Budaya China

Hidangan China berisi nasi, udang, terung, tauhu tapai, sayur goreng kilas, daging itik vegetarian dengan daging dan buluh, di Suzhou.
Tunjuk cara kung fu di Biara Daxiangguo, Kaifeng, Henan.
Opera Beijing ialah contoh unggul kebudayaan Cina tradisional dan mendapat tempat penting dalam khazanah keseniah dunia.[175]
Sudut utara Kota Larangan yang bercirikan gaya seni bina klasik.

Selama ratusan tahun, peluang kemajuan ekonomi dan sosial di China ditawarkan melalui prestasi baik dalam peperiksaan Diraja. Penekanan sastera dalam peperiksaan mempengaruhi tanggapan awam terhadap kepekertian budaya di China, seperti kepercayaan bahawa seni khat dan lukisan pujangga lebih tinggi nilainya berbanding tarian atau lakon pentas. Nilai-nilai tradisi China berasal dari pelbagai bentuk amalan Konfusianisme dan konservatisme. Turut dipercayai mempengaruhi tradisi ialah jenis-jenis fahaman yang lebih bersifat autoritarian dan rasional, seperti Legalisme. Antara falsafah-falsafah ini sering timbulnya perselisihan, seperti pengamal Neo-Konfusianisme yang individualistik pada Dinasti Song yang percaya bahawa Legalisme menyimpang dari semangat asli Konfusianisme. Peperiksaan dan budaya merit masih diangkat tinggi nilainya di China zaman sekarang. Baru-baru ini, segelintir pengikut Konfusianisme Baru mendokong bahawa cita-cita demokrasi dan hak asasi manusia serasi sekali dengan "nilai-nilai Asia" tradisi Confucius.[176]

Barisan kepimpinan terawal RRC dilahirkan dalam masyarakat lama, tetapi dipengaruhi oleh Gerakan 4 Mei dan cita-cita pembaharuan. Mereka ingin mengubah sesetengah aspek tradisi kebudayaan Cina, seperti pegangan tanah luar bandar, seksisme, dan pendidikan Konfusius; sambil mengekalkan yang lain, seperti struktur keluarga dan taat setia kepada negara. Ramai pemerhati percaya bahawa zaman yang menyusuli tahun 1949 merupakan kesinambungan sejarah dinasti China tradisi, tetapi dibalas dengan pihak lain yang mengatakan pemerintahan Parti Komunis telah menggoyahkan asas-asas kebudayaan Cina, khususnya menerusi pergerakan politik seperti Revolusi Kebudayaan, yang mana kebanyakan aspek kebudayaan tradisional dihapuskan kerana dilabelkan sebagai 'regresif dan berbahaya' atau 'sisa-sisa feudalisme' oleh kerajaan ketika itu. Tambahan pula, mereka berhujah bahawa banyak aspek penting akhlak dan kebudayaan tradisi Cina, seperti ajaran Konfusianisme, kesenian, sastera, dan lakon pentas seperti opera Beijing, diubah suai agar selaras dengan dasar dan dakyah kerajaan ketika itu.

Kini, kerajaan China telah menerima kebanyakan besar budaya Cina tradisional sebagai penting dalam masyarakat China, dengan memujinya sebagai pencapaian penting dalam tamadun China serta menekannya sebagai daya utama identiti kebangsaan China. Semenjak berakhirnya Revolusi Kebudayaan, pelbagai bentuk kesenian, sastera, muzik, filem, fesyen dan seni bina tradisi Cina bangkit kembali dengan penuh semangat,[177][178] sementara seni rakyat dan aneka ragam khususnya telah menikmati penghormatan baru, lalu mencetuskan minat di dalam dan luar negara.[179]

Budaya Cina dan Barat dihubungkan oleh Laluan Sutera. Hasil penemuan artifak dari sejarah Laluan Sutera, dan juga sejarah semula jadi gurun Gobi, dipamerkan di Muzium Laluan Sutera.[180][181][182]

Sukan dan rekreasi

Permainan bola keranjang di sebuah kawasan perumahan di Beijing pada waktu malam.

China bermegah dengan budaya bersukan terlama di dunia dengan ribuan tahun lamanya. Sebenarnya, ada bukti bahawa sejenis sukan seakan bola sepak pernah digiatkan di China pada zaman silam.[183] Selain bola sepak,[184] antara sukan-sukan kegemaran ramai di negara termasuk sukan bela diri, ping pong, badminton, renang, bola keranjang dan snuker. Permainan papan seperti Weiqi dan Xiangqi, dan baru-baru ini catur ala Barat, juga menjadi kegemaran sehingga dianjurkannya pertandingan.

Kesihatan jasmani banyak ditekankan dalam budaya China, dengan bersenam pada waktu pagi sebagai kemestian. Warga emas juga sering kelihatan berlatih qigong dan tai chi chuan di taman, begitu juga pelajar sekolah meregangkan badan beramai-ramai di kawasan sekolah. Muda-mudi gemar sekali bola keranjang, khususnya di kawasan bandar yang ruang dan padang rumputnya terhad. NBA menjadi ikutan muda-mudi China, dengan Yao Ming sebagai idola pujaan ramai.[185] Beijing juga memiliki sejarah terbilang sebagai tuan rumah temasya sukan terbesar seperti Sukan Asia 1990 dan Sukan Olimpik 2008.

Di sebalik kemodenan negara, sukan tradisional masih dihidupkan. Perlumbaan perahu naga diadakan sempena Perayaan Duanwu pada awal bulan Mei. Di wilayah Mongolia Dalam, sukan-sukan seperti gusti bergaya Mongolia dan lumba kuda menjadi kegemaran ramai. Di Tibet, sukan memanah dan ekuestrian merupakan antara acara-acara perayaan tradisional.[186]

Pasukan atlit China menduduki tempat teratas dari segi kiraan pingat emas di Sukan Olimpik yang diadakan di Beijing dari 8 hingga 24 Ogos 2008.[187]

Rujukan

WikiPedia: China http://202.84.17.11/en/index.htm http://www.theaustralian.news.com.au/business/stor... http://www.theaustralian.news.com.au/story/0,25197... http://www.cis.org.au/issue_analysis/IA95/ia95.htm... http://www.chinanews.cn/news/2005/2005-11-18/14441... http://www.chinadaily.com.cn/2010-03/03/content_95... http://www.chinadaily.com.cn/bizchina/2008-11/21/c... http://www.chinadaily.com.cn/bizchina/2009-08/03/c... http://www.chinadaily.com.cn/china/2006-03/21/cont... http://www.chinadaily.com.cn/china/2008-01/11/cont...