Budaya Delhi

Lihat juga: Kebudayaan India
Tembikar tradisional di Dilli HaatNasi Ayam Kadhai dari Delhi

Budaya Delhi dipengaruhi oleh sejarah lama-lamanya sebagai ibu kota India, seperti yang diperlihatkan oleh pelbagai tugu-tugu penting di bandaraya ini; Archaeological Survey of India mengenal pasti 1,200 bangunan warisan[83] dan 175 tugu di Delhi sebagai tapak warisan negara.[84] Kota Lama merupakan tapak pembinaan bangunan-bangunan mengagumkan oleh raja-raja Mughal dan Turkik, misalnya Jama Masjid (masjid terbesar di India)[85] dan Kubu Merah. Tiga Tapak Warisan Dunia, iaitu Kubu Merah, Qutab Minar dan Makam Humayun, terletak di Delhi.[86] Tugu-tugu yang lain termasuk India Gate, Jantar Mantar (balai cerap falak abad ke-18) dan Purana Qila (kubu abad ke-16). Kuil Laxminarayan, Kuil Akshardham dan Kuil Teratai Bahá'í merupakan contoh seni bina moden. Perkarangan memorial Raj Ghat menempatkan tugu peringatan Mahatma Gandhi dan tokoh-tokoh penting yang lain. New Delhi menempatkan beberapa bangunan kerajaan dan perumahan pegawai yang mengingatkan kita akan seni bina kolonial British.

Keeratan dan kedekatan Delhi dengan ibu negara, New Delhi, telah meningkatkan kepentingan sambutan dan cuti kebangsaan. Sambutan kebangsaan seperti Hari Republik, Hari Kemerdekaan dan Gandhi Jayanti (hari jadi Gandhi) disambut dengan penuh keghairahan di Delhi. Pada Hari Kemerdekaan India (15 Ogos), Perdana Menteri India berucap kepada seluruh negara dari Kubu Merah. Ramai warga Delhi yang menyambut hari kemerdekaan dengan melayangkan layang-layang yang menjadi lambang kebebasan.[87] Perarakan Hari Republik merupakan perarakan kebudayaan dan ketenteraan besar-besaran yang mempamerkan kepelbagaian budaya dan kegagahan pertahanan India.[88][89] Selama ratusan tahun, Delhi terkenal kerana budaya rencam yang diserlahkan oleh perayaan Phool Walon Ki Sair yang diadakan pada bulan September setiap tahun, apabila bunga-bunga dan kipas berhias bunga (pankha) disembahkan dalam kuil Khwaja Bakhtiyar Kaki (keramat kesufian abad ke-13) dan juga Kuil Yogmaya Temple di Mehrauli.[90]

Di Delhi diraikannya perayaan-perayaan keagamaan seperti Diwali, Mahavir Jayanti, Hari Jadi Guru Nanak, Durga Puja, Holi, Lohri, Chhath, Krishna Janmastami, Maha Shivaratri, Aidilfitri, Moharram dan Buddha Jayanti.[89] Perayaan Qutub merupakan sambutan kebudayaan yang diserikan oleh persembahan pemuzik dan penari dari seluruh India pada waktu malam, di tempat yang berlatarkan Qutub Minar.[91] Acara-acara lain seperti Pesta Layang-Layang, Pesta Mangga Antarabangsa dan Vasant Panchami (Perayaan Musim Bunga) diadakan setiap tahun di Delhi. Auto Expo, pameran kereta terbesar di Asia,[92] diadakan di Delhi setiap dua tahun. World Book Fair yang diadakan dua kali setahun di Pragati Maidan, merupakan pameran buku kedua terbesar di dunia dengan penyertaan sebanyak 23 negara.[93] Delhi juga dipanggil "Pusat Buku" India kerana ramai sekali warganya yang beramalan membaca.[94]

Hasil kependudukan kosmopolitan Delhi yang sarat diisi penghijarah, wujudnya berbagai-bagai jenis masakan dari seluruh India, termasuk makanan dan minuman dari Gujarat Rajasthan, Maharashtra, Benggala, Hyderabad, dan India Selatan seperti idli, sambar and dosa. Juadah tempatan Delhi termasuk Chaat, Golgappe, Aloo-Tikki and Dahi-Papri.[95][96] Terdapat juga beberapa kedai masakan antarabangsa, baik Itali, Jepun, Barat, Timur Tengah, Thai mahupun Cina, ataupun makanan segera.

Sejak dahulu lagi, Delhi mempertahankan kedudukan sebagai pusat perdagangan penting di India utara. Di Delhi Lama masih terdapat kesan tinggalan zaman Mughal yang terdapat di kalangan lorong-lorong berleret dan bazar-bazar yang sesak di kota lama ini.[97] Pasar-pasar Kota Lama menjual pelbagai barangan seperti mangga, limau dan terung berjeruk minyak, posyen herba berwarna gula-gula, barang kemas perak, pakaian pengantin, kain linen, rempah-ratus, dan gula-gula.[97] Masih ada beberapa haveli (rumah agam) diraja lama di Kota Lama.[98] Chandni Chowk, sebuah kawasan beli-belah yang wujud sejak tiga abad lalu, merupakan salah sebuah tempat pilihan untuk membeli barang kemas dan sari Zari di Delhi.[99] Antara pertukangan seni dan kraf yang paling menonjol di Delhi termasuk Zardozi (sulaman berbenang emas) dan Meenakari (seni penyaduran enamel). Dilli Haat, Hauz Khas, dan Pragati Maidan menawarkan beraneka hasil kraftangan dan tenunan tangan India. Dari semasa ke semasa, Delhi menyerap ramai orang dari merata negara dan berubah menjadi wadah tumpuan pelbagai budaya.[10][100]

Rujukan

WikiPedia: Delhi http://www.ucalgary.ca/applied_history/tutor/islam... http://123independenceday.com/indian/gift_of/freed... http://www.aboutpalaceonwheels.com/palace-on-wheel... http://www.aipsmedia.com/index.php?page=interview&... http://airport-delhi.com/ http://www.avalanchepress.com/Soldier_Shah.php http://www.bloomberg.com/apps/news?pid=20601039&re... http://www.business-standard.com/india/storypage.p... http://www-cgi.cnn.com/ASIANOW/asiaweek/features/u... http://content.cricinfo.com/india/content/story/26...