Bahasa_Melayu

Bahasa Melayu (Tulisan Jawi: بهاس ملايو) ialah sejenis bahasa Melayu-Polinesia di bawah keluarga bahasa Austronesia yang telah digunakan di wilayah Malaysia, Indonesia, dan persekitarannya sejak melebihi 1,000 tahun lalu. Walaupun asal usul bangsa Melayu (dalam pengertian yang khusus) yang paling asal belum diketahui secara pasti tetapi pertumbuhan bahasa Melayu dapatlah dikatakan berasal dari Sumatera Selatan di sekitar Jambi dan Palembang.[1] Rekod terawal bahasa Melayu Kuno ialah sebuah batu bersurat bertarikh 682 Masihi yang dijumpai di Sumatera Selatan.Bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura. Di Indonesia, bahasa Melayu kini dipanggil bahasa Indonesia, dan walaupun kerajaan Malaysia berhasrat menamakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa Malaysia namun ianya bertentangan dengan nama bahasa kebangsaan yang termaktub dalam perlembagaan persekutuan Malaysia. Selain daripada keempat-empat negara tersebut, bahasa Melayu juga ditutur oleh penduduk-penduduk Melayu di Selatan Thailand, Filipina, Kemboja, Vietnam, Sri Lanka dan Afrika Selatan.Menurut statistik penggunaan bahasa di dunia, penutur bahasa Melayu dianggarkan berjumlah lebih 300 juta (bersama penutur Bahasa Indonesia) dan merupakan bahasa keempat dalam turutan jumlah penutur terpenting bagi bahasa-bahasa di dunia selepas bahasa Mandarin, bahasa Inggeris dan bahasa Hindi/bahasa Urdu[petikan diperlukan]. Selain itu, dilaporkan sebanyak 70,000 orang mampu bertutur dalam bahasa Melayu di Sri Lanka, manakala di China, terdapat radio dalam bahasa Melayu. Bahasa Melayu juga diajar di universiti-universiti di United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, Belanda, China, Jerman, New Zealand dan beberapa tempat yang lain.Bahasa Melayu Piawai ialah Bahasa Melayu Riau, Indonesia, seperti yang dipersetujui oleh Indonesia, Malaysia, dan Brunei. Bahasa Melayu Riau dianggap tempat kelahiran bahasa Melayu. Di Malaysia, bahasa Melayu mengalami perubahan nama beberapa kali. Pada awal 1970-an, Bahasa Melayu dinamakan Bahasa Malaysia atas sebab politik. Namun sejak akhir-akhir ini, nama "Bahasa Melayu" digunakan semula. Bermula tahun 2007, bahasa kebangsaan Malaysia dinamakan kembali kepada Bahasa Malaysia sebagai simbol bahawa bahasa ini ialah bahasa untuk semua dan tidak mengira kaum. Namun begitu, menurut Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan Malaysia, menyebut bahawa: "Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu". Tiada pertukaran nama bahasa Melayu ke bahasa Malaysia terjadi.[2]Di Indonesia, bahasa Melayu juga dikenali sebagai Bahasa Indonesia atas sebab persatuan dan kesatuan bangsa Indonesia iaitu Sumpah Pemuda tahun 1928. Di Singapura dan Brunei, Bahasa Melayu tidak mengalami sebarang perubahan nama.Bahasa Melayu mempunyai banyak dialek dan setiap dialek mempunyai perbezaan ketara dari segi sebutan dan kosa kata. Misalnya,Bahasa Melayu Riau-Johor berbeza dialek dengan Bahasa Melayu Palembang, Jambi, dan Bengkulu. Melayu Riau-Johor menggunakan dialek "e" sedangkan Bahasa Melayu Palembang, Jambi, dan Bengkulu menggunakan dialek "o". Selain itu, bahasa yang digunakan oleh masyarakat peranakan atau Cina Selat (campuran pendatang Cina dan penduduk asal) merupakan campuran antara Bahasa Melayu dan dialek Hokkien. Bahasa ini dahulunya banyak digunakan di negeri-negeri Selat seperti Pulau Pinang dan Melaka. Walau bagaimanapun, kini kaum peranakan lebih gemar berbahasa Hokkien atau Inggeris. Bahasa Melayu merupakan bahasa aglutinatif, bermaksud makna perkataan boleh diubah dengan menambah imbuhan tertentu. Umumnya, kata dasar (atau kata akar) terdiri daripada kata kerja.Penggunaan Bahasa Melayu di negara-negara ini berbeza bergantung kepada sejarah dan budaya. Bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi di Malaysia pada 1968, tetapi Bahasa Inggeris masih digunakan dengan luas terutama sekali di kalangan masyarakat Cina dan India, sama seperti di Brunei. Berbeza di Indonesia, Bahasa Indonesia berjaya menjadi bahasa perantaraan utama atau lingua franca untuk rakyatnya yang berbilang kaum kerana usaha gigih kerajaan Indonesia dalam menggalakkan penggunaan Bahasa Indonesia selain Bahasa Belanda yang tidak lagi digunakan. Di Timor Leste, sekarang terlepas dari Indonesia menjadi negara Timor Leste, Bahasa Indonesia diterima sebagai "bahasa bekerja". Di Singapura, Bahasa Melayu dikekalkan statusnya sebagai bahasa kebangsaan walaupun Singapura mempunyai empat bahasa rasmi (iaitu Bahasa Inggeris, Cina, India, dan Melayu.) Di selatan Thailand, bahasa Melayu digunakan oleh orang-orang dari Kesultanan Melayu Patani (orang Melayu Pattani), tetapi tidak memperolehi sebarang pengiktirafan daripada kerajaan.Pada awal tahun 2004, Dewan Bahasa dan Pustaka dan MABBIM mencadangkan Bahasa Melayu dijadikan bahasa rasmi ASEAN memandangkan lebih separuh jumlah penduduk ASEAN mampu bertutur dalam Bahasa Melayu. Walau bagaimanapun, perkara ini masih dalam perbincangan.

Bahasa_Melayu

Asli di Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura, Patani, Timor Leste, Sri Lanka, Afrika Selatan, dan Australia (Pulau Christmas dan Kepulauan Cocos).
Bahasa rasmi di Di Brunei & Singapura bahasa ini dikenali dengan nama bahasa Melayu, Di Indonesia bahasa ini dikenali dengan nama bahasa Indonesia, di Malaysia bahasa Melayu dikenali secara rasmi sebagai bahasa Melayu (mengikut Perlembagaan Malaysia) dan bahasa Malaysia ,
Dikawal oleh Majlis Bahasa Brunei Darussalam - Indonesia - Malaysia (MABBIM), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP, sebuah institut bahasa dan kesusasteraan Malaysia)
Wilayah Asia Tenggara
Penutur asli 7–18 juta
jumlah 200–300 juta  (tiada tarikh)
ISO 639-1 ms
Keluarga bahasa
ISO 639-3 Pelbagai:
zlm — Bahasa Melayu (generik)
msa — Bahasa Melayu (tertentu)
btj — Bahasa Melayu Bacan
bve — Bahasa Melayu Berau
bvu — Bahasa Melayu Bukit
coa — Bahasa Melayu Cocos
jax — Bahasa Melayu Jambi
bke — Bahasa Melayu Bengkulu
plm — Bahasa Palembang
mfb — Bahasa Bangka
meo — Bahasa Melayu Kedah
mqg — Bahasa Melayu Kutai Kota Bangun
xmm — Bahasa Manado
max — Bahasa Melayu Maluku Utara
mfa — Bahasa Melayu Pattani
msi — Bahasa Melayu Sabah
vkt — Bahasa Melayu Kutai Tenggarong
hji — Bahasa Haji
bew — Bahasa Betawi
pmy — Bahasa Melayu Papua
bjn — Bahasa Banjar
zsm — Bahasa Malaysia
ind — Bahasa Indonesia
zmi — Bahasa Melayu Negeri Sembilan
ISO 639-2 may (B)
msa (T)

Rujukan

WikiPedia: Bahasa_Melayu //scholar.google.com/scholar?q=%22Bahasa+Melayu%22 http://translate.google.com/translate?u=https://en... //www.google.com/search?&q=%22Bahasa+Melayu%22+sit... //www.google.com/search?as_eq=wikipedia&q=%22Bahas... //www.google.com/search?q=%22Bahasa+Melayu%22&tbm=... //www.google.com/search?tbs=bks:1&q=%22Bahasa+Mela... http://news.nationalgeographic.com/news/2004/02/02... http://www.youtube.com/watch?v=pycewToY3_A http://www.ekamus.info/ http://www.karyanet.com.my/knet/index.php?tpf=DEWA...