Kerjaya Bront_Palarae

2003–2008: Kerjaya awal dan kejayaan

Biarpun beliau telah memulakan kerjaya lakonan pada tahun 2000 menerusi drama TV Mat Nor Kushairi & The Velvet Boys, hanya pada tahun 2005 nama Bront menjadi sebutan apabila beliau muncul dalam drama bersiri Cinta Tsunami di saluran Astro Prima. Sejak itu, Bront muncul dalam banyak produksi terutama filem melalui watak-watak pembantu. Antara lakonan beliau yang paling menjadi perhatian adalah menerusi watak pemain kugiran dalam filem Man Laksa (2005), anak jalanan Anak Halal (2007)[6] dan pembunuh upahan psiko Setem (2009).

Beliau juga pernah muncul dalam telefilem Neon (2003) arahan Mohd Feroz Abdul Kader lakonan Allahyarham Faizal Yusup dan Eric Fuzi bersama ramai pelakon termasuk Azhar Sulaiman, Aziz M. Osman, Saiful Apek, Rashidi Ishak, Sofi Jikan, Aziz Sattar, Kuswadinata, Abby Abadi, Serina Redzuawan, Zila Bakarin, Rita Rudaini, Kartina Aziz dan ramai lagi.[7]

Bront juga pernah bergandingan bersama pelakon Dynas pada tahun 2004 untuk mengacarakan program Beat TV selama 2 musim sebelum beliau mengambil keputusan untuk memberi sepenuh perhatian dalam bidang lakonan dan penulisan. Pada tahun 2005 juga beliau menerima tawaran biasiswa daripada kerajaan Itali untuk mengikuti kursus jangka pendek dalam jurusan Bahasa & Budaya di University of Foreigners, Perugia Itali. Beliau meninggalkan seketika bidang seni selama setengah tahun untuk menyempurnakan kursus tersebut.

Pada tahun 2008 nama Bront mula meniti bibir peminat apabila muncul dalam siri TV Sindarela memegang watak Tengku Hussein, seorang putera raya yang bekerja sebagai mekanik. Gandingan beliau bersama Sharifah Amani ternyata menimbulkan fenomena tersendiri. Keserasian Bront dan Amani kemudian diperpanjangkan lagi dalam siri TV Rona Roni Makaroni pada tahun 2009.

2009–2014: Cabaran, hala tuju kerjaya dan Terbaik Dari Langit

Tidak mahu terlalu selesa dengan hala tuju kerjaya lakonannya, Bront mengambil keputusan untuk mengejar cita-cita di layar perak. Biarpun dikenali sebagai aktor yang kurang mendapat publisiti media namun kemunculannya dalam filem arahan teman baiknya, pelakon Farid Kamil iaitu V3: Samseng Jalanan (2010) ternyata membuahkan hasil apabila filem tersebut mengaut kutipan pecah panggung lebih daripada RM 4 juta. Menerusi watak Brett dalam filem tersebut, Bront dicalonkan untuk kategori Pelakon Lelaki Terbaik dalam Watak Pembantu di Festival Filem Malaysia ke-23.

Ketika membintangi filem Belukar bersama Daphne Iking

Seterusnya Bront muncul dalam filem Belukar arahan Jason Chong.[8] Menerusi watak penyiasat insurans dalam filem tersebut, nasib Bront mula menyinar apabila dicalonkan dan seterusnya memenangi anugerah Pelakon Lelaki Terbaik dalam Watak Utama di Festival Filem Malaysia ke-23[9][10] menewaskan nama-nama hebat seperti Esma Daniel, Farid Kamil dan Zul Huzaimy. Bront juga mengulangi kejayaan sama di Anugerah Skrin 2010 dengan menewaskan pemenang FFM 22, Afdlin Shauki yang cemerlang menerusi filem Papadom.[11]

Bront muncul dalam filem Hanyut arahan pengarah berkaliber U-Wei Hj Saari menerusi watak Syed Rasyed. Filem tersebut merupakan adaptasi daripada novel tulisan Joseph Conrad berjudul Almayer's Folly.[12][13] Sebuah lagi filem karya adaptasi berjudul Ombak Rindu tulisan Fauziah Ashaari juga bakal menampilkan Bront sebagai Ismail. Beliau juga berganding bersama pemenang Pelakon Wanita Terbaik dalam Watak Utama di FFM 23 iaitu Lisa Surihani dalam filem Sekali Lagi arahan Hashim Rejab. Antara judul filem lain yang akan menampilkan figuran Bront ialah Bunga Lalang arahan Dain Iskandar Said dan Jiwa Taiko (Osman Ali).

Pada tahun 2010 juga, Bront telah mengasaskan produksi filem Otto Films yang akan menjadi platform untuk beliau meneroka bidang penerbitan filem dan melalui syarikat itu, beliau mengarah, menulis dan mengarahkan bersama filem Kolumpo,[14] sebuah filem yang dikeluarkan pada tahun 2013. Beliau juga pernah berkhidmat di Camwerk Studios sebagai Perunding Kreatif untuk membantu membangunkan Penculikan Ammar Affendi dan terjamin bersama tawaran penerbitan dengan RexMedia (US) di Marche Du Film di Festival De Cannes pada tahun yang sama. Beliau kemudiannya telah dilantik sebagai Duta Jenama untuk Edwin Denim Malaysia[15] dan juga wajah pereka fesyen tempatan Fairuz Ramdhan.[16]

2015–kini: Halfworlds dan melangkah serantau

Pada Januari 2016, Bront membintangi filem drama sukan Ola Bola,[17] arahan Chiu Keng Guan selepas memecah rekod yang dipegang oleh The Journey. Bukan itu sahaja filem yang mengutip RM15.85 juta dan menjadi filem Malaysia dengan kutipan tertinggi kelima sepanjang masa, Bront juga memenangi Anugerah Pilihan Pengkritik Kuala Lumpur 2016[18] dalam kategori Penyokong, kerana peranannya dalam filem itu.[19]

Selepas memenangi anugerah Pelakon Terbaik untuk Terbaik Dari Langit di Anugerah dan Festival Filem Antarabangsa ASEAN 2015 (AIFFA 2015),[20][21] beliau turut membantu dalam siri bertajuk Halfworlds[22][23] di HBO Asia diarahkan oleh pembikin filem Indonesia, Joko Anwar.[24] Beliau kemudiannya menyertai Mo Brothers pada filem terkini Headshot, yang dibintangi oleh Iko Uwais.[25] Bront menyertai barisan pelakon filem komedi My Stupid Boss lakonan Bunga Citra Lestari dan Reza Rahadian sebagai kerjasama dengan lain pembikin filem Indonesia, Upi Avianto.[26]

Pada Februari 2016, Bront dijangka merancang untuk menghasilkan sebuah filem berdasarkan kisah benar kejayaan Tan Sri Khalid Ibrahim ‘merampas’ syarikat perladangan terbesar daripada British dalam tempoh dua jam. Filem bertajuk Dawn Raid: The Hands That Rattled The Queen yang mana kini dalam proses pembangunan di studio produksinya Pixel Play. Skrip bagi filem itu ditulis oleh Redza Minhat bersama dengan Chew Kin Wah.[27][28][29]'[30]

Di Anugerah Televisyen Asia 2016, Bront telah dicalonkan untuk peranannya dalam telefilem Eropah, Here I Am menerusi kategori "Pelakon Lelaki Terbaik Dalam Peranan Utama".[31][32][33]

Bront membintangi filem Pengabdi Setan arahan Joko,[34] sebuah pembikinan semula filem seram Indonesia 1980 dengan judul sama arahan Sisworo Gautama Putra.[35] Ia menjadi kolaborasi keduanya bersama Joko selepas siri Halfworlds di HBO Asia.[36] Pada 21 Disember 2017, Bront bersama pelakon jelita Fazura membintangi filem drama keagamaan Indonesia, Ayat-Ayat Cinta 2 arahan Guntur Soerhardjanto. Dalam filem ini yang merupakan kesinambungan filem pertama yang ditayangkan pada 2008, Bront memegang watak Baruch, seorang bekas tentera Yahudi yang panas baran, merawat ibu tirinya.[37] Filem ini ditayangkan di pawagam Malaysia pada 11 Januari 2018.[38]

Bront bersama-sama dengan Nam Ron, Zahiril Adzim, Syamsul Yusof, Chew Kin Wah, Maya Karin dan Puteri Balqis telah disenaraikan sebagai salah seorang dari 10 pelakon popular yang berjaya meraih pengiktirafan di peringkat global oleh Harian Metro pada Jun 2018.[2]

Pada Februari 2019, Bront telah dipilih menjadi duta Festival Filem Antarabangsa Malaysia (MIFFEST) dan Anugerah Global Emas Malaysia (MGGA) yang bermula pada Julai, memperkenalkan Bront sebagai duta baru yang akan menyertai duta semasa Angelica Lee, pelakon pemenang anugerah antarabangsa.[39]

Bront bersiap untuk menjayakan peranannya dalam projek filem terbarunya bertajuk What Comes Around, yang diarahkan oleh Zahir Omar. Beliau juga sedang menyiapkan filem terbaru arahannya bertajuk The Intern.[40] Bront memegang watak sebagai Ponthaliwat dalam filem Bikers Kental 2 yang ditayangkan pada 14 Mac 2019.[41]

Bront bersama Shaheizy Sam bakal berlakon bersama pelakon Ireland, Jonathan Rhys Meyers dalam filem epik Hollywood pertama Malaysia, White Rajah, yang berdasarkan dari kisah Raja Putih Borneo, James Brooke.[42]