Sejarah Brazil

Penjajahan Portugis

Bumi yang kini bergelar Brazil pernah dituntut oleh Portugal pada April 1500, sewaktu ketibaan armada Portugal di bawah perintah Pedro Álvares Cabral.[20] Pendatang Portugis bertemu dengan orang asli yang terbahagi kepada puak-puak, kebanyakannya berkongsi serumpun bahasa Tupi-Guarani, tetapi berbalah sesama sendiri.[21]

Meskipun petempatan pertama diasaskan pada tahun 1532, zaman penjajahan mulai berkuatkuasa pada tahun 1534, apabila Dom João III memecahkan wilayah ini kepada 12 kekapitanan turun-temurun,[22][23] tetapi susunan ini terbukti bermasalah, maka pada tahun 1549, baginda melantik seorang Gabenor Jeneral untuk mentadbir seluruh jajahan.[23][24] Pemerintah Portugis mengasimilasikan beberapa puak orang asli[25] manakala puak-puak lain diperhambakan atau dipunahkan ekoran perang berlanjutan ataupun akibat tidak lali akan penyakit bawaan pendatang Eropah.[26][27] Pada pertengahan abad ke-16, gula menjadi bahan eksport terpenting Brazil[21][28] maka pemerintah Portugis mengimport hamba abdi Afrika[29][30] untuk menampung permintaan ekonomi yang meningkat.[26][31]

Massa Kristian pertama di Brazil, 1500.

Setelah berperang dengan Perancis, lama-kelamaan Portugis meluaskan wilayahnya ke arah tenggara, termasuk pendudukan Rio de Janeiro pada tahun 1567, dan juga ke arah barat laut, termasuk penaklukan São Luís pada tahun 1615.[32] Mereka menghantar ekspedisi tentera ke hutan hujan Amazon serta menawan benteng Inggeris dan Belanda,[33] menubuhkan desa-desa dan kubu-kubu mulai tahun 1669.[34] Pada tahun 1680, penjajah Portugis menjangkau jauh ke selatan lalu mengasaskan Sacramento di tebing Rio de la Plata, di kawasan Jalur Timur (kini Uruguay).[35]

Pada akhir abad ke-17, eksport gula mulai merosot[36] tetapi mulai 1690-an, penemuan emas oleh para pengembara di kawasan yang kemudian bergelar Minas Gerais (Lombong Umum), sekarang negeri Mato Grosso dan Goiás, menyelamatkan jajahan itu daripada keruntuhan ekonomi.[37] Ribuan penghijrah dari merata Brazil dan juga Portugal berbondong-bondong ke kawasan perlombongan.[38]

Bangsa Sepanyol cuba menghalang peluasan Portugis ke wilayah milik Sepanyol menurut Perjanjian Tordesillas 1494, lalu berjaya menawan Jalur Timur pada tahun 1777. Bagaimanapun, tindakan Sepanyol itu sia-sia kerana Perjanjian San Ildefonso yang ditandatangani pada tahun yang sama mengesahkan kedaulatan Portugis atas segala tanah yang ditaklukinya dalam peluasan wilayah, maka terbentuknya sebahagian besar sempadan Brazil yang kita kenali sekarang.[39]

Pada tahun 1808, kerabat diraja Portugis yang melarikan diri dari kemaraan askar Maharaja Perancis, Napoleon I yang menyerang Portugal dan kebanyakan kawasan Eropah Tengah, memantapkan kedudukan mereka di kota Rio de Janeiro yang kemudiannya menjadi pusat kerajaan seluruh Empayar Portugis.[40] Pada tahun 1815, Dom João VI, ketika itu pemangku bondanya yang hilang upaya, menaikkan taraf Brazil dari jajahan menjadi Kerajaan berdaulat yang bersatu dengan Portugal.[40] Pada tahun 1809, Portugis menyerang Guiana Perancis (yang dipulangkan kepada Perancis pada 1817)[41]; kemudian pada tahun 1816, mereka menawan Jalur Timur dan menukar namanya menjadi Cisplatina[42] (tetapi Brazil kehilangannya pada tahun 1828 apabila ia menjadi negara merdeka bergelar Uruguay).[43]

Kemerdekaan dan Empayar

Rencana utama: Empayar Brazil

Raja João VI kembali ke Eropah pada 26 April 1821, meninggalkan putera sulungnya, Putera Pedro de Alcântara selaku pemangku yang memerintah Brazil.[44] Kerajaan Portugis cuba menjadikan Brazil sebagai jajahan sekali lagi, sekaligus melucutkan pencapaiannya sejak tahun 1808.[45] Warga Brazil enggan mengalah, maka Putera Pedro mendukung perjuangan mereka dengan mengisytiharkan kemerdekaan negara dari Portugal pada 7 September 1822.[46] Pada 12 Oktober 1822, Pedro dinobatkan sebagai Maharaja pertama Brazil lalu memahkotakan Dom Pedro I pada tahun 1 Disember 1822.[47]

Pengisytiharan kemerdekaan Brazil oleh Maharaja Pedro I pada 7 September 1822.

Ketika itu, kebanyakan warga Brazil menyokong sistem beraja, manakala fahaman republikanisme kurang mendapat sambutan.[48][49] Selepas itu, Perang Kemerdekaan Brazil meletus di seluruh wilayah, dengan pertempuran di kawasan utara, timur laut dan selatan.[50] Bala tentera Portugis yang terakhir menyerah kalah pada 8 Mac 1824[51] maka kemerdekaan Brazil akhirnya diperakui oleh Portugal pada 29 Ogos 1825.[52]

Perlembagaan Brazil pertama diisytiharkan pada 25 Mac 1824, setelah diterima oleh majlis-majlis perbandaran di merata negara.[53][54][55][56] Pedro I turun takhta pada 7 April 1831 dan berangkat ke Eropah untuk menuntut semula mahkota puterinya, meninggalkan puteranya yang berusia lima tahun iaitu pewaris takhtanya, yang sepatutnya menjadi Dom Pedro II.[57] Memandangkan maharaja baru ini tidak dapat melaksanakan prerogatif perlembagaannya sehingga baginda matang, maka terbentuknya sistem pemangku.[58]

Perbalahan antara paksi-paksi politik mencetuskan pemberontakan dan ketidakstabilan kerajaan yang seakan-akan anarki.[59] Walaupun begitu, paksi-paksi yang memberontak itu tidak menentang pemerintahan beraja,[60][61] meskipun ada yang mengisytiharkan perpisahan wilayah masing-masing sebagai republik yang merdeka, tetapi ini adalah kerana Pedro II belum dewasa.[62] Oleh yang demikian, Pedro II diisytiharkan dewasa terlalu awal, dan “Brazil diharapkan menikmati hampir seabad keamanan dalaman dan kemajuan zahir yang pesat."[63]

Tentera Brazil (berpakaian biru) melawan tentera Paraguay (berpakaian merah atau tidak berbaju) ketika Perang Perikatan Bertiga.

Brazil memenangi tiga peperangan antarabangsa (Perang Platine, Perang Uruguay dan Perang Perikatan Bertiga) ketika pemerintahan Pedro II selama 58 tahun[64] serta menyaksikan penubuhan sistem demokrasi perwakilan yang dizahirkan oleh pilihan raya berturut-turut dan kebebasan akhbar yang luas.[65] Penting sekali, amalan perhambaan dimansuhkan selepas proses beransur-ansur yang bermula dengan berakhirnya pemerdagangan hamba antarabangsa pada tahun 1850[66] sehingga berakhir dengan pemansuhan perhambaan sepenuhnya pada tahun 1888.[67] Jumlah penduduk hamba merosot sejak Brazil merdeka: peratusan penduduk hamba Brazil jatuh dari 29% pada tahun 1823 kepada 5% pada tahun 1887.[68]

Apabila sistem beraja dibubarkan pada 15 November 1889[69] warga Brazil kurang merasa angin perubahan bentuk kerajaan[70] kerana sambutan rakyat terhadap Pedro II berada di kemuncaknya ketika itu.[71][72] Walaupun demikian, baginda “berasa paling bertanggungjawab atas penggulingan dirinya.”[73] Setelah kematian dua puteranya, Pedro percaya bahawa “rejim maharaja ditakdirkan berakhir dengannya.”[74] He cared little for the regime's fate[75][76] maka tiada apa yang terdaya atau direstui untuk menghalang rampasan kuasa tentera yang disokong oleh bekas tuan hamba yang membantah pengharaman amalan perhambaan.[77][78][79]

Republik Awal

Rampasan kuasa Brazil pada tahun 1930 menjulang Getúlio Vargas (tengah, berpakaian tentera tanpa topi) ke tampuk kuasa. Beliau memerintah negara selama 15 tahun.

“Kerajaan republik pada awalnya sekadar kediktatoran tentera. Pihak tentera menguasai hal-ehwal di Rio de Janeiro dan negeri-negeri. Kebebasan akhbar lesap, dan pilihan raya dikawal oleh pihak penguasa”.[69] Pada tahun 1894, orang awam republikan mengambil alih tampuk kuasa, sehingga mencetuskan “kitaran perang saudara, kemelut kewangan, dan ketidakcekapan pentadbiran yang berpanjangan.”[80] Pada tahun 1902, kerajaan memulakan pemulihan dasar-dasar yang diusahakan sewaktu zaman Empayar, iaitu dasar-dasar yang menjanjikan keamanan dan ketenteraman dalam negara serta memulihkan nama baik Brazil di mata dunia[80], serta berjaya merundingkan beberapa perjanjian yang diluaskan (hasil pembelian Acre) serta mengukuhkan sempadan Brazil.[81]

Pada 1920-an, negara Brazil dibelenggui oleh beberapa kejadian pemberontakan yang dicetuskan oleh pegawai tentera muda.[82][83] Menjelang tahun 1930, rejim menjadi lumpuh dan lemah semangat, sehingga membolehkan calon presiden yang kalah, Getúlio Vargas untuk mengetuai rampasan kuasa aman lalu mengambil alih tampuk presiden.[84] Vargas sepatutnya mengambil alih kepresidenan buat sementara waktu, tetapi beliau membubarkan Kongres Negara, memansuhkan Perlembagaan, memerintah dengan kuasa darurat dan menggantikan para gabenor negeri dengan penyokong-penyokongnya.[85][86]

Pada tahun 1935, komunis memberontak di serata negara dan membuat percubaan merampas kuasa tetapi gagal.[87] Bagaimanapun, ancaman komunis ini dijadikan alasan untuk Vargas melancarkan satu lagi rampasan kuasa pada tahun 1937 supaya Brazil menjadi negara diktator sepenuhnya.[88][89] Penindasan pihak pembangkang lebih ganas apabila lebih 20,000 orang dipenjara, kem penahanan dibuka untuk menyimpan banduan politik di kawasan terpencil negara, ejen-ejen kerajaan melakukan penyeksaan secara berleluasa, serta penapisan dikenakan terhadap akhbar.[90][91]

Brazil kekal berkecuali pada tahun-tahun terawal Perang Dunia II, sehinggalah kerajaan mengisytiharkan perang terhadap kuasa Paksi pada tahun 1942.[92] Vargas kemudiannya memaksa golongan pendatang Jerman, Jepun dan Itali ke dalam kem tumpuan,[93]. Pada tahun 1944, pemerintah Brazil menghantar tentera ke medan pertempuran di Itali.[94][95] Apabila pihak Berikat menang pada tahun 1945 dan rejim Nazi dan fasis tumbang di Eropah, kedudukan Vargas makin genting, lantas beliau cepat digulingkan dalam rampasan kuasa tentera.[96] Sistem demokrasi dipulihkan dan Jeneral Eurico Gaspar Dutra dipilih menjadi presiden lalu mulai menjawat pada tahun 1946.[97] Vargas kembali berkuasa pada tahun 1951, tetapi kali ini dipilih secara demokrasi, tetapi beliau tidak mampu mentadbir negara demokrasi dan berurusan dengan pembangkang yang aktif, maka beliau membunuh diri pada tahun 1954.[98][99]

Zaman moden

Fail:Michel Temer planalto 3 (cropped).jpgMichel Temer 2016.

Peristiwa Vargas membunuh diri disusuli oleh beberapa kerajaan sementara yang singkat secara berturut-turut.[100] Juscelino Kubitscheck menjadi presiden pada tahun 1956 lalu mengambil pendirian berdamai terhadap pihak pembangkang politik yang membolehkannya mentadbir tanpa dilanda krisis besar.[101] Ekonomi dan sektor industri membangun dengan pesat sekali,[102] dan pencapaian terbesarnya ialah pembinaan ibu negara baru, Brasília, yang dibuka pada tahun 1960.[103] Kubitscheck diwarisi oleh Jânio Quadros, tetapi beliau meletak jawatan pada tahun 1961, tidak sampai setahun selepas mulai menjawat.[104] Naib presidennya, João Goulart, mengambil alih tampuk pimpinan tetapi menerima tentangan hebat[105] lalu digulingkan oleh rampasan kuasa pada April 1964 dan digantikan dengan rejim tentera.[106]

Rejim baru itu sepatutnya berbentuk peralihan[107] tetapi ia beransur-ansur menyelubungi dirinya lalu menjadi suatu pemerintahan diktator sepenuhnya ekoran perisytiharan Akta Institusi Kelima pada tahun 1968.[108] Penindasan terhadap pihak penentang kediktatoran, termasuk gerila di bandar,[109] nyata keras, tetapi tidak seganas negara Amerika Latin yang lain.[110] Disebabkan pertumbuhan ekonomi yang luar biasa sehingga bergelar “keajaiban ekonomi”, rejim itu mencapai kemuncak kepopularannya pada zaman penindasan ini.[111]

Jeneral Ernesto Geisel menjadi presiden pada tahun 1974, lalu memulakan projek pendemokrasian semula yang diakuinya sebagai “perlahan, beransur-ansur dan selamat.”[112][113] Geisel menamatkan sikap tidak berdisiplin pihak tentera yang membelenggu negara sejak tahun 1889,[114] serta penyeksaan tanahan politik, penapisan akhbar,[115] dan pemerintahan diktator tentera itu sendiri, selepas memansuhkan Akta Institusi Kelima.[108] Bagaimanapun, rejim tentera berterusan di bawah pengganti yang dipilihnya, Jeneral João Figueiredo, untuk melengkapkan peralihan ke demokrasi sepenuhnya.[116]

Kuasa akhirnya dikembalikan kepada orang awam pada tahun 1985, apabila José Sarney mengambil alih tampuk presiden[117], tetapi pada akhir penggalnya, beliau mendapat sambutan hambar kerana krisis ekonomi yang luar kawalan serta inflasi yang teramat tinggi.[118] Kegagalan kerajaan Sarney membuka laluan kepada pemilihan Fernando Collor pada tahun 1989, tetapi beliau kemudiannya dicabar oleh Kongres Negara pada tahun 1992.[119] Collor diganti oleh Naib Presidennya, Itamar Franco, yang melantik Fernando Henrique Cardoso sebagai Menteri Kewangan.

Cardoso melaksanakan Plano Real (Rancangan Real, sempena nama mata wang Brazil) yang berjaya menstabilkan ekonomi Brazil[120] lalu dipilih sebagai presiden pada tahun 1994, dan sekali lagi pada tahun 1998.[121] Peralihan kuasa secara aman kepada Luís Inácio Lula da Silva, yang dipilih pada tahun 2002 dan sekali lagi pada tahun 2006, membuktikan kejayaan Brazil mencapai kestabilan politik yang dicari-carinya selama ini.[122] Pada tahun 2011, Lula diganti oleh presiden sekarang, Dilma Rousseff, presiden wanita pertama Brazil.[123]

Rujukan

WikiPedia: Brazil http://www.ctgas.com.br/conteudo/img_upload/Projec... http://www.jusbrasil.com.br/noticias/74894/futebol... http://www.mzweb.com.br/santosbrasil/web/conteudo_... http://www.obamonteverde.com.br/ http://aulete.uol.com.br/site.php?mdl=aulete_digit... http://michaelis.uol.com.br/moderno/portugues/inde... http://valetudo.com.br/ http://www.cpatsa.embrapa.br/servicos/dadosmet/cem... http://www.bcb.gov.br/htms/relinf/ing/2004/06/ri20... http://www.brasil.gov.br/?set_language=en