Sejarah Bandar_Raya_New_York

Rantau ini diduduki oleh kaum pribumi Indian Lenape ketika waktu penemuan orang Eropah oleh seorang berbangsa Itali, Giovanni da Verrazzano.[17] Pendudukan orang Eropah bermula dengan penubuhan penempatan perdagangan kulit haiwan oleh orang Belanda yang digelar "New Amsterdam", di hulu selatan Manhattan pada tahun 1614. Ketua pengarah koloni Belanda Peter Minuit membeli pulau Manhattan dari kaum pribumi Canarsie pada tahun 1626 (menurut legenda yang sekarang disahkan sebagai tidak sahih, Manhattan dibeli untuk manik kaca bernilai $24).[18] Pada tahun 1664, orang British menawan kota tersebut lalu menamakannya "New York" sempena Duke York dan Albany, seorang pembesar dan bakal raja England ketika itu.

Lower Manhattan pada tahun 1660, sebagai sebahagian New Amsterdam.

Di bawah pemerintahan British, New York berkembang sebagai pelabuhan perdagangan. Kota ini menjelma sebagai medan bagi sebilangan pertempuran besar seperti Kempen New York ketika Perang Revolusi Amerika. Kongres Benua bersidang di Bandaraya New York dan pada tahun 1789, Presiden Amerika Syarikat yang pertama, George Washington dilantik di Dewan Persekutuan yang terletak di Wall Street. Bandaraya New York dijadikan ibu negara Amerika Syarikat sehingga 1790.

Pada abad ke-19, bandar raya ini dibentuk oleh pengaruh pendatang asing, cadangan pembangunan berwawasan bergelar Rancangan Pesuruhjaya 1811 yang mengembangkan grid jalan-jalan di kota melalui seluruh Manhattan dan pembukaan Terusan Erie pada tahun 1819 yang menghubungkan kota pelabuhan Atlantik ini kepada banyak pasaran pertanian di pedalaman Amerika Utara. Menjelang tahun 1835, Bandar raya New York mengatasi Philadelphia sebagai bandaraya terbesar di AS. Politik tempatan jatuh di bawah tangan dominasi Tammany Hall, satu jentera politik yang didukung oleh pendatang Ireland. Ahli-ahli golongan saudagar berkelas atasan yang berpemikiran awam mendesak untuk pendirian Central Park, taman yang menjadi taman berlanskap pertama dalam sesebuah bandaraya Amerika pada tahun 1857.

Pembinaan Empire State Building, 1930.

Rasa marah terhadap penguatkuasaan kerahan tenaga rakyat ketenteraan ketika Perang Saudara Amerika (1861–1865) mengakibatkan tercetusnya Rusuhan Kerahan Tenaga New York pada tahun 1863, iaitu salah satu peristiwa pergolakan sivil yang paling buruk dalam sejarah AS. Pada tahun 1898 Bandar raya New York moden dibentuk dengan penggabungan Brooklyn (yang sebelum itu merupakan sebuah bandar raya berdikari), Manhattan dan perbandaran di kawasan-kawasan lain. Pembukaan New York City Subway pada tahun 1904 membantu untuk mengukuhkan bandaraya baru tersebut. Sepanjang separuh pertama abad ke-20, bandar raya ini menjadi pusat sedunia bagi perindustrian, perdagangan, dan perhubungan. Pada tahun 1911 insiden kebakaran Kilang Triangle Shirtwaist, bencana perindustrian paling teruk pernah dialami kota ini, meragut nyawa 146 pekerja dan mencetuskan perkembangan penting dalam piawaian keselamatan, kod bangunan, dan peningkatan dalam jabatan bomba kota.

Pada 1920-an Bandar raya New York dijadikan destinasi bagi orang Afrika-Amerika ketika penghijrahan besar-besaran dari serata AS. Menjelang 1916, bandar raya New York menjadi rumah kepada pendudukan bandar orang Afrika terbesar di Amerika Utara. Harlem Renaissance turut berkembang sebagai sebahagian daripada waktu ekonomi melambung ketika zaman Prohibition yang melihatkan pembinaan pencakar langit yang bersaing dengan sengit di angkasa. Bandaraya New York menjadi bandaraya paling banyak penduduknya di dunia pada tahun 1925, mengatasi London yang paling ramai bilangan warganya selama seabad sebelum itu. Zaman Meleset melihat pemilihan reformis bernama Fiorello LaGuardia sebagai Datuk Bandar dan kejatuhan Tammany Hall setelah 80 tahun dominasi politiknya.

Serangan 11 September terhadap Pusat Dagangan Dunia.

Kepulangan veteran Perang Dunia II serta pendatang baru dari Eropah mencetuskan pelambungan ekonomi pascaperangdan pembangunan kawasan perumahan besar di Queens timur. Setelah perang tersebut tanpa mengalami serangan New York menjadi bandaraya peneraju dunia, dengan Wall Street mengemudi kebangkitan AS sebagai kuasa ekonomi dominan di dunia, ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (dibina pada tahun 1952) mengetengahkan pengaruh politik New York, dan kebangkitan Abstract Expressionism di kota yang membolehkan New York mengatasi Paris sebagai pusat dunia seni.[19] Namun begitu, seperti mana yang dialami bandaraya Amerika yang lain, New York turut mengalami kejatuhan dalam perindustrian dan peningkatan jenayah, rusuhan perkauman, dan white flight yang menjadi-jadi pada 1960-an. Menjelang 1970-an, kota ini tercalar imejnya dengan menjadi peninggalan sejarah yang dibelenggui jenayah.

Pergolakan sosial dan ekonomi New York reda pada tahun 1980-an apabila kebangkitan dalam industri kewangan yang amat penting memulihkan kesihatan fiskal kota ini. Menjelang 1990-an hubungan antara kaum makin tenang, kadar jenayah jatuh mendadak, dan satu gelombang pendatang baru tiba dari Asia dan Amerika Latin. Sektor baru yang penting seperti Silicon Alley muncul dalam ekonomi kota manakala bilangan penduduk New York mencapai paras tertinggi dalam sejarah menurut Banci Amerika Syarikat 2000.

Bandar raya ini menjadi salah satu tempat terjadinya Serangan 11 September 2001 yang mana hampir 3,000 orang terkorban dalam kemusnahan Pusat Dagangan Dunia. Ini adalah serangan pengganas paling teruk pernah terjadi di Amerika Syarikat. Penggantinya, One World Trade Center bakal dibina pada tapak pusat tersebut dan dijangka siap pada tahun 2014. Pada 2012, New York teruk dilanda Taufan Sandy, menyebabkan 53 kematian dan kerosakan harta bernilai AS$23 bilion.

Rujukan

WikiPedia: Bandar_Raya_New_York ftp://dossier.ogp.noaa.gov/GCOS/WMO-Normals/RA-IV/... http://www.ebeijing.gov.cn/Sister_Cities/Sister_Ci... http://adage.com/datacenter/datapopup.php?article_... http://www.allbusiness.com/construction/4266400-1.... http://www.cincodias.com/articulo/mercados/Londres... http://www.citymayors.com/statistics/richest-citie... http://www.cnbc.com/id/29862382/The_World_s_Most_E... http://money.cnn.com/2007/06/13/real_estate/public... http://money.cnn.com/magazines/fortune/fortune500/... http://www.editorandpublisher.com/eandp/news/artic...