Spesies Durian

Pokok durian muda. Pokok ini boleh tumbuh sehingga 50 m tinggi

Pokok durian bersaiz besar, dengan ketinggian 25–50 meter (80–164 kaki) mengikut spesies.[4] Daunnya malar hijau, berbentuk eliptik ke oblong dan 10–18 cm (4–7 in) panjang. Bunganya terhasil dalam gugusan tiga hingga tiga puluh di dahan besar dan juga batang, dengan setiap bunga mempunyai kaliks (sepal) dan lima (jarang empat atau enam) ranggi. Durian boleh berbunga dan berbuah sekali atau dua kali setahun, bergantung kepada spesies, kultivar dan lokasi. Pokok ini lazimnya boleh berbuah selepas 4-5 tahun. Buahnya boleh tergantung dari sebarang cabang, dan akan masak kira-kira tiga bulan selepas pendebungaan. Pada kebiasaan, buah durian boleh mencapai 30 cm (12 in) panjang dan 15 cm (6 in) garis pusat, dan seberat 1 hingga 3 kilogram (2–7 lb).[4] menjadikan ladang durian sebagai kawasan berbahaya pada musim durian. Sebiji durian jika jatuh di atas kepala seseorang mampu menyebabkan kecederaan teruk atau membawa kepada kematian.

Selain Durio zibethinus, lapan spesies lain yang dikenal pasti boleh dimakan ialah D. dulcis, D. grandiflorus, D. graveolens, D. kutejensis, D. lowianus, D. macrantha, D. oxleyanus dan D. testudinarum.[5] Bagaimanapun, masih ada spesies yang tidak dikaji dengan teliti, jadi mungkin ada lagi spesies lain yang buahnya boleh dimakan.[4]

Bunga durian selalunya tertutup di waktu siang

Durian, khususnya D. zibethinus, didebungakan secara terbuka, dan dengan itu menunjukkan banyak kepelbagaian dalam warna dan bau buah, saiz biji dan isi, dan fenologi pokok. Nama spesies zibethinus merujuk kepada musang kesturi, Viverra zibetha. Terdapat perselisihan sama ada nama ini, yang diberikan oleh Linnaeus, merujuk kepada sifat musang ini yang sangat sukakan durian sehingga buah ini digunakan sebagai umpan menangkapnya, atau kepada bau durian yang seperti bau musang kesturi.[6]

Bunga durian besar dan berbulu dengan nektar banyak, dan mengeluarkan bau bermentega, masam dan berat. Ciri ini biasa untuk bunga yang didebungakan oleh spesies tertentu kelawar yang memakan nektar dan debunga.[7] Mengikut kajian yang dijalankan di Malaysia pada 1970-an, durian didebungakan hampir sepenuhnya oleh kelawar buah gua (Eonycteris spelaea).[4] Namun, satu kajian 1996 menunjukkan dua spesies, D. grandiflorus dan D. oblongus, didebungakan oleh burung Arachnothera (Nectariniidae) manakala satu lagi spesies, D. kutejensis, didebungakan oleh lebah tualang dan burung selain kelawar.[8]

Kultivar

Rencana utama: Klon durian

Setelah beberapa abad, pelbagai jenis kultivar durian hasil daripada pembiakan vegetatif telah muncul di Asia Tenggara. Dahulunya ditanam dengan keputusan campur daripada biji pokok yang menghasilkan buah berkualiti tinggi, kultivar kini dibiakkan dengan perlapisan, penetutan, atau lebih lazim, melalui pencantuman, termasuk cantuman tunas, venir, potongan, tanggam atau U kepada kecambah pokok penanti yang dipilih secara rawak. Kultivar berlainan dapat dibezakan setakat tertentu melalui kepelbagaian dalam bentuk buah, seperti bentuk duri.[4] Penggemar durian menyukai kultivar tertentu, menaikkan harganya di pasaran.[9]

Kultivar berlainan biasanya memiliki warna berlainan. D101 (kanan) mempunyai isi kuning lemak, jelas lain dengan kultivar yang di kiri.

Terdapat banyak klon durian, kesemuanya mempunyai nama bermula dengan "D" dan diikuti dengan nombor. Sebagai contoh, sebahagian klon popular adalah D24, D99 (Kop Kecil), D158 (Kan Yao), D159 (Mon Thong) dan D197 (Raja Kunyit). Nombor D diberikan untuk membezakan mereka daripada "piawaian" jenis liar. Setiap kultivar memiliki rasa dan bau berlainan.

Lebih 200 kultivar D. zibethinus wujud di Thailand. Mon Thong paling dicari secara komersil disebabkan isinya yang sederhana manis dan penuh berkrim dengan bau yang tidak begitu kuat dan biji kecil. Manakala Chanee yang terbaik daripada segi tahan jangkitan oleh Phytophthora palmivora. Selain dua kultivar ini, Kan Yao, Ruang dan Kradum juga ditanam secara komersil skala besar.[10] Di Malaysia pula, terdapat sekurang-kurangnya 199 klon durian yang telah didaftarkan[11][12] dan banyak kultivar baik dikenalpasti melalui pertandingan tahunan dalam Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA). Di Vietnam, proses sama turut dilakukan melalui pertandingan anjuran Institut Penyelidikan Buah Selatan. Varieti popular kini ialah D24 dan D101.[13]

Sehingga 2007, Songpol Somsri, seorang ahli sains kerajaan Thai, telah mengacuk lebih 90 klon durian bagi mencipta Chantaburi No. 1, suatu kultivar tanpa bau cirinya.[14] Satu hibrid lain, Chantaburi No. 3, mengeluarkan bau lebih kurang tiga hari selepas dipetik, membolehkan penghantaran tanpa bau dan pada masa sama memuaskan penggemar yang sukakan bau sengit itu.[14] Pada 22 Mei 2012, dua lagi kultivar tanpa bau dari Thailand, Longlaplae dan Linlaplae, ditunjukkan kepada umum oleh Yothin Samutkhiri, gabenor wilayah Uttaradit di mana kultivar ini dibangunkan.[15]

Ada satu klon durian yang memang tidak berduri semula jadi. Klon tersebut ialah D172. Ia didaftarkan oleh Jabatan Pertanian Malaysia pada 17 Jun 1989. Durian ini diberi nama "Durian Botak" dan berasal dari Muar, Johor.[16] Sebelum itu, durian tanpa duri juga pernah dijumpai di Bandar Davao, Filipina pada 1960-an.[4] Ini berbeza daripada durian yang sisiknya dikikis semasa muda, dengan itu menghalang pertumbuhan duri.[4] Terbaharu di Indonesia pula, Pusat Penelitian Durian Universitas Brawijaya melaporkan kewujudan durian tanpa duri dari Kasembon, Malang. Satu lagi kultivar adalah dari Lombok, Nusa Tenggara Barat, Indonesia.[17]

Rujukan

WikiPedia: Durian http://www.proscitech.com.au/trop/d.htm http://etext.library.adelaide.edu.au/b/banfield/ej... http://aciar.gov.au/files/node/598/mn114-part1.pdf http://southeastasianfood.about.com/od/malaysianfr... http://travel.asiaone.com/Travel/News/Story/A1Stor... http://www.bigfootencounters.com/creatures/mawas.h... http://lipis-ismail.blogspot.com/2007/07/tanaman-d... http://www.drhatta.com/2012/Dis12/PanasDurian.html http://www.foodmarketexchange.com/datacenter/produ... http://www.genefitnutrition.com/durian.pdf