Bahasa_pasar_Indonesia

Bahasa pasar Indonesia atau di Indonesia dikenali sebagai bahasa gaul Indonesia bermaksud bentuk-bentuk bahasa basahan yang ditutur di kawasan-kawasan bandar di Indonesia. Biarpun asal-usulnya amat jelas, bahasa pasar Indonesia berbeza sekali daripada bahasa Indonesia baku dari segi bentuk kata dan tatabahasa.Istilah bahasa gaul dicipta pada hujung 1990-an yang mana perkataan "gaul" membawa erti sosial atau bergaya. Sebelum ini pernah terbitnya istilah bahasa prokem pada awal 1980-an yang bermaksud bahasa samseng. Prokem ialah bentuk slanga perkataan preman yang berasal dari bahasa Belanda.Bahasa pasar Indonesia ditutur secara meluas dalam perbualan seharian, persekitaran sosial, media popular dan sesetengah bahan bacaan remaja dan majalah budaya pop. Bagi yang tinggal di kawasan bandar Indonesia, bahasa pasar Indonesia sering dijadikan bahasa perhubungan utama dalam kehidupan seharian. Walaupun agak janggal jika bertutur dalam bahasa formal, namun penggunaan "bahasa Indonesia yang baik dan benar" meluas dalam media, lembaga kerajaan, sekolah, universiti, tempat kerja, di kalangan golongan atasan dan bangsawan Indonesia dan situasi-situasi formal yang lain.Bahasa pasar Indonesia adalah fenomena bahasa yang sentiasa berevolusi, kerana perbendaharaan katanya amat berbeza daripada bahasa Indonesia mahupun bahasa Malaysia dan juga banyak sekali kata-kata baru, baik asli mahupun asing, yang agak senang diterapkan dalam perbendaharaan kata yang makin luas. Apapun, seperti bahasa-bahasa lain, peredaran zaman menyebabkan sesetengah kata menjadi jarang digunakan ataupun lapuk kerana dianggap ketinggalan zaman atau tidak lagi menepati trend terkini.