Ekonomi_Thailand

Ekonomi Thailand bergantung kepada eksport yang merupakan 60% daripada KDNK. Kadar pertukaran asing mencapai 37.00/AS$1 (KDNK: $7.3 trilion baht) pada 26 Oktober 2006, dengan KDNK nominalnya di lingkungan AS$200 bilion pada kadar pasaran. Ini mengekalkan Thailand sebagai ekonomi kedua terbesar di Asia Tenggara selepas Indonesia, suatu kedudukan yang dipegangnya selama banyak tahun. Pemulihan Thailand daripada Krisis Kewangan Asia 1997-98 bergantung kepada eksport, khususnya permintaan luar Amerika Syarikat dan pasaran-pasaran asing yang lain. Thaksin Shinawatra yang mengambil alih kerajaan pada Februari 2001 bertujuan untuk merangsangkan permintaan dalam negeri dengan mengurangkan pergantungan Thailand kepada perdagangan luar negeri serta pelaburan asing. Bagaimanapun sejak dari masa itu, pentadbiran Thaksin telah menghalusi perutusan ekonominya, dan kini merangkumi dasar ekonomi "laluan kembar" yang menggabungkan rangsangan dalam negeri dengan penggalakan tradisional pasaran terbuka serta pelaburan asing. Dasar-dasar ini umumnya dikenali sebagai Thaksinomi. Permintaan eksport yang lemah mengakibatkan KDNK bertumbuh pada kadar 1.9% pada tahun 2001. Bagaimanapun pada tahun 2002-3, rangsangan dalam negeri dan pemulihan eksport menghasilkan prestasi ekonomi yang lebih baik, dengan pertumbuhan KDNK sebenar masing-masing mencatat 5.3% dan 6.3%.

Berkaitan