Banci_Penduduk_dan_Perumahan_Malaysia_2010

Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010 adalah merupakan satu projek pembancian yang dijalankan di semua tempat kediaman dan penduduk di seluruh negara Malaysia pada tahun 2010. Ia adalah projek banci kelima yang dijalankan sejak tertubuhnya Malaysia pada tahun 1963. Banci dijalankan mengikut peruntukan yang terkandung dalam Akta Banci 1960 (Disemak 1969). Akta Banci telah mewajibkan orang awam menjawab semua soalan banci dan akta ini menjamin bahawa maklumat individu adalah sulit dan tidak akan dihebahkan.Terdahulu, Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia telah dijalankan pada tahun 1970, 1980, 1991 dan 2000. Pelaksanaan Banci 2010 telah diluluskan oleh kabinet dalam Mesyuarat Jemaah Menteri bertarikh 22 April 2009 dengan peruntukan sebanyak RM200.2 juta bagi tahun 2010. Banci Penduduk dan Perumahan 2010 dilaksanakan bermula pada 6 Julai 2010 dan berakhir pada 22 Ogos 2010. Bancian yang dibuat setiap 10 tahun pada kali ini adalah penting kerana ia merupakan bancian terakhir sebelum tahun 2020. Ia juga bagi membolehkan kerajaan Malaysia mengumpulkan data dan maklumat untuk menjurus kepada Wawasan 2020 yang bermatlamat menjadikan Malaysia negara maju.Dapatan dan pengumpulan data semasa Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010 akan membekalkan maklumat berstatistik yang komprehensif mengenai arah aliran dan corak ciri-ciri isi rumah dan penduduk di Malaysia. Segala maklumat yang diperolehi dapat membantu dalam perancangan, penggubalan dan pelaksanaan polisi oleh Kerajaan Malaysia dan digunakan oleh para penyelidik dan individu lain untuk tujuan pembangunan negara demi kemaslihatan rakyat dan penduk Malaysia pada masa hadapan.