Politik China

Dewan Besar Rakyat, di mana bersidangnya Kongres Rakyat Kebangsaan.

RRC dianggap oleh beberapa orang ahli sains politik sebagai salah sebuah daripada lima negara komunis terakhir (bersama Vietnam, Korea Utara, Laos, dan Cuba),[37][38][39] namun semenjak 1980-an, struktur politik RRC sudah mustahil dicirikan dengan tepat.[8] Kerajaan RRC sering kali disifatkan sebagai negara komunis dan sosialis, bahkan juga negara autoritarian dengan sekatan-sekatan ketat dalam pelbagai segi, khususnya dalam Internet, akhbar, kebebasan berhimpun, hak pembiakan, dan kebebasan beragama.

Dibandingkan dengan dasar pintu tertutup yang diamalkannya sehingga pertengahan 1970-an, peliberalan RRC sebegitu rupa sehingga suasana pentadbiran kurang terbatas daripada dahulu, namun RRC masih jauh lagi dari menjadi demokrasi liberal yang diamalkan di kebanyakan negara Eropah atau Amerika Utara, dan Kongres Rakyat Kebangsaan disifatkan sebagai sebuah badan "pak turut".[40] RRC kini dipimpin oleh Presiden Hu Jintao dan Perdana Menteri Wen Jiabao.

Negara ini diperintah oleh Parti Komunis China (CPC) yang kuasanya dijamin oleh Perlembagaan.[41] Sistem politiknya amat terpencar[42] dengan proses demokrasi terhad dalaman dalam parti dan peringkat kampung setempat, namun eksperimen-eksperimen sebegini pernah dicemari korupsi. Terdapat beberapa parti politik lain dalam RRC, yang dipanggil parti demokrasi di China, dan menyertai Persidangan Perundingan Politik Rakyat dan Kongres Rakyat Kebangsaan. Ada sedikit petunjuk bahawa RRC menuju peliberalan politik, yang mana pilihan raya dipertandingkan terbuka kini dianjurkan di peringkat kampung dan pekan,[43][44] tambahan pula badan-badan perundangan menunjukkan sikap ketegasan dari masa ke semasa. Walau apapun, Parti Komunis mengekalan kawalan berkesan terhadap pelantikan kerajaan. Dalam ketiadaan barisan pembangkang yang penuh bermakna, CPC hampir sentiasa berjaya melulskan apa yang dikehendakinya. Antara hal-hal politik yang diuruskan dalam RRC termasuk perapatan jurang pendapatan antara kaya dan miskin serta membasmi rasuah dalam barisan kepimpinan kerajaan.[45]

Tahap sokongan terhadap tindakan kerajaan serta pengurusan negara adalah antara yang tertinggi di dunia, dengan seramai 86% orang yang meluahkan rasa puas hati dengan keadaan semasa dan ekonomi negara, mengikut tinjauan Pew Research Center pada tahun 2008[46] Mengikut tinjauan bertajuk "Top 10 political figures in Mainland China and Taiwan" yang dijalankan di Hong Kong, kira-kira 1000 peserta diberi senarai 10 pemimpin politik terkemuka di Tanah Besar China dan Taiwan. Hasilnya, para pemimpin tanah besar (seperti Wen Jiabao, Zhu Rongji and Hu Jintao) menerima markah lebih tinggi berbanding pemimpin Taiwan (seperti Chen Shui-bian, Ma Ying-jeou dan Lien Chan).[47]

Hubungan luar

Hu Jintao bersama bekas Presiden Amerika Syarikat George W. Bush

RRC menjalin hubungan diplomatik dengan kebanyakan negara-negara utama di dunia. Sweden ialah negara barat pertama yang menjalin hubungan diplomatik dengan Republik Rakyat dengan 9 Mei 1950.[48] Pada tahun 1971, RRC mengambil alih tempat Republik China sebagai wakil tunggal China di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan juga satu daripada lima ahli tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.[49] RRC juga merupakan bekas anggota dan ketua Pergerakan Negara-Negara Berkecuali.

Kebanyakan dasar luar negara RRC berasaskan konsep "kebangkitan China secara damai". Walaupun sekali-sekala berlakunya konflik dengan negara luar dalam sejarah terkininya, khususnya dengan Amerika Syarikat (cth. tindakan A.S. membedil kedutaan China di Belgrade ketika Perang Kosovo pada Mei 1999, dan peristiwa pesawat pengintip A.S.-China pada April 2001. Hubungan diplomatik dengan kebanyakan negara Barat teruk terjejas sekali ketika keganasan di Dataran Tiananmen pada tahun 1989, tetapi sejak itu kembali pulih.

Mengikut tafsirannya mengenai dasar Satu China, RRC menetapkan prasyarat untuk penjalinan hubungan diplomatik, bahwa negara lain itu mengiktiraf tunturan RRC pada Taiwan serta memutuskan hubungan rasmi dengan kerajaan Republik China. Pihak RRC telah banyak kali mengecam mana-mana negara yang menunjukkan tanda-tanda cuba mendekati Taiwan secara diplomatik,[50] atau menjual senjata kepada pulau itu.[51]

Kerajaan RRC menentang kunjungan pegawai Republik China dahulu dan sekarang ke negara lain untuk mempromosikan kemerdekaan Taiwan, seperti Lee Teng-hui dan Chen Shui-bian, tidak lupa juga tokoh-tokoh lain yang turut dianggap oleh RRC sebagai pejuang pemisah, seperti Tenzin Gyatso, Dalai Lama ke-14, dan Rebiya Kadeer, pemimpin Uyghur dalam buangan. Misalnya, Beijing pernah membantah lawatan Kadeer ke Jepun pada Julai 2009[52][53] dan Australia sebulan kemudian, sehingga membuat aduan rasmi kepada kerajaan masing-masing.[53] Pada tahun 2007, RRC membatalkan sesi berdialog dengan Jerman gara-gara tindakan Angela Merkel menyambut Dalai Lama.[54]

RRC memainkan peranan yang semakin penting dalam menyeru kawasan perdagangan bebas dan pakatan keselamatan di kalangan negara-negara jirannya di rantau Asia Pasifik. Pada tahun 2004, RRC menyaran rangka Sidang Kemuncak Asia Timur (East Asia Summit, EAS) yang serba baru sebagai forum perbincangan hal-ehwal keselamatan serantau yang terang-terang tidak disertai oleh Amerika Syarikat.[55] EAS yang disertai oleh negara-negara ASEAN tambah 3, India, Australia dan New Zealand, mengadakan sidang kemuncak sulungnya pada tahun 2005. RRC juga sebuah negara pengasas Pertubuhan Kerjasama Shanghai, bersama Rusia dan republik-republik Asia Tengah.

Sentimen Sinofobia (menakuti negara China atau kaum Cina) sering disemai di kalangan kelompok minoriti di China dan orang Cina yang berdiam di luar China, sehingga boleh mengakibatkan keganasan, seperti Peristiwa 13 Mei di Malaysia pada tahun 1969 dan Rusuhan Jakarta Mei 1998 di Indonesia yang meragut lebih 2,000 nyawa.[56] Kebelakangan ini, di Afrika dan Oceania timbulnya juga sebilangan kejadian rusuhan anti-Cina.[57][58] Sentimen anti-Cina sering berakar umbi sosioeknomi.[59]

Hubungan China dan Jepun adakalanya terjejas oleh keengganan Jepun untuk mengakui kezaliman perang zaman dahulu yang memuaskan RRC; misalnya hujah-hujah revisionis oleh para pegawai terpenting di Jepun dan beberapa buah buku teks sejarah Jepun. Satu lagi titik ketegangan antara kedua-dua negara ialah kekerapan pegawai kerajaan Jepun menziarahi Kuil Yasukuni. Walau bagaimanapun, hubungan China-Jepun bertambah baik sejak Shinzo Abe menjadi Perdana Menteri Jepun pada tahun 2006.

RRC berkongsi kedudukan dengan Rusia sebagai negara yang paling banyak negara jiran di sempadannya, tetapi juga terlibat dalam sebilangan pertikaian wilayah antarabangsa. Pertikaian wilayah China pernah membawa kepada perang setempat sepanjang sejarah RRC, termasuk Perang China-India pada tahun 1962, konflik sempadan China-Soviet (1969), dan Perang China-Vietnam (1979). Pada tahun 2001, RRC dan Rusia menandatangani Perjanjian Persahabatan China-Rusia,[60] yang membuka laluan kepada penyerahan Pulau Yinlong dan separuh kawasan Heixiazi oleh Rusia kepada China pada tahun 2004, untuk menamatkan pertikaian sempadan China-Rusia yang berpanjangan. Pertikaian wilayah lain termasuk pulau-pulau di Laut China Timur dan Selatan, dan sempadan darat yang kabur atau meragukan dengan India dan Bhutan.

Walaupun menikmati pertumbuhan ekonomi yang pesat, namun sejak 1990-an, RRC ingin mengekalkan dasar diplomasi senyap-senyap dengan jiran-jirannya, iaitu dengan memastikan kemantapan pertumbuhan ekonomi serta menyertai pertubuhan serantau dan memupuk hubungan dua hala untuk mententeramkan perasaan curiga negara lain terhadap keupayaan tentera China yang semakin kuat. RRC telah memulakan dasar memikat negara-negara Afrika untuk berdagang dan menjalin kerjasama dua hala.[61][62] Xinhua, agensi berita rasmi China, menyatakan terdapat tidak kurang daripada 750,000 warganegara China yang bekerja atau menetap di Afrika.[63] Timbulnya juga persoalan sama ada China bakal menjadi kuasa terbesar baru dalam abad ke-21, yang mana sesetengah pihak mengatakan kemajuan ekonomi, kekuatan tentera, bilangan penduduk yang amat ramai, dan pengaruh antarabangsa yang semakin besar, tetapi ada pihak lain yang mengatakan China bakal berdepan dengan keruntuhan ekonomi.[64][65][66][67][68]

Hak asasi manusia

Tugu peringatan peristiwa Tiananmen 1989, didirikan di Wroclaw, Poland, sepuluh tahun kemudian. Layanan kerajaan China terhadap kebebasan hak asasi manusia sentiada menarik kecaman pelbagai pihak.

Sungguhpun kawalan ekonomi dan sosial telah banyak dilonggarkan di China sejak 1970-an, namun kebebasan politik masih dikawal ketat oleh kerajaan pusat dan setempat. Perlembagaan Republik Rakyat China menyatakan bahawa "hak asasi" rakyat merangkumi kebebasan bersuara, kebebasan akhbar, hak untuk pembicaraan yang adil, kebebasan beragama, hak mengundi umum, dan hak mengenai harta. Namun demikian, peruntukan-peruntukan ini tidak menawarkan amalan perlindungan yang mencukupi dari pendakwaan jenayah oleh kerajaan.[69][70][71]

Berpuluh juta orang yang pindah ke bandaraya besar mendapati diri mereka dilayan seperti warga kelas kedua oleh penduduk bandar China yang sering memandang rendah orang kampung.[72] Para petani menyuarakan rasa tidak senang hati terhadap rampasan tanah oleh kelas menengah yang kaya-raya dari bandaraya.[72] Diskriminasi rasmi, seperti sistem hukou untuk pendaftaran isi rumah diibaratkan seperti sistem aparteid antara kawasan bandar dan luar bandar.[73] Pada tahun 2003/2004, seseorang petani terpaksa membayar tiga kali lebih cukai walaupun pendapatannya hanya satu perenam purata pendapatan penduduk bandar.[73] Semenjak itu, kerajaan bertindak dengan mengurangkan atau memansuhkan sebilangan cukai luar bandar, di samping menawarkan khidmat sosial tambahan kepada penduduk luar bandar.[74][75][76]

Penapisan kenyataan dan maklumat politik digunakan secara rutin dan terang-terangan untuk mendiamkan apa-apa kutukan terhadap kerajaan dan Parti Komunis China selaku pemerintah.[77] Pada tahun 2009, pihak Wartawan Tanpa Sempadan meletakkan RRC di tangga 168 (daripada 175 negara/wilayah) dalam Indeks Kebebasan Akhbar Sedunia Tahunan.[78]

Dalam buku berjudul Media Control in China[79], wartawan China He Qinglian mendokumenkan kawalan kerajaan terhadap Internet dan media lain in China. Kerajaan mengamalkan dasar mengehadkan kumpulan, pertubuhan dan kepercayaan yang dianggapnya sebagai boleh mengancam "kestabilan sosial", seperti peristiwa Tiananmen pada tahun 1989. Parti Komunis tidak selalu berjaya mengawal maklumat: sebuah sistem kawalan media yang amat kuat menghadapi kuasa pasaran yang amat kuat, rakyat jelata yang semakin terdidik, dan perubahan budaya yang menjadikan negara China lebih terbuka, khususnya terhadap isu alam sekitar.[80][81]

RRC sering kali menerima kutukan sebilangan kerajaan luar negara dan pertubuhan bukan kerajaan atas dakwaan pencabulan hak awam berleluasa termasuk penahanan berpanjangan tanpa pembicaraan yang dikenakan secara sistematik, pengakuan paksaan, penyeksaan, penganiayaan banduan, sekatan terhadap kebebasan rakyat untuk bersuara, berhimpun, berpersatuan, dan beragama, kebebasan akhbar, dan hak pekerja.[77] China mencatat jumlah penjatuhan hukuman mati terbanyak di dunia, dengan kira-kira 90% dari kesemua hukuman mati di dunia sepanjang tahun 2004.[82]

Kerajaan RRC membalas dakwaan-dakwaan tersebut dengan berhujah bahawa tanggapan hak asasi manusia sewajarnya mengambil kira kedudukan pembangunan ekonomi negara masa kini, serta memberi lebih tumpuan kepada hak sara hidup dan pembangunan rakyat di negara-negara yang lebih miskin.[83] Peningkatan taraf hidup, kecelikan huruf, dan jangka hayat rakyat biasa China sejak 1970-an dilihat oleh pihak kerajaan sebagai kemajuan nyata untuk hak asasi manusia.[84] Usaha membasmi bencana alam yang membahayakan nyawa baru-baru ini, seperti banjir Sungai Yangtze yang tidak henti-henti, serta kemalangan pekerjaan juga di juga digambarkan sebagai kemajuan hak asasi manusia bagi sesebuah negara yang masih keramaian penduduk miskin.[83]

Rujukan

WikiPedia: China http://202.84.17.11/en/index.htm http://www.theaustralian.news.com.au/business/stor... http://www.theaustralian.news.com.au/story/0,25197... http://www.cis.org.au/issue_analysis/IA95/ia95.htm... http://www.chinanews.cn/news/2005/2005-11-18/14441... http://www.chinadaily.com.cn/2010-03/03/content_95... http://www.chinadaily.com.cn/bizchina/2008-11/21/c... http://www.chinadaily.com.cn/bizchina/2009-08/03/c... http://www.chinadaily.com.cn/china/2006-03/21/cont... http://www.chinadaily.com.cn/china/2008-01/11/cont...