Geografi Brazil

Peta topografi Brazil

Wilayah Brazil meliputi sebahagian kawasan besar sepanjang pantai timur Amerika Selatan, dan merangkumi sebahagian besar pedalaman benua.[124] Brazil bersempadan darat dengan Uruguay di selatan; Argentina dan Paraguay di barat daya; Bolivia dan Peru di barat; Colombia di barat laut; dan Venezuela, Suriname, Guyana dan wilayah Guiana Perancis di utara. Brazil bersempadan dengan setiap negara di Amerika Selatan kecuali Ecuador dan Chile. Wilayah Brazil juga merangkumi beberapa kepulauan di lautan, seperti Fernando de Noronha, Atol Rocas, Kepulauan St Peter dan St Paul, dan Trindade and Martim Vaz.[6] Saiz, bentuk muka bumi, iklim, dan sumber alamnya menjadikan Brazil sebuah negara yang berkepelbagaian geografi.[124] Termasuk sekali pulau-pulaunya di Lautan Altantik, Brazil terletak di antara garisan lintang 6°U dan 34°S, dan garis bujur 28° dan 74°B.

Brazil merupakan negara kelima terluas di dunia, mengekori Rusia, Kanada, China dan Amerika Syarikat, dan juga yang ketiga terbesar di benua Amerika; dengan jumlah keluasan 8,514,876.599 square miles (22,053,429 km²),[125] termasuk perairan seluas 55,455 square miles (143,628 km²).[6] Brazil dinaungi tiga zon waktu, iaitu UTC-4 di negeri-negeri barat, UTC-3 di negeri-negeri timur (iaitu waktu rasmi seluruh Brazil) dan UTC-2 di kepulauan Atlantik.[126]

Topografi Brazil ada kepelbagaian dan merangkumi bukit-bukau, gunung-ganang, dataran, tanah tinggi, dan tanah semak. Kebanyakan rupa buminya terletak pada aras tinggi di antara 200 meter (660 ka) dan 800 meter (2,600 ka).[127] Kawasan tanah tinggi menguasai separuh selatan negara ini.[127] Bahagian barat laut penara terdiri daripada rupa bumi yang luas dan beralun-alun, dipecahkan oleh bukit-bukau yang pamah dan berbentuk kebundaran.[127]

Bahagian tenggaranya lebih berceranggah dengan rabung-rabung dan banjaran-banjaran gunung setinggi 1,200 meter (3,900 ka).[127] Antara banjaran-banjaran tersebut termasuk Pergunungan Mantiqueira, Pergunungan Espinhaço dan Serra do Mar.[127] Di utara, Tanah Tinggi Guiana membentuk sebuah legeh saliran besar yang memisahkan sungai-sungai yang mengalir ke selatan hingga Lembangan Amazon dengan sungai-sungai yang mengalir ke dalam sistem Sungai Orinoco di Venezuela di utara. Puncak tertinggi di Brazil terletak di Pico da Neblina pada 2,994 meter (9,823 ka).[6]

Brazil mempunyai sistem sungai yang padat dan kompleks, antara yang paling luas di dunia dengan lapan lembangan saliran utama, kelapan-lapannya mengalir ke dalam Lautan Atlantik.[128] Antara sungai-sungai utamanya termasuk Sungai Amazon (sungai kedua terpanjang di dunia, dan terbesar dari segi isipadu air), Sungai Paraná dan cawang utamanya, Iguaçu (yang merangkumi Air Terjun Iguazu), Negro, São Francisco, Xingu, Madeira dan Tapajós.[128]

Iklim

[[Image:|170px|Salji di São Joaquim, Santa Catarina (Selatan) dan iklim tropika di Cabedelo, Paraíba (Timur Laut).]]
Salji di São Joaquim, Santa Catarina (Selatan) dan iklim tropika di Cabedelo, Paraíba (Timur Laut).

Iklim Brazil merangkumi pelbagai keadaan cuaca di seluruh wilayah yang luas dan berbagai-bagai topografi, tetapi sebahagian besar negara ini adalah tropika.[6] Menurut sistem Köppen, Brazil mempunyai lima subjenis iklim yang utama, iaitu: Khatulistiwa, separa gersang, tropika tanah tinggi, sederhana, dan subtropika. Kepelbagaian iklim-iklim ini memberikan pelbagai persekitaran kepada Brazil, seperti hutan hujan khatulistiwa di utara, tanah pasir separa gersang di timur laut, hutan konifer sederhana di selatan dan savana tropika di tengah-tengah Brazil.[129] Banyak kawasan ada mikroiklim yang amat ketara perbezaannya.[130][131]

Kawasan utara Brazil dikuasai oleh iklim Khatulistiwa tanpa musim kemarau yang nyata, tetapi terdapat sedikit perubahan pada kala curahan hujan terbanyak dalam setahun.[129] Purata suhunya 25 °C (77 °F),[131] tetapi perbezaan suhunya lebih ketara antara waktu siang dan malam daripada antara musim.[130]

Di kawasan tengah Brazil pula, curahan hujan lebih bermusim, seperti yang diharapkan dalam iklim savana.[130] Rantau ini seluas lembangan Amazon tetapi iklimnya jauh berbeza kerana ia terletak jauh di selatan pada altitud yang lebih tinggi.[129] Di pedalaman timur laut, kebermusiman curahan hujan lebih ketara. Kawasan iklim separa gersang itu menerima hujan yang tak lebih 800 milimeter (31.5 in)[132], biasanya pada kala tiga hingga lima bulan dalam setahun[133] tetapi adakalanya lebih singkat daripada itu, maka dialaminya musim kemarau yang berpanjangan.[130] Kemarau paling dahsyat yang pernah tercatat di Brazil, iaitu Grande Seca (Kemarau Besar) pada tahun 1877–78,[134] menyebabkan sekitar separuh juta penduduk terkorban.[135] Kemarau yang berlaku pada tahun 1915 juga tidak kurang dahsyatnya.[136]

Di selatan Bahia, dekat São Paulo, taburan hujan berubah kepada curahan sepanjang tahun.[129] Kawasan selatan ini menikmati keadaan seakan iklim sederhana, dengan musim sejuk yang nyaman dan purata suhu tahunan yang tidak mencecah 18 °C (64.4 °F);[131] ibun musim sejuk juga sering dialami, dengan curahan salji sekali-sekala di kawasan yang lebih tinggi.[129][130]

Biodiversiti

Hutan Hujan Amazon, hutan hujan tropika terbesar di dunia.

Wilayah Brazil yang luas merangkumi pelbagai jenis ekosistem, seperti Hutan Hujan Amazon yang diiktiraf sebagai empunya kepelbagaian hidupan yang terbesar di dunia,[137] yang sama-sama ditampung oleh Hutan Atlantik dan Cerrado.[138] Di selatan, hutan pain Araucaria tumbuh dalam keadaan iklim sederhana.[138]

Kekayaan Brazil dengan hidupan liar mencerminkan kepelbagaian habitat semula jadi. Namun demikian, masih banyak lagi spesies hidupan yang belum dikenal pasti, oleh itu selalu kedengaran berita penemuan spesies baru di situ. Para saintis menganggarkan bahawa jumlah spesies tumbuhan dan haiwan di Brazil boleh menghampiri empat juta.[138]

Antara mamalia-mamalia besar yang terdapat di Brazil termasuk puma, jaguar, oselot, anjing belukar, dan rubah; selain itu, banyak juga mamalia kecil seperti babi hutan, tapir, tenggiling, sloth, oposum, dan armadilo. Rusa pula banyak sekali terdapat di kawasan selatan, dan banyak juga spesies monyet Dunia Baru yang ditemui di hutan hujan utara.[138][139] Sikap prihatin terhadap alam sekitar di kalangan masyarakat semakin menjadi-jadi ekoran kepentingan isu alam sekitar sedunia.[140]

Alam sekitar

Warisan alam Brazil teruk terancam akibat kegiatan penternakan lembu dan pertanian, pembalakan, perlombongan, penempatan semula, penggalian minyak dan gas, penangkapan ikan berlebihan, pemerdagangan hidupan liar, pembinaan empangan dan prasarana, pencemaran air, perubahan iklim, kebakaran, dan kedatangan spesies invasif.[137] Di merata negara, persekitaran alamnya diancam oleh pembangunan.[141] Pembinaan lebuh raya telah membuka kawasan yang terpencil untuk kegunaan pertanian dan petempatan; empangan telah membanjiri lembah-lembah dan habitat hidupan liar; dan perlombongan telah mencalar dan mencemari rupa bumi negara.[140][142] Sekurang-kurangnya 70 buah empangan dirancangkan untuk dibina di kawasan Amazon, termasuk empangan hidroelektrik Belo Monte yang penuh kontroversi.[143]

Rujukan

WikiPedia: Brazil http://www.ctgas.com.br/conteudo/img_upload/Projec... http://www.jusbrasil.com.br/noticias/74894/futebol... http://www.mzweb.com.br/santosbrasil/web/conteudo_... http://www.obamonteverde.com.br/ http://aulete.uol.com.br/site.php?mdl=aulete_digit... http://michaelis.uol.com.br/moderno/portugues/inde... http://valetudo.com.br/ http://www.cpatsa.embrapa.br/servicos/dadosmet/cem... http://www.bcb.gov.br/htms/relinf/ing/2004/06/ri20... http://www.brasil.gov.br/?set_language=en