Subbahagian Daerah_di_Brunei

Sesebuah mukim dan kampung-kampung di bawahnya adalah di bawah tanggungjawab Jabatan Daerah di mana daerah yang ditadbir mengandungi mukim dan kampung tersebut. Contohnya, Mukim Bokok dan kampung-kampung di bawahnya adalah dalam Daerah Temburong dan oleh itu ditadbir oleh Jabatan Daerah Temburong.

Mukim dan kampung dianggap sebagai institusi akar umbi utama dalam masyarakat Brunei.[2][3] Sesebuah mukim atau kampung biasanya mempunyai Majlis Perundingan Mukim atau Kampung.

Mukim

Mukim merupakan bahagian pentadbiran peringkat pertengahan dalam hierarki subbahagian di Brunei. Terdapat 39 mukim di Brunei, iaitu lapan belas di Brunei-Muara, lapan di Belait dan Tutong setiapnya, dan lima di Temburong.[4] Setiap mukim diketuai oleh seorang penghulu.

Berikut ialah senarai mukim mengikut daerah:

Mukim-mukim Burong Pingai Ayer, Peramu, Saba, Sungai Kebun, Sungai Kedayan dan Tamoi merupakan mukim-mukim di Kampong Ayer.

Kampung

Kampung ialah bahagian pentadbiran peringkat terbawah dalam hierarki subbahagian di Brunei. Pentadbiran kampung dikendalikan oleh seorang ketua kampung. Walau bagaimanapun, pentakrifan persempadanan kampung atau kuasa pentadbiran ketua kampung mungkin terdapat perbezaan. Contohnya, Kampung Penabai dan Kampung Kuala Tutong merupakan dua buah kampung tetapi ditadbir oleh seorang ketua kampung.

Kampung di Brunei tidak terhad kepada petempatan di bahagian pedalaman sahaja tetapi juga merangkumi kawasan-kawasan kejiranan di bandar dan pekan, serta beberapa kawasan perumahan awam. Terdapat kampung yang pada asalnya merupakan sebuah petempatan tetapi telah dibahagikan menjadi dua atau lebih kampung, contohnya Kampung Lambak 'A' dan 'B'. Terdapat juga kawasan perumahan awam yang telah diwartakan menjadi kampung, contohnya Kampung Lorong Tiga Selatan, atau pemecahan kawasan tersebut menjadi beberapa kampung, seperti Kawasan 1-5 bagi Perumahan Negara Lambak Kanan. Beberapa kampung juga mungkin sebahagian daripada kawasan-kawasan perbandaran Bandar Seri Begawan atau pekan-pekan yang mempunyai majlis perbandaran.

Sesebuah kampung biasanya mempunyai infrastruktur sosial asas seperti masjid, sekolah rendah dan balai raya atau dewan kemasyarakatan. Memandangkan majoriti penduduk Brunei beragama Islam, sebuah kampung juga biasanya mempunyai masjid serta sekolah ugama yang menyediakan pendidikan rendah agama Islam, yang mana ianya wajib kepada kanak-kanak beragama Islam di Brunei.[5] Selain itu, kampung-kampung biasanya mempunyai kedai runcit dan jenis kedai yang lain seperti kedai makan, tukang jahit, dan kedai gunting atau salun.

Kampung juga mungkin sepadan dengan kawasan sesuatu poskod.