Besbol
Besbol

Besbol

Besbol [bés-bol] (Bahasa Inggeris: baseball) merupakan sukan melibatkan pemukulan bola" (bat-and-ball) yang dimainkan oleh dua pasukan. Satu pasukan dianggotai oleh sembilan pemain. Matlamat utama besbol adalah untuk mengumpulkan markah (run) dengan memukul bola yang dilempar menggunakan tongkat pemukul (bat) lalu mengelilingi keempat-empat tapak (base) yang terletak di sudut-sudut sebuah segi empat (diamond). Pemain-pemain dalam pasukan memukul bergilir-gilir cuba memukul bola yang dilontar oleh pelempar dari pasukan lain, iaitu pasukan pemadang. Pasukan pemadang pula cuba menghalang pasukan pemukul daripada mengumpul markah dengan "mematikan" (out) pemukul-pemukul melalui cara-cara tertentu. Kedua-dua pasukan beralih antara memukul dan memadang setiap kali pasukan memadang berjaya mematikan tiga pemukul. Pasukan-pasukan mempunyai sembilan giliran (atau dikenali sebagai "pusingan," inning) untuk memukul dan memadang. Biasanya (terutamanya pada tahap profesional), satu perlawanan terdiri daripada sembilan pusingan. Pasukan yang berjaya mengumpulkan markah terbanyak selepas pusingan terakhir menang.Sukan ini sangat masyhur di Jepun dan Cuba serta juga Amerika Syarikat; negara ini giat dalam sukan ini melalui penglibatan dalam liga profesional disertai bersama negara-negara Amerika Utara lain iaitu Major League Baseball (MLB). Kejuaraan dalam MLB turut dipertandingkan antara dua pasukan dalam satu siri perlawanan yang dikenali sebagai World Series. Besbol pernah menjadi acara utama Sukan Olimpik pada 1992, namun acara sedemikian tidak lagi dianjurkan sejak 2008 di Beijing. Sejak 2005, Klasik Besbol Dunia (World Baseball Classic) diadakan setiap empat tahun dan merupakan kejohanan dunia antara pasukan negara utama dalam sukan ini.