Sejarah Delhi

Rencana utama: Sejarah Delhi
Pada ketinggian 72.5 m (238 ka), Qutub Minar adalah menara masjid bebas yang tertinggi di dunia.[17]Makam Humayun yang dibina pada tahun 1560 ialah contoh pertama bangunan makam Mughal.[18]Kubu Merah yang dibina oleh Shah Jahan pada tahun 1639, adalah tapak ucapan Perdana Menteri India sempena Hari Merdeka.

Manusia pernah menetap kawasan Delhi sejak sebelum alaf kedua Sebelum Masihi,[19] di samping wujudnya bukti pendudukan berterusan seawal abad ke-6 SM.[4] Kota ini dipercayai dijadikan tapak kota Indraprastha, iaitu ibu negeri Pandavas yang disebut dalam epik Mahabharata.[12] Bilangan penempatan meningkat secara mendadak semenjak zaman Empayar Maurya (c. 300 SM).[19] Sisa-sisa peninggalan tujuh kota utama telah ditemui di Delhi. Wangsa Tomara mengasaskan kota Lal Kot pada tahun 736 M. Puak Rajput Chauhan dari Ajmer mwnawan Lal Kot pada tahun 1180 M lalu menamakannya semula sebagai Qila Rai Pithora. Raja Chauhan Prithviraj III ditumpaskan pada tahun 1192 oleh Muhammad Ghori dari Afghanistan.[12] Pada tahun 1206, Qutb-ud-din Aybak, pemerintah pertama Wangsa Hamba mengasaskan Kesultanan Delhi. Qutb-ud-din melancarkan pembinaan Qutub Minar dan Quwwat-al-Islam (kekuatan Islam), iaitu masjid tertua yang masih wujud di India.[12][20] Selepas jatuhnya wangsa Hamba, kota Delhi dikuasai oleh pelbagai wangsa Turkik dan Asia Tengah, iaitu wangsa Khilji, wangsa Tughluq, wangsa Sayyid dan wangsa Lodhi secara berturut-turut di penghujung zaman pertengahan, dan mereka semua meninggalkan beraneka kubu dan perbandaran yang membentuk tujuh kota Delhi.[21] Pada tahun 1398, Timur Lenk menyerang India atas dalih bahawa sultan-sultan Muslim di Delhi bersikap terlalu berlembut terhadap rakyat jelata mereka yang beragama Hindu. Timur memasuki Delhi lalu menyebabkan kota ini ditawan, diroboh dan diranapkan.[22] Delhi merupakan sebuah pusat utama ajaran Kesufian sepanjang zaman Kesultanan.[23] Pada tahun 1526, Zahiruddin Babur menumpaskan sultan Lodhi terakhir dalam Pertempuran Pertama Panipat lalu mengasaskan Empayar Mughal yang berpusatkan kota-kota Delhi, Agra dan Lahore.[12]

Empayar Mughal menguasai kawasan utara India selama lebih tiga abad, kecuali terhenti selama lima tahun apabila Sher Shah Suri memerintah pada pertengahan abad ke-16.[24] Maharaja Mughal Akbar memindahkan ibu negara dari Agra ke Delhi. Shah Jahan mendirikan kota ketujuh Delhi yang dinamakan sempena baginda (Shahjahanabad), dan lebih dikenali sebagai "Kota Lama" atau "Delhi Lama". Kota lama ini berperanan sebagai ibu kota Empayar Mughal sejak tahun 1638. Nader Shah menewaskan tentera Mughal di Pertempuran Karnal pada tahun 1739, di samping menjarah harta-harta di seluruh kota, termasuk Takhta Merak.[25] Pada tahun 1761, kota Delhi diserbu oleh Ahmed Shah Abdali selepas Pertempuran Ketiga Panipat. Dalam Pertempuran Delhi pada 11 September 1803, tentera British pimpinan General Lake menumpaskan Empayar Maratha.

Delhi dikuasai oleh pihak British selepas berlakunya Pemberontakan India pada tahun 1857.[12] Sejurus selepas pemberontakan tersebut, bandar Calcutta dijadikan ibu negara India British sementara Delhi pula dijadikan daerah di wilayah Punjab. Pada tahun 1911, Delhi diisythiharkan sebagai ibu negara India British, dan sebuah pusat pentadbiran baru direka oleh sepasukan jurubina British yang diketuai Edwin Lutyens untuk menempatkan bangunan pentadbiran. New Delhi, atau juga dikenali sebagai Lutyens' Delhi, secara rasminya diisytiharkan sebagai pusat pentadbiran kerajaan India dan ibu negara republik selepas merdeka pada 15 Ogos 1947. Ketika wilayah India yang baru merdeka dipecahkan menjadi dua, ribuan pelarian Hindu dan Sikh dari Punjab Barat dan Sindh berpindah ke Delhi sementara ramai penduduk Muslim di kota ini berhijrah ke Pakistan di arah barat. Selama empat hari mulai 31 Oktober 1984, tiga orang Sikh dibunuh oleh gerombolan penganut Hindu dalam rusuhan yang tercetus apabila pengawal peribadi beragama Sikh membunuh Perdana Menteri ketika itu, Indira Gandhi, sebagai membalas dendam terhadap serangan tempat ibadah tersuci dalam agama Sikh dalam Operasi Blue Star.

Penghijrahan secara beramai-ramai ke bandaraya Delhi dari merata negara India berterusan, maka meningkatkan lagi bilangan penduduk Delhi berbanding kadar kelahiran yang kian merudum.[26]

Akta Perlembagaan (Pindaan ke-69) 1991 mengisytiharkan Wilayah Kesatuan Delhi secara rasminya dikenali sebagai Wilayah Ibu Negara Delhi.[27] Akta tersebut membolehkan Delhi menubuhkan dewan undangan sendiri yang kuasanya terhad.[27] Pada Disember 2001, bangunan Parlimen India di New Delhi diserang oleh militan bersenjata, menyebabkan enam pengawal keselamatan terkorban.[28] India mengesyaki kumpulan militan dari Pakistan mendalangi serangan tersebut, mengakibatkan hubungan antara kedua-dua negara menjadi amat tegang.[29] Delhi sekali lagi mengalami serangan pengganas pada Oktober 2005 dan September 2008, masing-masing menyebabkan kehilangan nyawa 62[30] dan 30[31] orang awam.

Rujukan

WikiPedia: Delhi http://www.ucalgary.ca/applied_history/tutor/islam... http://123independenceday.com/indian/gift_of/freed... http://www.aboutpalaceonwheels.com/palace-on-wheel... http://www.aipsmedia.com/index.php?page=interview&... http://airport-delhi.com/ http://www.avalanchepress.com/Soldier_Shah.php http://www.bloomberg.com/apps/news?pid=20601039&re... http://www.business-standard.com/india/storypage.p... http://www-cgi.cnn.com/ASIANOW/asiaweek/features/u... http://content.cricinfo.com/india/content/story/26...