Dasar_Pandang_ke_Timur

Pembangunan ekonomi Malaysia pada masa kini diwarisi daripada tiga tahap sebelumnya, dimulakan dengan tahap pertumbuhan dan perkembangan pesat industri sumber asli dari pertengahan abad ke-19 sehingga 1914, diikuti tempoh turun naik atau ketidakstabilan industri sumber asli antara Perang Dunia Pertama dan Kedua dan akhir sekali tahap penyatuan dan rasionalisasi industri sumber asli bersama dengan kepelbagaian ekonomi selepas 1945. Walaupun Malaysia merupakan bekas koloni British, kepentingan ekonomi Jepun telah menyumbang kepada perubahan dasar luar negara dari Dasar Pro-Barat semasa zaman kolonial dan pasca-kolonial menjadi Dasar Pandang Ke Timur semasa pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad.[1] Dasar Pandang ke Timur merupakan dasar ekonomi yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 8 Februari 1982. Ketika itu Dr Mahathir baru menjadi Perdana Menteri Malaysia (1981). Dasar ini diumumkan semasa Persidangan "5th Joint Annual Conference of MAJECA/JAMECA" di Hotel Hilton Kuala Lumpur.Dasar ini sebagai reaksi kepada dasar 'Buy British Last' yang juga diumumkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad pada Oktober 1981.Dasar Pandang Ke Timur bermaksud pihak kerajaan Malaysia dan swasta menjadikan negara Jepun dan Korea Selatan sebagai contoh etika bekerja. Lebih 15,000 rakyat Malaysia telah memperoleh manfaat menerusi dasar itu.