Kaedah Deepfake

Palsu tulen bergantung kepada sejenis Rangkaian Neural yang digelar pengekod auto.[4][32] Sistem ini terdiri daripada sebuah pengekod yang mengecilkan imej ke ruang pendam bermatra lebih rendah dan sebuah penyahkod yang membina semula imej tersebut daripada gambaran pendam. Palsu tulen mengguna pakai seni bina ini dengan menggunakan sebuah pengekod sejagat yang mengekod seseorang ke dalam ruang pendam.[33] Gambaran pendam ini mengandungi sifat penting berkenaan raut wajah dan gaya dirinya. Ruang pendam ini boleh dinyahkod dengan suatu model yang telah dilatih khas untuk sasaran tersebut.[4] Hal ini bermakna maklumat terperinci sasaran akan ditindan pada sifat wajah dan tubuh dasar video asal yang diwakili dalam ruang pendam.[4]

Salah satu naik taraf yang terkenal untuk seni bina ini melibatkan penyambungan rangkaian perseteruan janaan dengan penyahkod.[33] GAN akan melatih suatu penjana, iaitu penyahkod dalam contoh ini, dan suatu pembeza layan dalam hubungan perseteruan.[33] Penjana akan menghasilkan sekeping gambar baharu daripada gambaran pendam bahan sumber sambil pembeza layan cuba mengenal pasti sama ada gambar itu telah dihasilkan.[33] Hal ini menyebabkan penjana menghasilkan sekeping gambar yang meniru kenyataan dengan begitu bagus sehinggakan mana-mana cacat-cela akan dikesan oleh pembeza layan.[34] Kedua-dua algoritma tersebut sentiasa bertambah baik dalam mainan campur-tolak.[33] Hal ini membuatkan pencegahan terhadap deepfake sangat sukar dilakukan kerana sifatnya yang kerap berubah ansur iaitu tiap kali terdapatnya kecacatan yang dikenal pasti, kecacatan ini akan diperbaiki.[34]