Sejarah China

Rencana utama: Sejarah China
Mao Zedong mengisytiharkan penubuhan Republik Rakyat pada tahun 1949.

Selepas Perang Dunia Kedua, Perang Saudara China meletus antara Parti Komunis China (CCP) dan Parti Negara China (KMT). Perang itu berakhir dengan pengunduran KMT ke pulau Taiwan dan beberapa cebisan pulau provinsi Fujian. Pada tarikh 1 Oktober 1949, Mao Zedong dengan bangganya telah mengistiharkan penubuhan negara baru komunis Republik Rakyat China dengan tangisan air mata dan berkata 'Orang China telah berdiri'.[26]

Rancangan sosioekonomi yang bergelar Kemaraan Raksasa mengakibatkan seramai 36 juta rakyat terkorban.[27] Pada tahun 1966, Mao dan sekutunya melancarkan Revolusi Kebudayaan yang berkekalan sehingga Mao meninggal dunia sepuluh tahun kemudian. Revolusi Kebudayaan yang didorong oleh pergelutan kuasa di dalam Parti Komunis serta kegerunan terhadap kuasa Kesatuan Soviet, mengakibatkan pergolakan hebat dalam masyarakat negara China. Pada tahun 1972, di kemuncak perpecahan China-Soviet, Mao dan Zhou Enlai menyambut kunjungan Presiden Richard Nixon di Beijing untuk menjalin hubungan diplomatik dengan Amerika Syarikat. Pada tahun yang sama, RRC diterima menganggotai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu lalu mengambil alih tempat Republik China untuk keahlian negara China di PBB, serta keahlian tetap Majlis Keselamatan PBB.

Setelah Mao meninggal dunia pada tahun 1976 di samping Geng Berempat ditahan atas keterlampauan Revolusi Kebudayaan, Deng Xiaoping pantas merampas kuasa dari Hua Guofeng yang dilumaskan sebagai pengganti Mao. Biarpun tidak pernah mengetuai Parti atau negara itu sendiri, namun Deng sebenarnya menjadi "Pemimpin Agung China" ketika itu; pengaruhnya dalam Parti membawa kepada pembaharuan ekonomi yang mengagumkan di negara. Lama-kelamaan, Parti Komunis melonggarkan kawalan kerajaan terhadap kehidupan peribadi rakyat jelatan, maka dimansuhkannya komun-komun rakyat disusuli pemberian pajakan tanah kepada para petani yang sungguh banyak meningkatkan galakan dan pengeluaran pertanian. Hasil peristiwa-peristiwa inilah China beralih dari ekonomi terancang menjadi ekonomi campuran yang semakin terbuka persekitaran pasarannya, iaitu sistem yang diistilahkan sebagai "sosialisme pasaran" oleh sesetengah pihak[28], dan secara rasminya "Sosialisme bercirikan China" oleh kerajaan RRC. RRC menggubal perlembagaan terkininya pada 4 Disember 1982.

Pada tahun 1989, kematian seorang pegawai penyokong reformasi, Hu Yaobang, sedikit sebanyak mengapi-apikan tunjuk perasaan besar-besaran di Dataran Tiananmen, di mana para mahasiswa dan lain-lain menghabiskan berbulan-bulan untuk berkempen demi peningkatan hak demokrasi dan kebebasan bersuara. Malangnya, mereka semua ditumpaskan pada 4 Jun apabila askar-askar dan kenderaan Tentera Pembebasan Rakyat tiba untuk membersihkan dataran secara paksa sehingga ramai nyawa yang terkorban. Kejadian ini diwar-warkan ke merata dunia lalu menarik kecaman antarabangsa serta sekatan-sekatan dikenakan terhadap kerajaan China.[29][30]

Presiden Jiang Zemin dan Perdana Menteri Zhu Rongji, kedua-duanya bekas datuk bandar Shanghai, menjadi pemimpin RRC pasca-Tiananmen pada 1990-an. Sepanjang sedasawarsa pentadbiran Jiang Zemin, prestasi ekonomi RRC berjaya mengeluarkan 150 juta orang petani dari kancah kemiskinan serta menampung kadar pertumbuhan KDNK purata tahunan sebanyak 11.2%.[31][32] Negara China secara rasminya menyertai Pertubuhan Perdagangan Sedunia pada tahun 2001.

Sungguhpun memerlukan pertumbuhan ekonomi untuk memacu pembangunan, namun kerajaan RRC mula bimbang bahawa pertumbuhan ekonomi pesat telah menjejaskan kekayaan sumber dan alam sekitar negara, apatah lagi sesetengah kelompok masyarakat tertentu tidak menikmati faedah pembangunan ekonomi negara dengan secukupnya. Hasilnya, di bawah kepimpinan Presiden Hu Jintao dan Perdana Menteri Wen Jiabao, RRC telah melaksanakan dasar-dasar untuk menangani hal-hal kesaksamaan agihan sumber, namun kesan positifnya masih dalam penantian.[33] Lebih 40 juta petani telah dipindahkan dari tanah masing-masing,[34] atas nama pembangunan ekonomi antara lainnya, sehingga mengundang 87,000 kes tunjuk perasaan dan rusuhan di seluruh China pada tahun 2005.[35] Bagi kebanyakan penduduk bandaraya terbesar RRC, taraf hidupnya menikmati peningkatan yang amat mengagumkan serta meluasnya kebebasan ke sana sini, namun kekangan politik kekal ketat dan kawasan luar bandar masih kemiskinan.[36]

Rujukan

WikiPedia: China http://202.84.17.11/en/index.htm http://www.theaustralian.news.com.au/business/stor... http://www.theaustralian.news.com.au/story/0,25197... http://www.cis.org.au/issue_analysis/IA95/ia95.htm... http://www.chinanews.cn/news/2005/2005-11-18/14441... http://www.chinadaily.com.cn/2010-03/03/content_95... http://www.chinadaily.com.cn/bizchina/2008-11/21/c... http://www.chinadaily.com.cn/bizchina/2009-08/03/c... http://www.chinadaily.com.cn/china/2006-03/21/cont... http://www.chinadaily.com.cn/china/2008-01/11/cont...