Ensiklopedia_Britannica
Ensiklopedia_Britannica

Ensiklopedia_Britannica

Ensiklopedia Britannica (Encyclopædia Britannica) ialah ensiklopedia am berbahasa Inggeris terbitan Encyclopædia Britannica, Inc., sebuah syarikat persendirian yang terletak di Chicago, AS. Rencana-rencana dalam Britannica disasarkan kepada pembaca dewasa yang berpendidikan, dan dikarang oleh 19 orang penyunting penuh masa dan lebih 4,000 orang penyumbang pakar. Ensiklopedia ini dianggap ramai sebagai yang paling ilmiah di kalangan semua ensiklopedia.[1][2]Britannica ialah ensiklopedia bahasa Inggeris tertua yang masih wujud dalam percetakan.[3] Brittanica julung kali diterbit antara tahun 1768 dan 1771 di Edinburgh dan pesat berkembang populariti dan saiznya, dengan edisi ketiganya pada tahun 1801 mencecah 20 jilid.[4][5] Kalibernya yang kian timbul membantunya mencari penyumbang yang sangat mahir, dan edisi kesembilan (1875–1889) dan kesebelasnya (1911) dianggap sebagai ensiklopedia penting untuk gaya cendekiawan dan sastera.[4] Sejak edisi ke-11, Britannica beransur nipis dan meringkaskan rencana-rencananya agar menjadikannya makin dibaca ramai serta meluaskan pasarannya di Amerika Utara.[4] Pada tahun 1933, Britannica menjadi ensiklopedia pertama yang mengamalkan dasar "penyemakan berterusan", iaitu ensiklopedia ini senantiasa dicetak semula dan setiap rencana dikemaskini mengikut jadual tetap.[5]Edisi ke-15 yang terkini mempunyai satu struktur tiga bahagian yang unik: Micropædia 12 jilid yang terdiri daripada rencana-rencana pendek (biasanya kurang daripada 750 kata), Macropædia 17 jilid yang terdiri daripada rencana-rencana panjang (meliputi dua hingga 310 mukasurat) dan Propædia sejilid yang bertujuan memberi garis kasar hierarki pengetahuan insan. Micropædia dimaksudkan untuk penyemakan fakta pantas serta sebagai panduan kepada Macropædia; para pembaca dinasihati agar membaca garis kasar Propædia untuk memahami konteks sesuatu subjek dan untuk mencari rencana lain yang lebih terperinci.[6] Saiz Britannica kekal lebih kurang sama selama 70 tahun lalu, dengan kira-kira 40 juta perkataan dalam separuh juta topik.[7] Meskipun penerbitan bertapak di Amerika Syarikat sejak tahun 1901, namun Britannica sentiasa mengekalkan ejaan British tradisinya.[1]Sepanjang sejarahnya, Britannica menghadapi kesulitan untuk terus untung—satu masalah yang dihadapi banyak ensiklopedia.[3] Sesetengah rencana dalam edisi-edisi awal Britannica yang tertentu telah dikritik kerana tidak tepat, berat sebelah atau ada penyumbang yang tidak layak.[4][8] Ketepatan sesetengah kandungan edisi terkini juga turut dipersoal,[1][9] itupun kritikan-kritikan sedemikian juga dicabar oleh pihak pengurusan Britannica.[10] Meskipun kritikan-kritikan ini, namun Britannica mengekalkan nama baiknya sebagai alat kaji selidik yang boleh diharap.Pada Mac 2012, syarikat Britannica yang kini bertapak di Chicago, mengumumkan pemberhentian edisi cetakan untuk memberikan tumpuan kepada versi dalam talian. Edisi cetakan yang terakhirnya terbit pada tahun 2010, dalam set 32 jilid.[11]