Sejarah Bahasa_Cina

Kebanyakan pakar linguistik menggolongkan kesemua variasi bahasa Cina sebagai sebahagian famili bahasa Sino-Tibet, dan turut percaya bahawa terdapat satu bahasa kuno yang digelar Proto-Sino-Tibet, yang agak serupa dengan bahasa Proto-Indo-Eropah, daripada mana turunnya bahasa Sinitik dan Tibet-Burma. Hubungan antara Bahasa Cina dan bahasa Sino-Tibet yang lain merupakan satu kawasan kajian yang giat dijalankan, serta landasan percubaan membina semula bahasa Proto-Sino-Tibet. Kesukaran pertama dalam usaha ini adalah, apabila terdapat dokumentasi baik yang membolehkan kita untuk membina semula bunyi sebutan kuno bahasa Cina, namun tiadanya dokumentasi bertulis pembahagian antara bahasa Proto-Sino-Tibet dan Cina. Malah, kebanyakan bahasa yang membolehkan pembinaan semula Proto-Sino-Tibet agak kurang didokumentasi atau sukar difahami.

Penggolongan perkembangan Bahasa Cina adalah subjek pembahasan yang akademik. Salah satu sistem pemahaman mengenai perkembangan bahasa Cina pertama direka oleh pakar linguistik Sweden, Bernhard Karlgren pada awal abad ke-20. Sistem ini banyak menerima kajian semula, tetapi itupun sering banyak bergantung kepada pandangan dan kaedah Karlgren.

Bahasa Cina Lama (atau Kuno) (Cina Tradisional: 上古漢語, Cina Ringkas: 上古汉语, pinyin: Shànggǔ Hànyǔ), merupakan bahasa yang kerap ditutur ketika zaman awal dan pertengahan Dinasti Zhou (1122 SM - 256 SM), yang mana penulisannya mengandungi catatan-catatan pada artifak gangsa, termasuk puisi Shijing, sejarah Shujing, dan sebahagian falsafah Yijing (I Ching). Elemen-elemen sebutan yang terdapat dalam kebanyakan aksara Cina itu juga menyumbangkan bayangan kepada sebutan Cina kunonya. Sebutan perkataan pinjaman bahasa Cina dalam bahasa-bahasa Jepun, Vietnam dan Korea, juga menyumbangkan pemandangan yang berharga. Bahasa Cina Lama mengandungi sistem bunyi yang kaya dengan penggunaan aspirasi yang membezakan konsonannya, namun barangkali tidak mempunyai sistem ton. Kerja-kerja membina semuka Bahasa Cina Lama dimulakan dengan pakar falsafah Dinasti Qing.

Bahasa Cina Pertengahan (Cina Tradisional: 中古漢語, Cina Ringkas: 中古汉语, pinyin: Zhōnggǔ Hànyǔ) merupakan bahasa yang dipakai sewaktu Dinasti-dinasti Sui, Tang, dan Song dynasties (abad-abad ke-7 hingga ke-10 TM). Bahasa Cina Pertengahan boleh dibahagikan kepada zaman awal yang digambarkan oleh jadual rima 切韻 'Qieyun' (601 AD), dan zaman akhir pada abad ke-10 yang diwakili jadual rima 廣韻 'Guangyun'. Pakar linguistik amat yakin bahawa mereka dapat memperoleh binaan semula bunyi sebutan Bahasa Cina Pertengahan. Bukti bagi mengenal pasti bentuk sebutan Bahasa Cina Pertengahan diperoleh daripada beberapa sumber: variasi dialek moden, kamus berima, transliterasi (terjemahan bunyi) tulisan bahasa asing, "jadual berima" yang dibina oleh pakar bahasa Cina kuno untuk meringkaskan sistem fonetik, dan terjemahan fonetik Cina bagi perkataan asing. Sungguhpun begitu, segala binaan semula adalah tanggapan awal semata-mata; contohnya, para pengkaji telah menunjukkan bahawa cubaan membina semula bahasa Kantonis moden daripada rima-rima Cantopop moden boleh meninggalkan gambaran yang tidak tepat mengenai bahasa itu.

Perkembangan bahasa Cina yang ditutur sejak zaman purba hingga masa kini amat rumit. Kebanyakan orang China utara, di wilayah Sichuan dan di kawasan luas yang meliputi Manchuria di timur laut hingga wilayah Yunnan di barat daya, menggunakan pelbagai dialek Mandarin sebagai bahasa ibunda. Meluasnya penggunaan bahasa Mandarin di seluruh China utara terutamanya kesan daripada keluasan tanah pamah di China utara. Sebaliknya, gunung-ganang dan sungai-sungai China selatan mendorong kepada kepelbagaian bahasa. Kemunculan bahasa Mandarin di Sichuan banyak disebabkan sesuatu wabak penyakit pada abad ke-12. Wabak ini, yang mungkin mempunyai kaitan dengan Black Death di Eropah, menyebabkan turunnya pendudukan di kawasan ini, menyebabkan kedatangan orang dari China utara.

Sehingga pertengahan abad ke-20, kebanyakan warga China selatan tidak fasih berbahasa Mandarin. Bagaimanapun, sungguhpun adanya campuran para pegawai dan rakyat jelata yang petah dalam pelbagai dialek Cina, bahasa Mandarin Nanjing menjadi bahasa utama sekurang-kurangnya sewaktu Dinasti Qing yang memakai bahasa Manchu sebagai bahasa rasmi. Sejak abad ke-17, Dinasti Qing telah menyediakan akademi sebutan tepat (Cina Tradisional: 正音書院, Cina Ringkas: 正音书院, pinyin: Zhèngyīn Shūyuàn) untuk memastikan sebutan bahasa mengikut piawaian ibu negara iaitu Beijing, namun kurang berjaya. Sewaktu separuh abad terakhir Dinasti Qing pada lewat abad ke-19, Mandarin Beijing akhirnya menggantikan Mandarin Nanjing dalam istana diraja. Bagi rakyat umun, walaupun variasi bahasa Mandarin sudah meluas ditutur di China ketika itu, namun tiada wujudnya satu piawaian bagi sebutan bahasa Mandarin. Penutur bukan Mandarin di China selatan masih mengekalkan dialek masing-masing bagi segala aspek kehidupan. Maka penggunaan Bahasa Mandarin Beijing agak terhad.

Keadaan berubah dengan penubuhan sistem pendidikan persekolahan asas pada zaman Republik China dan Republik Rakyat China yang bertujuan menyampaikan pendidikan bahasa Mandarin kepada orang ramai. Kesannya, Bahasa Mandarin kini fasih ditutur oleh kebanyakan penduduk tanah besar China dan Taiwan. Di Hong Kong, Bahasa Kantonis kekal sebagai bahasa pengantar pendidikan dan pengucapan, tetapi pengaruh Bahasa Mandarin semakin kuat.