Disneyland_Paris

Disneyland Paris ialah sebuah resort percutian dan rekreasi di Marne-la-Vallée, sebuah pekan baru di pinggir timur Paris, Perancis. Kompleks ini terletak 32 kilometer (20 mi) dari pusat bandaraya Paris dan terletak dalam wilayah komun Chessy, Seine-et-Marne.[1]Disneyland Paris terdiri daripada dua taman tema, sebuah daerah peruncitan, kedai makan dan hiburan, dan tujuh hotel milik Disney. Beroperasi sejak 12 April 1992, inilah taman peranginan Disney kedua yang dibuka di luar Amerika Syarikat (selepas Tokyo Disney Resort) dan juga taman Disney pertama yang dimiliki dan dikendali oleh Disney.Disneyland Paris dimiliki dan dikendali oleh sebuah syarikat Perancis iaitu Euro Disney S.C.A., sebuah syarikat awam yang 39.78 peratus sahamnya dipegang oleh The Walt Disney Company, 10 peratus oleh Putera Alwaleed dari Arab Saudi dan 50.22 peratus lagi oleh pemegang saham lain.Kompleks ini menjadi titik tengah kontroversi ketika dalam proses rundingan dan pembinaan pada akhir 1980-an dan awal 1990-an, apabila menghadapi tentangan daripada ramai tokoh Perancis dan tunjuk perasaan oleh kesatuan sekerja Perancis dan lain-lain lagi. Dibuka dengan nama Euro Disney Resort, taman ini menghadapi rintangan besar sebaik sahaja dibuka kerana bilangan pengunjung, penginap hotel dan hasil pendapatan gagal memenuhi sasaran. Oleh yang demikian sebahagiannya, kompleks ini dinamakan semula Disneyland Paris pada tahun 1995. Pada Julai 1995, barulah syarikatnya menikmati keuntungan suku tahunan pertama.Sebuah taman tema kedua, iaitu Walt Disney Studios Park, dibuka kepada awam pada 16 Mac 2002.Pada Ogos 2008, Disneyland Paris menjadi tarikan pelancong yang teramai pengunjungnya di Eropah.[2]