Barisan_Rakyat

Istilah Barisan Rakyat merujuk kepada perikatan parti pembangkang utama pada sekitar tahun 2008.[1] Sebelum itu istilah Barisan Alternatif[2] telah digunakan sebelum bertukar pada Barisan Rakyat[3] yang terdiri daripada PKR, DAP dan PAS. Istilah Barisan Rakyat ini pula ditukar pada Pakatan Rakyat yang ditubuhkan selepas pilihan raya umum 2008 menggantikan Barisan Alternatif dan Barisan Rakyat yang digunakan sebelum ini.Pada tahun 2008, menjelang ketibaan Pilihan Raya Umum Malaysia 2008, sesetengah rakyat Malaysia yang tidak puas hati pada kerajaan Barisan Nasional dan mengharapkan kerjasama parti pembangkang, menggunakan istilah Barisan Rakyat (BR) [4]terutamanya pada parti pembangkang utama, iaitu Barisan Alternatif (Parti Islam Se-Malaysia dan Parti Keadilan Rakyat), Parti Tindakan Demokratik, Parti Demokratik Malaysia, dan Parti Sosialis Malaysia yang tidak berdaftar dan sering menggunakan tiket parti pembangkang lain.Selepas Pilihan Raya Umum Malaysia 2008, ketiga-tiga buah parti pembangkang utama (PAS, PKR, dan DAP) berjaya memenangi 5 buah negeri di Malaysia. Antaranya ialah negeri Perak. Di negeri Perak, walaupun DAP merupakan parti pemerintah yang terbesar, namun mereka tidak mempunyai apa-apa Ahli Dewan Undangan Negeri yang berbangsa Melayu untuk dilantik sebagai Menteri Besar Perak. Perlembagaan negeri Perak menyatakan bahawa Menteri Besar haruslah berbangsa Melayu dan beragama Islam, melainkan Sultan Perak mengizinkan seseorang yang bukan Melayu dan bukan Islam untuk menjadi Menteri Besar. Ketika itu, pengerusi DAP Perak, Ngeh Koo Ham, yang dicadangkan untuk dilantik sebagai Menteri Besar, mengatakan bahawa tidak kira siapa dilantik sebagai Menteri Besar, Menteri Besar ini dan kerajaan negeri Perak tidaklah milik mana-mana parti, tetapi milik "Barisan Rakyat".