Ekonomi China

Semenjak penubuhannya pada tahun 1949 hingga akhir tahun 1978, Republik Rakyat China mengamalkan ekonomi perancangan pusat ala Soviet, tanpa kelibat perniagaan swasta dan kapitalisme. Untuk menggerakkan negara ke arah masyarakat komunis yang moden dan berindustri, Mao Zedong melancarkan rancangan Kemaraan Raksasa. Berikutan kematian Mao dan akhir Revolusi Kebudayaan, Deng Xiaoping bersama kepimpinan baru China mula memperbaharui ekonomi dan beralih kepada ekonomi campuran berorientasikan pasaran di bawah pemerintahan satu parti. Secara amnya, ekonomi China disifatkan sebagai ekonomi pasaran berasaskan milikan harta persendirian.[102][103] Pengkolektifan pertanian dimansuhkan dan tanah-tanah ladangnya diswastakan untuk meningkatkan daya pengeluaran.

Kerajaan RRC menggalakkan kegiatan pelbagai perusahaan kecil-kecilan sambil melonggarkan kawalan harga serta mengundang pelaburan dari luar negara. Perdagangan asing diberi tumpuan sebagai alat pertumbuhan ekonomi utama, sehingga lahirnya Zon Ekonomi Khas, mula-mula di Shenzhen (berhampiran Hong Kong) disusuli bandaraya-bandaraya lain di China. Perusahaan milik kerajaan yang tidak cekap distrukturkan semula dengan pengenalan sistem pengurusan ala barat; perusahaan mana yang kurang lumayan terpaksa ditutup sehingga menyebabkan ramai hilang pekerjaan.

Bangunan Bursa Saham Shanghai di daerah kewangan Pudong, Shanghai

Semenjak bermulanya peliberalan ekonomi pada tahun 1978, ekonomi RRC yang diterajui pelaburan dan eksport[104] bertumbuh 70 kali lebih besar[105] sebagai ekonomi utama yang bertumbuh paling pesat di dunia.[106] Kini, China memiliki KDNK nominal ketiga terbesar di dunia pada 33.54 trilion yuan (AS$4.91 trilion), namun pendapatan per kapitanya masih agak rendah pada AS$3,700, maka RRC masih ketinggalan di belakang kira-kira seratus negara.[107] Industri-industri primer, sekunder, and tertier masing-masing menyumbangkan 10.6%, 46.8%, dan 42.6% kepada keseluruhan ekonominya pada tahun 2009.

RRC ialah negara keempat paling ramai pengunjung di dunia dengan 49.6 juta pelancong asing pada tahun 2006.[108] RRC merupakan sebuah anggota WTO dan kuasa perdagangan kedua terbesar di belakang AS dengan jumlah dagangan dunia bernilai AS$2.21 trilion – AS$1.20 trilion eksport (#1) dan AS$1.01 trilion import (#2). Rizab tukaran asingnya telah mencecah AS$2.4 trilion, menjadikannya yang terbesar di dunia.[109] RRC memiliki sekuriti AS bernilai kira-kira $1.6 trilion.[110] RRC ialah penerima ketiga terbesar masukan FDI dengan menarik AS$92.4 billion pada tahun 2008 sahaja,[111] pada masa yang sama semakin banyak melabur di luar negara dengan keluaran FDI sebanyak AS$52.2 bilion pada tahun 2008 sahaja sebagai pelabur keluar keenam terbesar di dunia.[112]

Kejayaan RRC banyak disumbang oleh sektor perkilangan berkos rendah, hasil gabungan buruh murah, prasarana bermutu, teknologi dan kemahiran bertahap sederhana, daya pengeluaran agak tinggi, dasar kerajaan yang menggalakkan, dan kononnya, kadar tukaran yang terkurang nilai. Kadar tukaran itu adakalanya dikatakan sebagai punga lebihan perdagangan RRC yang mengembung (AS$262.7 bilion pada tahun 2007)[113] di samping menjadi punca pertikaian utama antara RRC dan rakan-rakan perdagangan utamanya – AS, EU, dan Jepun – sungguhpun matawang dilepaskan dari pancangnya lalu nilainya meningkat 20% berbanding dolar AS sejak tahun 2005.[114]

Dengan pegangan bon perbendaharaan sebanyak AS$801.5 bilion, RRC ialah pemegang asing hutang negara A.S. yang terbesar di dunia.[115][116]

Pada tahun 1978, Deng Xiaoping memulakan pembaharuan ekonomi RRC bertengahkan pasaran.

Kerajaan masih menguasai industri "tonggak" yang strategik (seperti bekalan tenaga dan perindustrian berat), tetapi perusahaan swasta yang disertai 30 juta perniagaan persendirian[117] kini menjadi penyumbang 33%[118] (People's Daily Online 2005) hingga 70%[119] (BusinessWeek, 2005) KDNK pada tahun 2005, manakala anggaran OECD melebihi 50%[120] keluaran negara China, iaitu jauh meningkat dari 1% pada tahun 1978.[121] Bursa sahamnya di Shanghai (SSE) menyaksikan kegiatan IPO semakin tumbuh bagai cendawan dan nilai tanda aras Indeks Komposut Shanghai berganda sejak 2005. Pemodalan pasaran SSE mencapai AS$3 trilion pada tahun 2007 untuk menjadi bursa saham kelima terbesar di dunia.

China kini menduduki tempat ke-29 dalam Indeks Daya Saing Global.[122] 37 syarikat China tersenarai dalam Fortune Global 500 tahun 2009 (termasuk 26 dari Beijing sahaja).[123] Melalui ukuran pemodalan pasaran, empat daripada sepuluh syarikat paling bernilai di dunia bertapak di China, termasuk PetroChina di tempat pertama (syarikat minyak paling bernilai di dunia), Bank Industri dan Perdagangan China di tempat ketiga (bank paling bernilai di dunia), China Mobile di tempat kelima (syarikat komunikasi paling bernilai di dunia) dan China Construction Bank di tempat ketujuh.[124]

Walaupun masih agak miskin mengikut piawaian dunia, namun pertumbuhan pesat RRC berupaya menarik keluar beratus juta rakyatnya dari kancah kemiskinan sejak tahun 1978. Kini, kira-kira 10% penduduk China menyara hidup di bawah garis kemiskinan AS$1 sehari (PPP) (berbanding 64% pada tahun 1978) manakala jangka hayat keseluruhan meningkat mendadak hingga 73 tahun. Lebih 90% penduduknya celik huruf,[125] berbanding 20% pada tahun 1950.[126] Pengangguran di bandar turun kepada 4% di China pada akhir tahun 2007 (namun pengangguran keseluruhan sebenar mungkin berada sekitar 10%).[127]

Jumlah penduduk kelas menengahnya (pendapatan tahunan sekurang-kurangnya AS$5,000) kini mencecah 80–150 juta oleh,[128][129][130] manakala bilangan individu teramat kaya yang bernilai lebih 10 juta yuan (AS$1.5 juta) dianggarkan pada 825,000 orang, menurut Laporan Hurun.[131] Pasaran peruncitan China bernilai 8,921 bilion yuan (AS$1,302 bilion) pada tahun 2007 dan bertumbuh 16.8% setahun.[132] RRC juga merupakan pengguna barangan mewah kedua terbesar di dunia mengekori Jepun dengan 27.5% kongsian sedunia.[133]

Sungguhpun begitu, pertumbuhan RRC tidak seimbang apabila dibandingkannya kawasan geografi berbeza serta kawasan luar bandar dan bandar. Jurang pendapatan antara bandar dan luar bandar semakin lebar di RRC dengan pekali Gini pada 46.9%. Usaha pembangunan terlalu ditumpukan di kawasan pantai timur sehingga kawasan-kawasan lain agak terpinggir. Kerajaan mengatasi masalah ini dengan melancarkan inisiatif pembangunan di kawasan-kawasan barat, timur laut, dan tengah China.

Ekonominya juga terlalu berintensif tenaga dan tidak cekap, kerana menggunakan 20%–100% lebih tenaga berbanding negara-negara OECD untuk kebanyakan proses industri.[134] RRC telah menjadi pengguna tenaga kedua terbesar di belakang AS[135] tetapi bergantung pada arang untuk membekalkan 70% keperluan tenaganya.[136] Ditambah pula dengan pengawalan alam sekitar yang agak longgar, ini telah menyebabkan pencemaran air dan udara yang teruk (China menempatkan 20 daripada 30 bandaraya paling tercemar di dunia).[134] Dengan itu, kerajaan berjanji untuk memperbanyakkan penggunaan tenaga boleh baharu dengan sasaran 10% jumlah kegunaan tenaga menjelang tahun 2010 dan 30% menjelang tahun 2050.[137]

Rujukan

WikiPedia: China http://202.84.17.11/en/index.htm http://www.theaustralian.news.com.au/business/stor... http://www.theaustralian.news.com.au/story/0,25197... http://www.cis.org.au/issue_analysis/IA95/ia95.htm... http://www.chinanews.cn/news/2005/2005-11-18/14441... http://www.chinadaily.com.cn/2010-03/03/content_95... http://www.chinadaily.com.cn/bizchina/2008-11/21/c... http://www.chinadaily.com.cn/bizchina/2009-08/03/c... http://www.chinadaily.com.cn/china/2006-03/21/cont... http://www.chinadaily.com.cn/china/2008-01/11/cont...