Sejarah Bangladesh

Rencana utama: Sejarah Bangladesh

Sejarah awal

Alatan-alatan Zaman Batu telah ditemui di Bangladesh, menunjukkan pendudukan manusia telah wujud sejak 20 ribu tahun dahulu, manakala kesan petempatan Zaman Tembaga berusia kira-kira 4,000 tahun dahulu juga ditemui.[2] Pada masa ini, golongan yang menetap di sini temasuklah golongan Austroasia, Dravidia, Indo-Arya dan Tibeto-Burma melalui penghijrahan yang berperingkat.[2][3]

Pelbagai empayar Buddha dan Hindu telah mentadbir kawasan Bangladesh, termasuklah Empayar Maurya sejak abad keempat SM dan Gupta sejak abad keenam Masihi. Dinasti Pala, sebuah dinasti Buddha mula muncul di kawasan Bangladesh pada abad kelapan Masihi sebelum munculnya Dinasti Sena yang berteraskan Hinduisme pada abad ke-11. Bahasa Benggali mula muncul pada sekitar abad kelapan Masihi.

Perkembangan Islam secara ketara bermula pada abad ke-13. Perkembangan Islam di kawasan ini banyak dipengaruhi oleh penaklukan serta peranan mubaligh sufi.[4] Pada 1204, Muhammad bin Bakhtiyar Khalji telah menyerang Bengal, menyebabkan Bengal diserap ke dalam Kesultanan Delhi. Pada masa ini, Bengal ditadbir oleh gabenor-gabenor daripada Dinasti Mamluk, Balban dan Tughluq. Namun begitu, jarak Bengal yang jauh dari Delhi menyebabkan pengaruh kuasa di Bengal adalah lemah, lalu memberi ruang kepada pemberontakan untuk mengasaskan pentadbiran sendiri Bengal. Pada 1352, Kesultanan Bengal telah diasaskan.

Kesultanan Bengal berkembang menjadi salah satu pusat perdagangan utama dunia, dan disifatkan oleh golongan Eropah sebagai negara perdagangan terkaya dunia.[5]

Zaman British

Pada 1757, peristiwa Pertempuran Plassey antara Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI) dengan Bengal menyebabkan Bengal dikuasai oleh syarikat British tersebut. Pemberontakan India pada 1857 yang disertai beberapa bandar Bengal,[6] menyebabkan kuasa pemerintahan SHTI dipindahkan kepada pihak Mahkota British lalu menyebabkan kawasan Bengal (di bawah Raj British) dijadikan sebagai jajahan mahkota British. Pada sekitar 1870, sebuah peristiwa kebuluran besar telah melanda Bengal yang menyebabkan kira-kira 10 juta orang penduduk terkorban. Sebuah lagi peristiwa kebuluran berlaku pada 1943 yang menyaksikan kira-kira tiga juta orang penduduk terkorban.

Proses persediaan demi pentadbiran sendiri Bengal adalah perlahan. Lembaga Legislatif Bengal ditubuhkan 1862. Pada awal abad ke-20, kesedaran kemerdekaan India dan Pakistan bertambah kuat. Liga Muslim Provinsi Bengal pula diasaskan pada 1913 untuk memperjuangkan hak golongan Muslim Bengal. Pada 1937, Perhimpunan Legislatif Bengal yang merupakan badan legislatif terbesar India British telah ditubuhkan.

Pada 1905, sebuah usaha telah dibuat oleh pihak Raj British untuk memisahkan Bengal kepada dua bahagian; bahagian barat dengan penduduk majoriti Hindu dan bahagian timur dengan penduduk majoriti Muslim. Pada 1947, seiring dengan pembahagian India, Benggala dibahagikan dan diserap ke India dan Pakistan; Benggala Barat diserap ke dalam India manakala Benggala Timur diserap ke dalam Pakistan dan digelar sebagai Benggala Timur, kemudiannya Pakistan Timur.

Zaman Pakistan

Rencana–rencana utama: Benggala Timur dan Pakistan Timur
Peta Dominion Pakistan pada 1947 dengan peta Benggala Timur di kawasan kanan peta.

Dominion Pakistan ditubuhkan pada 14 Ogos 1947, dengan Dhaka dijadikan sebagai ibu kota Benggala Timur. Pembahagian India memberi ruang peluang ekonomi kepada Benggala Timur lalu membentuk pembangunan bandar pada 1950-an.[7][8] Pada 1950, sistem zamindar feudal Benggala Timur telah dimansuhkan melalui pemindaan undang-undang tanah oleh Perhimpunan Legislatif Benggala Timur.[9] Pada 1955, Benggala Timur dinamakan semula sebagai Pakistan Timur.

Pada awal 1950-an, Gerakan Bahasa Bengali ditubuhkan dan disifatkan sebagai petanda awal konflik antara Pakistan Barat dan Timur.[9] Menurut pihak atasan Bank Dunia, pihak Pakistan telah menerapkan diskriminasi ekonomi yang ketara terhadap Pakistan Timur seperti perbelanjaan yang lebih ditumpukan kepada Pakistan Barat dan pemindahan hasil kewangan ke Pakistan Barat.[10]

Liga Awami Bangladesh yang ditubuhkan pada 1949 mula menjadi suara politik bagi pihak Pakistan Timur. Pada 1966, Sheikh Mujibur Rahman, ketua Liga Awami telah melancarkan "gerakan enam asas" yang disifatkan sebagai peristiwa penting dalam usaha kemerdekaan Bangladesh.[11] Gerakan ini diasaskan dengan hasrat untuk mengakhiri penindasan Pakistan Timur oleh pemerintah Pakistan Barat dan memperjuangkan hak autonomi yang lebih meluas kepada Pakistan Timur.[12][13] Beliau dipenjara dan dibebaskan pada 1969 ketika berlakunya kebangkitan di Pakistan Timur.

Taufan Bhola melanda Pakistan Timur pada 1970, menyebabkan kira-kira 500 ribu orang penduduk terkorban. Kerajaan pusat Pakistan dikritik kerana tindakan mereka yang dilihat kurang memuaskan. Pada tahun ini juga, Pakistan menjalankan pilihan raya yang menyaksikan parti nasionalis Liga Awami memenangi 167 daripada 169 kerusi yang dipertandingkan dalam Pakistan Timur, malah boleh membentuk kerajaan dan menggubal perlembagaan baharu, tetapi ditentang oleh Parti Rakyat Pakistan dan tentera Pakistan, dan Sheikh Mujibur Rahman dihalang daripada memegang sebarang kuasa.

Tentangan tersebut menyebabkan kemarahan yang membawa kepada rusuhan di seluruh Pakistan Timur.[14] Pada 7 Mac 1971, sebuah perhimpunan prokemerdekaan telah dihadiri oleh lebih dua juta orang penduduk yang diketuai oleh Mujibur. Beliau menyeru rakyat Pakistan Timur untuk berjuang demi kemerdekaan negara.[15] Pada 26 Mac, beliau ditahan melalui arahan Yahya Khan, Presiden Pakistan. Namun begitu, sebelum ditangkap, beliau mengisytiharkan kemerdekaan Bangladesh dan menyeru rakan-rakannya untuk mengekang serangan Pakistan Barat secara habis-habisan.

Perang Kemerdekaan Bangladesh tercetus sejurus selepas pengisytiharan tersebut, dan berlanjutan selama sembilan bulan yang menyaksikan pembentukan tentera pejuang kemerdekaan, Mutki Bahini oleh para nasionalis Bangladesh. Sheikh Mujibur dilantik sebagai Presiden pertama, tetapi Syed Nazrul Islam menjadi pemangku Presiden ketika penahanan beliau manakala Tajuddin Ahmad menjadi Perdana Menteri. Mutki Bahini yang memperoleh bantuan ketenteraan daripada India berjaya mengalahkan Pakistan, dan Pakistan menyerah diri pada 16 Disember 1971.[16] Sheikh Mujibur dibebaskan pada 8 Januari 1972 akibat tekanan antarabangsa terhadap Pakistan dan diterbangkan ke Dhaka sambil disambut oleh kira-kira sejuta orang penduduk di situ.[17][18]

Rujukan

WikiPedia: Bangladesh http://www.banbeis.gov.bd/bd_pro.htm http://www.bangladesh.gov.bd/site/view/division-li... http://bdlaws.minlaw.gov.bd/bangla_pdf_part.php?id... http://www.pmo.gov.bd/constitution/index.htm http://www.arabnews.com/node/264387 http://www.dhakatribune.com/opinion/op-ed/2017/08/... http://www.fiercepharmaasia.com/story/bangladeshs-... http://www.marinelink.com/news/shipbuilding-invest... http://www.photius.com/rankings/geography/populati... http://archive.prothom-alo.com/detail/date/2012-09...