Penerbitan Desolasi

Pembangunan

Desolasi berdasarkan daripada pengalaman peribadi Syafiq Yusof semasa zaman kanak-kanaknya. Ia merupakan filem kelima arahan beliau dan filem ke-37 terbitan Skop Productions dengan kos pembikinan berjumlah RM4.5 juta, Syafiq juga mengarang cerita dan menulis skrip yang mengambil masa 3 bulan untuk disiapkan. Mengarahkan Desolasi bukanlah tugas yang mudah bagi Syafiq, menurutnya, antara cabaran yang dihadapinya ialah beliau dan kru filemnya dihalau oleh pihak pengurusan bangunan berhampiran tempat mereka menjalani penggambaran.[7][8] Bagi menjayakan babak abangnya Syamsul yang menjayakan peranan sebagai Aiman bersendirian, mereka menggunakan teknik kesan khas imej janaan komputer (CGI) untuk ‘memadam’ semua orang awam yang berada di situ. Untuk menjadikan Desolasi lebih realistik, Beliau mengetengahkan penyakit Anton-Babinski sebagai subjek utama Desolasi.[9] Dalam temuramah bersama New Straits Times, Syafiq berkata: "Saya tidak tahu sesiapa yang menderita (penyakit ini) tetapi saya mempunyai seorang rakan doktor yang saya rujuk ketika saya menyiapkan skrip. Saya bertanya kepadanya jika ada keadaan seperti itu, yang dialami Aiman dan dia berkata 'ya' dan memberitahu saya tentang sindrom itu. Gejala-gejala ini adalah sama dengan nyanyuk, di mana orang tua kadang-kadang bercakap dengan diri mereka sendiri, tetapi dalam fikiran mereka, mereka bercakap kepada orang yang sebenar."[10][11]

Filem ini memerlukan beliau ‘mengosongkan’ beberapa kawasan sibuk di Kuala Lumpur dengan menggunakan teknik kesan khas dalam beberapa babak filem itu seperti dalam filem lakonan Will Smith iaitu I Am Legend.[12][13][14][15] Beliau menepis tanggapan ramai yang kononnya beliau menggunakan pengaruh bapanya,[13] Datuk Yusof Haslam untuk menutup jalan-jalan utama di ibu kota yang sentiasa sesak dengan manusia dan kenderaan.[13] Beliau merujuk kepada filem Hollywood, Inception (2010) lakonan Leonardo DiCaprio.[13] Penonton kemudiannya dikeluarkan secara teliti dengan menggunakan kesan komputer dalam tempoh pasca penerbitan. Kesan visual bagi filem ini dihasilkan oleh Viper Studios Sdn Bhd dan terdapat sebanyak 570 syot keseluruhan, menjadikan jumlah 60% CGI digunakan dalam Desolasi. Proses ini mengambil masa 2 tahun (termasuk pra-penerbitan, penerbitan dan pasca) untuk disiapkan. Separuh daripada keseluruhan syot mempunyai elemen 3D.[10]

Filem ini juga mengambil petikan dari hadis Sahih Muslim oleh Nabi Muhammad S.A.W yang bermaksud:

"Dunia adalah penjara bagi orang-orang yang beriman dan syurga bagi orang-orang yang kafir".[16]

Pemilihan pelakon

Ditanya mengenai pemilihan abangnya Syamsul sebagai teraju utama,[17] Syafiq memberi beberapa kriteria:[17]

"Saya pilih Syamsul atas beberapa sebab. Pertama, dia adalah artis yang mewakili Skop Production. Kedua, dia memiliki aura yang kuat untuk menarik penonton datang menonton dan ketiga, tentunya mudah bekerja dengannya,"[17]

Syamsul pada mulanya enggan berlakon dalam filem ini kerana masih terkejut dengan nasib yang menimpa filem KL Gangster 2 arahannya yang bocor dalam talian, dua bulan sebelum tarikh keluaran rasmi dan mahu Syafiq mengambil pelakon lain yang dirasakan sesuai melakonkan watak Aiman, antara yang dicadangkannya termasuk Aaron Aziz, Ady Putra dan Shaheizy Sam. Namun Syafiq tidak berganjak dan berkongsi bahawa perjuangan Aiman sebahagiannya diilhamkan oleh abangnya.[18] Bella Dally yang terkenal dengan peranannya di drama dan telefilem memegang watak sebagai Maya, wanita misteri yang muncul dalam hidup Aiman.[19] Desolasi merupakan filem ketiga lakonannya.[19][20][21]

Penggambaran

Penggambaran dijalankan selama 55 hari, bermula pada 13 November 2014 di Kuala Lumpur, Bukit Bintang, Jalan Petaling, Batu Caves, Putrajaya dan Cyberjaya dan berakhir pada 6 Januari 2015.[10][22] Syafiq dan tenaga kerja Desolasi berdepan detik sukar dan masalah ketika penggambaran dijalankan, bermula dari hari pertama. Pasukan penerbitan Desolasi merancang untuk memulakan penggambaran di Cyberjaya, di pagi hari tetapi hujan turun dengan lebat sehingga jam 3 petang.[10] Mereka kemudian ke Taman Melawati bagi menjalani penggambaran namun pokok tumbang. Syafiq dan kru penggambaran sekali lagi diuji apabila set janakuasa yang membekalkan tenaga elektrik tiba-tiba meletup.[23] Pada hari ke-10 penggambaran, Desolasi ditangguhkan penggambaran berikutan Syafiq menghidap demam denggi. Beliau dinasihatkan oleh doktor mendapatkan rawatan di hospital dan berada dalam keadaan stabil.[24]