Peristilahan Ayam

Perkataan "ayam" berasal dari leluhur bahasa Melayu iaitu protobahasa Melayu-Polinesia dengan *qayam yang bermaksud haiwan jinak.[8] Oleh yang demikian, ia dikira perkataan asli dalam kosa kata bahasa Melayu. Di kalangan bahasa-bahasa yang serumpun dengan bahasa Melayu, perkataan "ayam" dalam bahasa Sunda, Bali dan Jawa Lama sama makna dengan bahasa Melayu, walhal dalam bahasa Iban perkataan "ayam" bermaksud haiwan kesayangan (contohnya, udok ayam = "anjing kesayangan").[8]

Terdapat pelbagai istilah untuk ayam-ayam dengan sifat yang tertentu, seperti yang berikut:[9]

  • ayam bogel/togel: ayam yang tidak berbulu
  • ayam (bulu) balik: ayam yang bulunya terbalik (keriting)
  • ayam cemani: ayam yang hitam seluruhnya
  • ayam katik: baka ayam yang kerdil, misalnya baka ayam serama
  • ayam lemba: ayam yang rendah badan
  • ayam meluruh: ayam yang keguguran bulu
  • ayam selasih: ayam yang bulunya berbintik-bintik hitam atau kelabu

Ayam jantan juga dikenali sebagai (ayam) jaguh, manakala ayam jantan yang dikembiri dipanggil ayam kasi. Tambahan pula ada istilah tertentu mengikut corak warnanya, seperti yang berikut:[9]

  • ayam bangkas: ayam jantan yang borek (berbintik-bintik putih)
  • ayam belorong, ayam cenantan/kenantan/sinantan: ayam jantan putih
  • ayam biring: ayam jantan berkaki kuning
  • ayam jalak: ayam jantan yang rupanya seperti perling dan berkaki kuning
  • ayam pilas: ayam jantan yang hitam lehernya dan kakinya (bulunya berbintik-bintik)
  • ayam tedung: ayam jantan hitam yang besar dan tegak bulu suanya

Ayam jantan yang digunakan untuk berlaga umum dipanggil ayam sabung atau sabungan (juga ayam aduan).[9] Ayam yang tidak dipakaikan taji dipanggil ayam pupuh.[9] Ayam sabung yang enggan bertarung digelar ayam bacul.[9]

Ayam betina yang belum pernah bertelur atau sudah hampir bertelur dipanggil ayam dara.[9] Ayam betina yang tidak bertelur dipanggil ayam mandul dan ayam betina yang pernah bertelur tetapi sudah tidak lagi dipanggil ayam pencen.[9] Anak ayam yang tidak dibesarkan oleh ibu ayam dipanggil ayam didik dan sebaliknya dijaga oleh manusia yang memeliharanya.[9] Ayam kembar yang menetas dari sebiji telur dipanggil ayam sebandung.[9]

Ayam yang dipelihara khusus untuk telur dipanggil ayam penelur atau ayam telur, manakala yang khusus untuk daging dipanggil ayam pedaging atau ayam daging (juga ayam peranggang atau ayam potongan). Ayam yang dipelihara secara ternak lepas dipanggil ayam kampung; begitu juga dengan dagingnya.

Spesies lain yang memakai nama ayam

Terdapat unggas seperti ayam yang berpial tetapi tidak berbalung malah ekornya mengigal yang dipanggil ayam belanda (Meleagris gallopavo). Juga terdapat sejenis burung kuang yang dipanggil ayam pegar (Lophura ignita). Semua unggas yang memakai nama ayam ini dikira serumpun dengan ayam dalam konteks sains moden di bawah order Galliformes (rumpun bentuk ayam).