Kerjaya Aznil_Nawawi

Penyiaran

Aznil dan kanak-kanak di rancangan Tom Tom Bak

Ketika memulakan kerjaya dalam bidang penyiaran, Aznil terlibat dalam berita. Beliau kemudian beralih ke sesuatu yang amat berbeza iaitu mengacara rancangan permainan Pop Kuiz pada tahun 1992.[7] Ini diikuti oleh kerja mengacara rancangan majalah hiburan dan gosip Melodi pada tahun 1994, dan seterusnya Teleskop, rancangan wawancara terulung yang membincangkan isu kontroversi di negara.

Pada tahun 2000, Aznil bertapak di ntv7 sebagai pengacara rancangan lawak Kamera Apo?.[8][9]

Selepas itu, Aznil berpindah ke Astro Ria, dan di situlah belaiu menandakan kemasukan beliau sebagai pengacara kreatif saluran ini. Antara projek-projek beliau yang terkenal ialah penglibatannya dalam program realiti Akademi Fantasia sejak 2002 sehingga mengumumkan pengunduran diri dari rancangan tersebut pada tahun 2007 setelah lima tahun dan lima musim berturut-turut.

Pada tahun 2005, setelah menghabiskan dua musim AF, Aznil kemudiannya mencipta rancangan beliau sendiri berjudul Macam-Macam Aznil yang memaparkan "macam-macam". Rancangan ini yang dinobatkan sebagai Rancangan Temu Bual Terbaik di Anugerah Televisyen Asia 2005 di Singapura kini disiarkan di Astro Prima.

Pada tahun 2007, setelah mengumumkan pengunduran diri dari AF, Aznil beralih ke pembikinan rancangan kanak-kanak Tom Tom Bak untuk Astro Ceria.[10][11][12][13]

Pada tahun 2009, Aznil digandingkan bersama Din Beramboi[14] sebagai pasangan juruhebah terbaru rancangan Riuh Pagi di Era FM, sebagai satu langkah penstrukturan semula stesen radio berkenaan yang berhadapan dengan kemerosotan jumlah pendengar kepada pesaing terdekatnya, Hot FM. Pada tahun yang sama, filem Cicakman 2 - Planet Hitam ditayangkan di pawagam,[15][16] Aznil kembali melakonkan watak Profesor Klon.[17]

Beliau bersama-sama Suhaimi Sulaiman dan Dangsuria Zainuddin menjadi juri rancangan realiti TV terbitan Astro, On Air, iaitu sebuah rancangan realiti TV yang diwujudkan bagi mencari bakat baharu dalam bidang penyiaran. Hafizul Kamal, Hefny Sahad, Dahlia Shazwan merupakan antara peserta yang dicungkil menerusi On Air, sekaligus melancarkan kerjaya penyiaran mereka.[18]

Pada Januari 2015, beliau terbang ke Los Angeles, California, Amerika Syarikat atas jemputan NBC Universal untuk acara International Press Junket yang bertujuan memperkenalkan program musim baharu seperti Live From Red Carpet, The Kardashians dan Fashion Police. Malah ketika di sana beliau juga berkesempatan menghadiri acara Anugerah Golden Globe. Pada 22 Februari, beliau dijemput oleh HBO Asia bagi menjayakan acara permaidani merah Anugerah Akademi ke-87 yang diadakan di Hollywood.[19]

Pada 30 September 2015, Aznil menamatkan kontrak 10 tahun bersama ASTRO, sambil menyatakan beliau kini pengacara bebas. Beliau yang berkhidmat sebagai naib presiden bahagian pembangunan bakat Astro, mengakui rindu untuk muncul kembali di TV3 dan RTM.[20]

Pada Februari 2016, Aznil sekali lagi terbang ke LA bagi menjayakan acara permaidani merah Anugerah Akademi ke-88.[21][22][23]

Pada April 2017, Aznil telah dipilih sebagai juri Maharaja Lawak Mega 2017 bagi menggantikan personaliti TV Singapura, Najip Ali yang digugurkan sebagai juri tetap berikutan kontroversi persenda Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam rancangan TV negara itu, Ok Chope! yang disiarkan pada 29 Mac 2017, mengundang kemarahan rakyat.[24][25][26][27]

Muzik

Aznil melancarkan album sulungnya, Macam-Macam di bawah syarikat rakaman Pony Canyon. Album yang dikeluarkan pada 31 Disember 1996 mengandungi 10 lagu, "Jumpa Di Sana" ialah single pertama album ini, lagu "Zakia" dendangan asal Ahmad Albar turut dimuatkan dalam album ini.

Pada 13 Ogos 2008, beliau melancarkan EP pertamanya, EP terbitan KRU Studios yang memuatkan empat buah lagu. Tiga daripadanya adalah ciptaan komposer terkenal Edry Abdul Halim berjudul "Jangan Cepat Marah", "Profesor Klon" dan "Teramat Sangat".[28] Lagu "Teramat Sangat" dimuatkan dalam album runut filem Duyung, lagu "Profesor Klon" dimuatkan dalam album runut bunyi filem Cicakman lakonan Aznil. Album ini juga memuatkan lagu "Toyol" nyanyian asal Allahyarham Sudirman Hj Arshad yang diubahsuai susunan muziknya agar menjadi lebih rancak. Dalam temuramah semasa pelancaran EPnya,[29] beliau berkata:

"Kemudian Edry meyakinkan saya untuk teruskan perjuangan dalam industri ini. Katanya, saya boleh menyanyikan lagu yang berkarektor. Maksudnya, orang nak lihat persembahan saya yang aktif. Mereka datang untuk berhibur dan saya selesa menyanyikan lagu yang menghiburkan. Jadi, saya kata ok lah kerana tiga suku daripada peminat saya adalah kanak-kanak. Mereka nak lagu yang lucu dan lebih dekat dengan mereka. Dengan penuh hormat saya ikut sahaja dan menyanyi. Bila lagu saya dipasarkan, ramai yang sukakan lagu itu. Lepas tu, saya nyanyikan apa sahaja lagu yang diberikan. Alhamdulillah, ini adalah pelancaran album yang pertama dalam hidup saya sebab album yang dulu tidak dilancarkan,[30]

Aznil sendiri mengakui bahawa pelancaran album yang pertama walaupun pernah dilancarkan pada 1996.

Televisyen dan filem

Pada 1997, beliau mengarahkan siri televisyen pertamanya yang bertajuk Si Lembik yang dibintangi oleh Liyana Jasmay dan bersiaran di TV3.

Aznil mencuba nasib sebagai pengarah filem apabila beliau mengarahkan filem pertamanya, Aku No. 1 yang turut menyaksikan lakonan beliau bersama Azwan Ali. Filem ini dikeluarkan pada 19 Ogos 2004 dan menjadi kejayaan komersial, filem terbitan Boommax Sdn. Bhd. itu berjaya mengutip RM1 juta hasil jualan tiketnya.[31][32][33] Beliau sebelum ini sudah terlibat dalam lakonan filem Sama Tak Serupa pada 1995.

Aznil tampil di layar perak sekali lagi, sebagai watak jahat Prof Klon dalam filem Cicak-Man yang ditayangkan pada 2006.[34] Sempena perayaan Aidilfitri pada tahun itu, beliau menyumbang suara kepada Rodney Copperbottom dalam alih suara bahasa Malaysia bagi filem Robots.

Beliau juga menyumbangkan suaranya untuk watak Tuan Vilus dalam filem animasi pengembaraan sukan 2013, Bola Kampung The Movie yang berdasarkan daripada siri animasi dengan judul sama terbitan Animasia Studios.[35][36]

Beliau juga menjayakan peranan undangan sebagai pengacara TV dalam filem romantik, Makrifat Cinta arahan Kamal G lakonan Syamsul Yusof, Nora Danish dan Puteri Balqis.[37]

Perniagaan produk

Pada 30 Mei 2016, beliau melancarkan produk penjagaan wajah dengan jenama Anell by Aznil Nawawi. Produk tersebut terdiri daripada sabun pencuci muka, penyegar, krim pelembab siang dan malam, beliau juga memiliki 40 peratus pemilikan dalam penghasilan produk tersebut.[38][39][40][41]

Rujukan

WikiPedia: Aznil_Nawawi http://www.agendadaily.com/Hiburan/pak-nil-ganti-n... http://news.asiaone.com/News/Latest+News/Showbiz/S... http://news.asiaone.com/News/The+New+Paper/Story/A... http://english.astroawani.com/entertainment-news/a... http://english.astroawani.com/lifestyle/aznil-unlo... http://www.astroawani.com/berita-hiburan/akhirnya-... http://www.astroawani.com/berita-hiburan/pak-nil-c... http://www.budiey.com/anmum-essential-tom-tom-bak-... http://www.budiey.com/sekitar-pelancaran-album-min... http://www.imdb.com/name/nm2809022/