Kerjaya Aziz_M._Osman

Kerjaya awal

Pada 1976, Aziz memulakan kerjaya lakonannya sebagai pelakon kanak-kanak menerusi filem Sayang Anakku Sayang arahan Allahyarham Dato' Jamil Sulong, ketika itu beliau berusia 14 tahun. Persembahan beliau dalam filem ini melayakkan beliau memenangi Pelakon Kanak-kanak Terbaik di Festival Filem Asia ke-22 yang diadakan di Korea Selatan.

Menduduki kerusi pengarah: 1990an

14 tahun kemudian, beliau menduduki kerusi pengarah menerusi filem sulungnya, Fenomena yang dikeluarkan pada 31 Mei 1990, yang dibintangi oleh M.Nasir dan Ramona Rahman sebagai pelakon utama, dibantu oleh Amy Search dan turut membuat kemunculan di dalam filem ini ialah anggota kumpulan Search yang lain. Filem ini mengisahkan seorang pengembaraan seorang wanita British yang lahir di Malaysia. Dia kembali ke Terengganu negeri yang menjadi tempatnya menghabiskan zaman kanak-kanak.

Aziz mengarahkan filem keduanya, XX Ray yang ditayangkan pada 24 Disember 1992 memperlihatkan beliau mengangkat genre cereka sains Malaysia ke tahap yang lebih baik. Filem ini dibintangi oleh beliau sendiri, Faizal Hussein, Nor Aliah Lee dan Sharmaine Farouk sebagai pelakon utama dan turut dibantu oleh Ibrahim Pendek, Edika Yusof, Shaharuddin Thamby dan Ebby Yus. Ia mengisahkan Amir yang begitu obses dengan angkasa lepas dan dia kemudiannya mencipta sebuah topi keledar yang menggunakan kuasa tahi bintang. Helmet berkenaan membuatkan sesiapa yang memakainya mampu melihat menembusi apa sahaja. Namun, kesan sampingan helmet berkenaan membuatkan Amir menjadi halimunan. Filem ini melayakkan Aziz memenangi Pengarah Baru Harapan di Festival Filem Malaysia ke-10. Kejayaan filem ini telah mencetuskan kesinambungannya, XX Ray 2 yang ditayangkan tiga tahun kemudian, serta siri TV susulannya yang ditayangkan pada 2006.

Pada 1994, Aziz muncul dengan dua filem arahan serentak, Femina yang ditayangkan pada 13 Mac mengangkat tema feminisme di Malaysia di mana semangat dan kuasa wanita dalam mempertahankan hak dan kewajaran menjadi isu utama yang dibentangkan. Ia dibintangi oleh Eman Manan, Erma Fatima dan Susan Lankester. Ia kemudian diikuti oleh filem Fantasi yang juga ditayangkan pada tarikh sama. Fantasi diselubungi dengan kontroversi berpanjangan, menyebabkan filem ini ditangguhkan tayangannya. Judul asal filem ini ialah Fantasia dan versi asalnya telah diharamkan tayangan pada tahun 1991 kerana dikatakan membawa pengaruh tahyul yang keterlaluan. Filem ini ditarik balik pengharamannya selepas proses suntingan semula dan penamaan semula tajuk.

Filem ini berkisar tentang dendam zaman purba di antara mangsa dan pengamal ilmu syaitan. Dendam ini berlarutan dari zaman ke zaman sehingga ke dunia moden. Aziz sebagai pengarah dan Zain Mahmood selaku penerbit meluahkan rasa kecewa terhadap pengharaman filem ini.

Pada 1997, beliau mengarahkan filem Baginda yang bertemakan semangat kemasyarakatan dibintangi oleh Azean Irdawaty, Jalil Hamid dan Jalaluddin Hassan. Beliau seterusya mengarahkan filem Puteri Impian lakonan Amy Mastura yang menandakan kerjasama pertama Amy bersama Aziz, ia kemudiannya diikuti oleh kesinambungannya, Puteri Impian 2 yang ditayangkan pada 1998.

Aziz mengarahkan filem komedi Senario The Movie (1999) yang dibintangi oleh kumpulan Senario (Lan Pet Pet, Wahid Senario, Azlee Jaafar dan Saiful Apek) dan turut dijayakan oleh Syanie, A.R. Badul dan Zahida Rafik. Beliau sendiri turut berlakon dalam filem ini dengan memegang watak sebagai pembaca berita. Selepas filem ini, beliau mengarahkan empat lagi filem Senario, Senario Lagi (2000), Lagi-Lagi Senario (2001),[3] Senario XX (2005) dan Senario Dalam Pemburu Emas Yamashita (2006).

Kejayaan arus perdana: 2000an

Beliau menulis dan mengarahkan filem drama peperangan, Leftenan Adnan (2000) yang ditayangkan pada 31 Ogos 2000 berdasarkan dari kisah benar perjuangan askar Melayu, Adnan Saidi atau lebih dikenali sebagai Leftenan Adnan dalam menentang Tentera Jepun semasa Perang Dunia II.[4][5]

Pada 24 Mei 2001, beliau mengarahkan filem drama misteri, Seri Dewi Malam yang dibintangi oleh Jeslina Hashim dan Maya Karin.[6] Kemudian, beliau menulis dan mengarahkan filem Idola (2002) yang melancarkan kerjaya lakonan Diana Danielle.[7][8][9]

Aziz juga pernah muncul dalam telefilem Neon (2003) arahan Mohd Feroz Abdul Kader lakonan Allahyarham Faizal Yusup dan Erik Fuzi bersama ramai pelakon termasuk Azhar Sulaiman, Saiful Apek, Rashidi Ishak, Sofi Jikan, Aziz Sattar, Kuswadinata, Abby Abadi, Serina Redzuawan, Bront Palarae, Jalaluddin Hassan, Zila Bakarin, Rita Rudaini, Kartina Aziz dan ramai lagi.[10]

Beliau mengarah dan menulis bersama filem drama komedi muzikal Bintang Hati (2004) lakonan Amy Mastura yang turut menulis ceritanya.[11] Ia kemudiannya diikuti oleh filem suspens thriler Trauma yang sebahagian besarnya difilemkan di Genting Highlands, Pahang. Filem ini juga dibintangi oleh Amy, bersama-sama Nasha Aziz, Sharifah Aleya dan Azhar Sulaiman.[12]

Pada 2005, syarikat beliau, Ace Motion Pictures menerbitkan sitkom Puteri lakonan Nora Danish untuk siaran di TV3 yang mendapat jumlah tontonan tertinggi dan diterbitkan sebanyak 3 musim dan 78 episod.[13] Ace Motion kemudian menerbitkan beberapa drama TV lain termasuk Misi XX-Ray yang merupakan lanjutan kepada dua siri filem XX Ray.[14] Pada tahun berikutnya, Aziz mengarahkan filem Senario Dalam Pemburu Emas Yamashita yang merupakan filem terakhir beliau bersama Senario.[15] Dalam satu temuramah, Aziz menyatakan beliau "sudah hilang selera untuk mengarahkan filem Senario"[15] dan menganggap bekerja dengan kumpulan itu sebagai "bulatan penuh".[15][16]

Aziz mengambil keputusan untuk berehat dari mengarah filem, dan menumpukan perhatian kepada penerbitan drama TV dan mencungkil bakat baru dalam bidang lakonan. Menerusi syarikatnya, Ace Motion, Aziz menerbitkan sitkom Kisah Kaisara yang melancarkan kerjaya lakonan Sari Yanti, diterbitkan sebanyak 2 musim dan 26 episod disiarkan di TV3 dari 30 Oktober 2007 hingga 4 November 2008.[17] Pada 2008, beliau membuat penampilan khas dalam filem cereka sains adiwira Cicakman 2 - Planet Hitam arahan Yusry KRU lakonan Saiful Apek.

Kebangkitan semula: 2010an

Pada 2012, Aziz kembali menduduki kerusi pengarah menerusi filem Azura lakonan Neelofa dan Shahz Jaszle. Filem ini berdasarkan daripada filem asal 1984 dengan judul sama arahan Deddy M. Borhan lakonan Ogy Ahmad Daud dan Jamal Abdillah.[18][19][20] Pada 2016, Aziz menjadi pelakon undangan dalam drama kepolisan Gerak Khas menerusi episod "Lintah Darat" yang mana beliau merupakan pengarah bagi episod ini. Beliau seterusnya mengarahkan episod pertama drama patriotik 6 episod Anak Merdeka lakonan Remy Ishak, Elvis Chin dan Thanuja Ananthan yang disiarkan pada 26 Ogos 2017 di empat saluran ASTRO. Aziz bakal muncul dengan filem terbaru arahannya, XX-Ray 3 yang akan datang,[21] ini merupakan filem XX-Ray pertama dalam tempoh 22 tahun.[22][23]

Pada 8 Jun 2017, beliau berlakon bersama Sabri Yunus, Nasrizal Ngasri, Man Kadir dan Rab Khalid dalam telefilem komedi 16 Puasa arahan Mamat Khalid yang memulakan tayangan perdana di Astro First Eksklusif, ia mengisahkan tentang beberapa penduduk kampung yang ponteng puasa bersama-sama dan menyembunyikan perbuatan mereka dari pengetahuan keluarga masing-masing.[24]

Aziz dan keluarganya menjadi salah satu dari lima keluarga selebriti yang terlibat dalam rancangan realiti Oh My Family! yang bersiaran sebanyak 6 episod bermula pada 11 April 2018 di Astro Ria, Ria HD dan Astro Ceria.[25]

Rujukan

WikiPedia: Aziz_M._Osman http://www.mynewshub.cc/2015/06/03/aziz-m-osman-um... http://www.astroawani.com/berita-hiburan/aziz-m-os... http://www.imdb.com/name/nm0530789/ http://www.themalaymailonline.com/malaysia/article... http://www.mstar.com.my/hiburan/berita-hiburan/201... http://www.mstar.com.my/hiburan/berita-hiburan/201... http://www.mstar.com.my/hiburan/wayang/2012/02/03/... http://www.sinarharian.com.my/hiburan/aziz-m-osman... http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt... http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt...