Demografi Brunei

Rencana utama: Demografi Brunei

Jumlah penduduk Brunei adalah seramai 411,900 dimana 75% penduduk tinggal di kawasan bandar (urban) dan 97% daripada jumlah penduduknya tinggal di bahagian barat yang lebih besar dengan hanya kira-kira 10,000 (3%) orang tinggal di daerah Temburong iaitu di bahagian timur. Daripada bilangan ini, lebih kurang 46,000 orang tinggal di ibu negara Bandar Seri Begawan.[12]

Bangsa

Berdasarkan Lembaga Perlembagaan Negara Brunei Darussalam yang bermula pada tahun 1984, etnik Negara Brunei Darussalam terdiri daripada puak atau rumpun jati secara rasmi di bawah pendaftaran kebangsaan iaitu etnik Melayu Brunei, Kedayan, Tutong, Dusun, Belait, Murut dan Bisaya.

Walau bagaimanapun, penduduk tetap Brunei Darussalam juga terdiri daripada berbilang bangsa seperti bangsa Inggeris, Cina, India serta kaum etnik majoriti dari Sarawak dan Sabah, Malaysia seperti Iban dan Kadazan. Terdapat juga golongan ekspatriat di Brunei yang besar jumlahnya dengan kebanyakannya warganegara British serta Australia.[13]

Berikut merupakan peratus jumlah penduduk mengikut etnik di Brunei:

  • Melayu: 66.3% (meliputi dua pertiga penduduk Brunei)
  • Cina: 11.2%
  • Pribumi bukan Melayu: 3.4%
  • Lain-lain: 19.1% (anggaran pada tahun 2004)[10]

Agama

Rencana utama: Islam di Brunei
Agama di Brunei
AgamaPeratus
Islam
  
67%
Buddha
  
13%
Kristian
  
10%
Lain-lain
  
10%

Islam ialah agama rasmi Brunei dan Sultan Brunei merupakan ketua agama negara itu.[10] Agama-agama lain yang dianuti termasuk Buddha (dianuti oleh kaum Cina), Kristian (10%) serta kepercayaan animisme (dengan jumlah yang amat kecil iaitu kira-kira 2%).

Bahasa

Rencana utama: Bahasa Melayu Brunei

Bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan di negara ini.[14] Bahasa Melayu yang digunakan di Brunei adalah berbeza daripada negara Nusantara yang lain kerana penduduk Brunei menggunakan loghat Melayu Brunei sebagai alat pertuturan dan perbualan. Bahasa Cina dan juga Bahasa Inggeris turut dipertuturkan.[15] Bahasa kaum pribumi yang turut digunakan ialah Bahasa Iban, Bahasa Murut, Bahasa Kedayan, Bahasa Belait, Bahasa Bisaya, Bahasa Tutong dan Bahasa Dusun.[15] Bahasa Inggeris juga dipertuturkan secara meluas dan dipelajari dalam institusi pendidikan.