Darah_tinggi

Tekanan darah adalah tekanan yang dikenakan terhadap pembuluh arteri semasa peredaran darah yang disebabkan oleh denyutan jantung. Darah tinggi atau Hipertensi (Inggeris = Hypertension) merujuk kepada Tahap tekanan darah yang meningkat lebih tinggi dari tahap biasa secara kronik.[1] Pesakit yang mempunyai sekurang-kurangnya tiga bacaan tekanan darah yang melebihi 140/90 mmHg semasa berehat dijangka mempunyai keadaan darah tinggi.Kadar tekanan darah tidak sama sepanjang masa. Ia sering berubah-ubah mengikut keperluan badan anda. Jika tekanan darah anda tinggi, doktor anda akan memeriksa semula tekanan darah anda untuk beberapa kali bagi menentukan kadar tekanan darah anda yang sebenar.Tekanan darah ada dua ukuran dan biasanya diukur seperti berikut - 120 /80 mmHg. Nombor atas (120) menunjukkan tekanan ke atas pembuluh arteri akibat denyutan jantung. Ia dipanggil tekanan sistolik. Nombor bawah (80) menunjukkan tekanan semasa jantung berehat di antara pengepaman. Ia dipanggil tekanan diastolik. Masa yang paling baik untuk mengukur tekanan darah adalah semasa anda rehat dan dalam keadaan duduk atau baring.