Penternakan Ayam

Rencana utama: Penternakan unggas
Bekas ayam sangkar, lima hari selepas dilepaskan. Perhatikan balungnya yang pudar - barangkali balung itu jitu sekali sebagai petanda kesihatan dan tenaga.[31]

Menurut kajian Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO), jumlah bekalan ayam sedunia berjumlah 21.3 bilion ekor pada tahun 2014; 55.1% peratus daripada itu keluar di Asia.[32]

Majoriti besar ayam kini diternak secara intensif atau "kilang". Menurut Worldwatch Institute, 74 peratus daripada bekalan ayam dan 68 peratus bekalan telur sedunia dihasilkan dengan cara ini.[33] Antara alternatif kepada penternakan ayam intensif termasuk kaedah ternak lepas.

Perselisihan antara dua kaedah utama ini telah menimbulkan isu kepenggunaan beretika jangka panjang. Pembangkang penternakan intensif berhujah bahawa kaedah berkenaan menjejaskan alam sekitar, menjejaskan kesihatan manusia malah tidak berperikemanusiaan. Penyokong penternakan intensif pula bertegas bahawa sistemnya yang amat efisien menjimatkan sumber tanah dan makanan kerana produktiviti yang meningkat, malah ternakan dijaga dalam kemudahan tercanggih yang terkawal alam sekitar.

Pedaging

Rencana utama: Ayam pedaging
Reban ayam komersial berusuk terbuka menternak ayam pedaging

Ayam yang diternak untuk dagingnya dipanggil ayam pedaging (broiler). Jangka hayat semula jadi ayam sekurang-kurangnya enam tahun, tetapi ayam pedaging boleh mengambil masa tak lebih enam minggu untuk membesar secukupnya untuk disembelih.[34] Ayam pedaging ternak lepas atau organik lazimnya akan disembelih pada umur 14 minggu.

Penelur

Ayam yang diternak untuk telurnya digelar ayam penelur atau ayam telur. Sesetengah baka ayam boleh mengeluarkan lebih 300 biji telur setahun, dengan rekod kadar bertelur tertinggi yang ditentusahkan pada 371 biji dalam 364 hari.[35] Selepas 12 bulan bertelur, kemampuan bertelur ayam komersial mula merosot ke tahap di mana kawanannya tidak berdaya lagi. Sesetengah ayam penelur, apatah lagi yang dari sistem sangkar bersekat, menjadi rengsa atau keguguran banyak bulu, malah jangka hayatnya merosot dari sekitar tujuh tahun ke kurang dua tahun.[36] Bahkan di Eropah, ayam petelur yang lesu akhirnya disembelih untuk digunakan dalam makanan proses atau dijual sebagai "ayam sup".[36] Di sesetengah negara lain pula, ada kalanya kawanan ayam dipaksa bersalin bulu daripada disembelih untuk menggalakkan semula ayam bertelur. Ini melibatkan larangan diberi makan (dan ada kalanya juga larangan minum air) sepenuhnya selama 7–14 hari[37] ataupun tempoh yang cukup lama untuk menyebabkan berat badan susut sebanyak 25 ke 35 peratus,[38] ataupun 28 hari dalam keadaan eksperimental.[39] Ini merangsang ayam betina untuk keguguran bulu tetapi juga menggalakkan semula pengeluaran telur. Boleh jadi kawanan ayam dipaksa bersalin bulu berkali-kali. Pada 2003, lebih 75% daripada kesemua kawanan dipaksa salin di Amerika Syarikat.[40]

Pengeraman artifisial

Inkubator telur

Pengeraman artifisial boleh dijadikan dalam mesin-mesin pengeram atau "inkubator" yang menyediakan persekitaran terkawal yang betul untuk anak ayam yang berkembang.[41][42][43][44] Purata tempoh pengeraman untuk ayam sekitar 21 hari tetapi tertakluk kepada suhu dan kelembapan dalam inkubator. Kawalan suhu paling penting untuk menjayakan penetasan. Ralat yang melebihi 1 °C dari suhu optima 37.5 °C (99.5 °F) pun akan mengurangkan kadar penetasan. Kelembapan juga penting kerana kadar kehilangan air telur akibat penyejatan bergantung kepada kelembapan relatif sekitar. Penyejatan boleh dinilai dengan mendian telur untuk melihat sebesar mana pundi udara, ataupun menimbang susut berat. Kelembapan relatif haruslah dipertingkat ke sekitar 70% dalam tiga hari terakhir pengeraman untuk mengelak membran di keliling anak ayam yang hendak menetas dari mengering setelah anak ayam menebuk kulit telur. Kelembapan rendah adalah lazim dalam 18 hari pertama untuk memastikan sejatan memadai. Kedudukan telur di dalam inkubator juga boleh mempengarui kadar penetasan. Untuk hasil terbaik, telur harus terletak songsang (puncak ke bawah) dan kerap diputarkan (sekurang-kurangnya tiga kali sehari) hingga satu ke tiga hari sebelum menetas. Jika tidak diputarkan, maka embrio di dalam terlekat pada kulit telur dan menetas dengan kecacatan fizikal. Perlunya pengudaraan yang memadai untuk membekalkan oksigen kepada embrio, lebih-lebih lagi bagi telur yang sudah lama.

Banyak inkubator komersial bersaiz industri dan lengkap dengan tingkat-tingkat rak yang menampung puluhan ribu telur sekali gus, bahkan memutarkan telur secara automatik sepenuhnya. Inkubator kegunaan rumah merupakan kotak yang menampung enam hingga 75 biji telur; lazimnya berkuasa elektrik tetapi dahulunya dipanaskan dengan pelita.