Baja
Baja

Baja

Baja ialah sebatian kimia yang diberikan kepada tumbuhan-tumbuhan untuk menggalakkan pertumbuhan. Ia seringkali dikenakan ke atas tanih, tetapi boleh juga diletakkan terus pada akar atau disembur pada daun-daun tumbuhan. Baja terbahagi kepada dua, iaitu baja asli dan kimia. Baja asli, kadangkala dikenali sebagai baja organik, mengandungi bahan-bahan organik atau berasal daripada organisma hidup, manakala baja kimia pula, kadangkala dikenali sebagai baja tak organik atau baja buatan, mengandungi bahan-bahan kimia tak organik atau galian-galian.Baja boleh wujud secara semula jadi seperti gambut dan bahan galian, atau dikilangkan setelah melalui proses semula jadi (seperti penguraian) atau proses kimia (seperti proses Haber). Sebatian kimia sebegini menjadikan halaman, taman-taman dan tanah tampak lebih indah kerana ia membekalkan zat-zat penting yang menggalakkan kesuburan tumbuhan.Baja diformulasi khusus bagi tujuan tertentu, contohnya untuk membantu pertumbuhan daun atau pengeluaran buah. Ia lazimnya mengandungi tiga unsur kimia utama, iaitu nitrogen, fosforus dan kalium dalam kadar yang berbeza-beza. Unsur-unsur lain seperti kalsium, sulfur, magnesium atau zat-zat mikro (micronutrients) turut digunakan berdasarkan keperluan atau penggunaan baja tersebut. Walaupun nitrogen boleh didapati di atmosfera bumi, hanya terdapat sekumpulan kecil tumbuhan (contohnya kekacang) yang melakukan proses ikatan nitrogen (proses penukaran nitrogen atmosfera kepada bentuk-bentuk yang lebih berguna seperti nitrat, ammonia dan nitrogen oksida). Hampir semua tumbuhan memerlukan sebatian nitrogen di dalam tanih untuk tumbuh subur.