Coldplay
Coldplay

Coldplay

Coldplay ialah kugiran rock alternatif British yang dibentuk pada 1996 oleh penyanyi vokal utama dan pemain papan nada Chris Martin dan pemain gitar utama Jonny Buckland di Kolej Universiti London (UCL).[1] Setelah mereka dibentuk di bawah nama Pectoralz, Guy Berryman menyertai kumpulan itu sebagai pemain bes dan mereka mengubah nama kumpulan kepada Starfish.[nota 1] Will Champion menyertai mereka sebagai pemain dram dan penyanyi vokal sandaran. Pengarah kreatif Phil Harvey sering kali dianggap sebagai ahli kelima kugiran ini.[2] Kumpulan ini menamakan semula diri mereka sebagai "Coldplay" pada 1998,[2] sebelum merakamkan dan melancarkan Safety pada 1998 serta "Brothers & Sisters" dan The Blue Room pada 1999, di mana The Blue Room merupakan pelancaran pertama di bawah syarikat rakaman utama selepas menyertai Parlophone.[3]Coldplay mencapai kemasyhuran di seluruh dunia dengan pelancaran single "Yellow" pada tahun 2000, diikuti dengan album penampilan sulung Parachutes pada tahun yang sama, yang telah dicalonkan untuk Hadiah Mercury. Album kedua kugiran, A Rush of Blood to the Head (2002), telah memperoleh pujian kritis dan memenangi beberapa anugerah termasuklah Album Tahun Ini di NME. Pelancaran mereka yang seterusnya, X&Y, album terlaris di seluruh dunia pada 2015, menerima ulasan-ulasan yang kebanyakannya positif, walaupun sesetengah pengkritik menganggap ia "kurang baik" berbanding pelancaran sebelumnya. Album studio keempat Coldplay, Viva la Vida or Death and All His Friends (2008) yang dihasilkan oleh Brian Eno menerima banyak ulasan positif dan mendapat beberapa percalonan di Anugerah Grammy.[4] Pada Oktober 2011, Coldplay melancarkan Mylo Xyloto dan ia berjaya menduduki tangga teratas dalam carta di lebih 34 buah negara dan merupakan album rock terlaris di United Kingdom untuk tahun 2011.[5] Pada Mei 2014, mereka melancarkan album keenam Ghost Stories dan pada Disember 2015, album ketujuh A Head Full of Dreams pula dikeluarkan, di mana kedua-duanya menerima ulasan bercampur dan baik serta berada di kedudukan teratas di beberapa carta.Kugiran ini telah memenangi 85 anugerah daripada 252 pencalonan sepanjang kerjaya mereka termasuklah Anugerah Brit, enam Anugerah Video Muzik MTV, tujuh Anugerah Muzik Eropah MTV dan tujuh Anugerah Grammy daripada 32 pencalonan. Mereka berjaya menjual lebih daripada 100 juta rakaman di seluruh dunia, menjadikan mereka salah satu seniman muzik dengan jualan terlaris di dunia.[6] Pada Disember 2009, pembaca majalah Rolling Stone mengundi Coldplay seniman keempat terbaik untuk 2000-an.[7] Kugiran itu menyokong pelbagai kempen sosial dan siasah seperti kempen Make Trade Fair Oxfam dan Amnesty International. Mereka juga membuat persembahan di projek-projek amal termasuklah Band Aid 20, Live 8, Global Citizen Festival, Sound Relief, Hope for Haiti Now: A Global Benefit for Earthquake Relief, One Love Manchester, The Secret Policeman's Ball, Sport Relief dan Amanah Barah Remaja UK.[nota 2]