dari Polinesia, malah terdapat hubungan trans-Pasifik antara Polinesia dan Amerika Selatan sebelum ketibaan Columbus di benua Amerika.[29]

Bagaimanapun, kajian selanjutnya terhadap spesimen yang sama menyimpulkan keraguan terhadap teori pengenalan ayam ke Amerika Selatan dari Polinesia kerana urutan genetik ayam purba Chile pra-Columbia tersebut dan enam spesimen Polinesia pra-Eropah sebenarnya serumpun dengan urutan genetik ayam yang umum sekali dari Eropah-India-Asia Tenggara.[30]